EKONOMI

Utusan Malaysia 08 April 2002

15 spesies herba dikenal pasti berpotensi untuk dimajukan

KUALA LUMPUR 7 April - Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM) telah mengenal pasti sebanyak 15 spesies herba yang berpotensi untuk dimajukan.

Ketua Pengarahnya, Datuk Abdul Razak Mohd. Ali berkata, tindakan itu dibuat menerusi kajian dan penyelidikan yang dijalankan di seluruh kawasan hutan negara ini.

``Hempedu bumi, akar jelita, misai kucing dan pegaga adalah antara yang berpotensi besar untuk dimajukan,'' katanya ketika ditemui baru-baru ini.

Produk herba yang paling popular setakat ini, katanya, ialah tongkat ali dan kacip fatimah yang mujarab bagi tujuan kesihatan dan seksual.

Katanya, harga pasaran bagi tongkat ali ialah sekitar RM40 sekilo dan kos bagi sepokok anak benihnya berada dalam lingkungan antara RM5 hingga RM7.

Justeru, katanya, FRIM menyeru para usahawan mengambil peluang dan merebut pasaran bagi memasarkan produk herba berkenaan.

Adalah sia-sia, sekiranya produk-produk herba yang mempunyai potensi pasaran yang besar terabai begitu sahaja tanpa ada usaha memasarkannya, ujar beliau.

``Kalau kita selidik dan berjaya menghasilkan produk herba yang baik tetapi tidak sampai ke pengguna pun tidak guna juga,'' katanya lagi.

Abdul Razak berkata, selain pemasaran, kerja pemprosesan dan pembungkusan produk-produk herba juga patut mengalami perubahan dan diperbaiki.

Beliau menambah, FRIM melahirkan kebimbangan terhadap pengilang kecil-kecilan yang mengusahakan produk-produk herba di rumah atau kampung mereka.

Ini kerana, ujar beliau, terdapat beberapa laporan yang mengatakan proses pembuatan herba telah menghasilkan habuk kayu kerana cara pemprosesan yang salah. Antara kesilapan ialah masa memproses lama, pengilangan berulang kali dan kebersihan kurang memuaskan.

``Tongkat ali, kalau hendak dibiarkan pun mestilah kurang dari 3 hari sebab kulat akan membiak aktif,'' katanya.

FRIM, katanya, berhasrat membuka kilang mengeluarkan produk herba.

 

muka depan | agama | ekonomi | fatwa | jenayah & kemalangan | kolumnis | khas | pelancongan
pendidikan | pendatang asing | politik | rencana | sains dan teknologi | umum