EKONOMI

Utusan Malaysia 09 April 2002

Rizab antarabangsa BNM naik RM124b akhir Mac

KUALA LUMPUR 8 April - Rizab antarabangsa Bank Negara Malaysia (BNM) meningkat RM424 juta atau AS$112 juta pada separuh kedua Mac kepada RM124.4 bilion atau AS$32.7 bilion pada 30 Mac 2002.

Kenaikan ini mencerminkan aliran masuk berterusan daripada pendapatan eksport dan aliran masuk bersih dana-dana portfolio, demikian menurut bank pusat dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Tahap rizab pada akhir Mac telah mengambil kira penyelarasan sukuan kerugian penilaian semula tukaran asing yang tidak direalisasikan sebanyak AS$159 juta, khususnya akibat penyusutan yen dan euro berbanding dolar Amerika dalam sukuan itu, katanya.

Kedudukan rizab mencukupi bagi membiayai 5.5 bulan import tertangguh dan 5.3 kali hutang luar jangka pendek, tambahnya.

Bank pusat menyatakan bahawa pada April, Malaysia dijangka mengalami aliran keluar akibat pembayaran balik hutang luar sektor swasta dan komitmen pelaburan seberang laut yang dirancang.

Terdapat juga pembayaran balik pinjaman luar dan pembayaran yang berkaitan dengan pelaburan seberang laut oleh syarikat-syarikat Malaysia yang masing-masing berjumlah AS$1.3 bilion dan AS$160 juta, katanya.

Pembayaran balik pinjaman oleh sektor swasta mencerminkan sebahagian daripada penstrukturan semula hutang korporat yang melibatkan pembayaran balik pinjaman luar yang lebih mahal dan pembayaran balik pinjaman sambungan bagi pemilihan kepentingan-kepentingan mengawal daripada rakan kongsi bukan residen, katanya.

Pembayaran-pembayaran balik ini akan mengurangkan pendedahan sektor swasta kepada hutang luar, tambahnya.

Malaysia boleh menyerap aliran-aliran keluar ini kerana kedudukan rizab negara yang kukuh dan aliran masuk pendapatan eksport, pelaburan langsung asing dan aliran masuk portfolio yang berterusan, katanya. - Bernama

 

muka depan | agama | ekonomi | fatwa | jenayah & kemalangan | kolumnis | khas | pelancongan
pendidikan | pendatang asing | politik | rencana | sains dan teknologi | umum