EKONOMI

Utusan Malaysia 11 April 2002

Pasaran Islam dunia - Firma ICT tempatan persiakan peluang keemasan

ISLAM dan ICT merupakan gabungan pasaran yang luas dan juga masih belum diteroka sepenuhnya oleh syarikat-syarikat ICT tempatan dan antarabangsa.

Oleh MOHD RIDZWAN MD IMAN
SYARIKAT-syarikat teknologi maklumat dan telekomunikasi (ICT) tempatan kini semakin hari semakin terkenal kerana mempunyai kepakaran dan teknologi yang diperakui bertaraf antarabangsa.

Jika hendak dilihat kepada syarikat-syarikat berstatus MSC, kita akan dapati bilangan mereka semakin meningkat dan juga berupaya memberi saingan dengan pengenalan produk dan perkhidmatan yang tidak kurang hebatnya.

Setakat 10 Mac lepas, 66 peratus daripada 650 syarikat MSC adalah syarikat ICT yang majoriti perniagaannya dimiliki oleh individu atau syarikat dari negara ini.

Produk dan perkhidmatan yang mereka bangunkan juga banyak digunakan oleh agensi-agensi kerajaan dan swasta tempatan, walaupun peratusan yang digunakan kerajaan lebih tinggi.

Ini kerana masing-masing berebut dengan peluang yang ditawarkan oleh kerajaan melalui projek-projek Aplikasi Perdana MSC yang membabitkan pelaburan bernilai jutaan ringgit.

Bagaimanapun, bilangan mereka yang berjaya di persada antarabangsa masih boleh dibilang dengan jari dengan masing-masing mencari jalan selamat dengan membataskan operasi di negara ini sahaja.

Tidak banyak syarikat tempatan yang boleh dibanggakan di peringkat dunia kecuali beberapa syarikat seperti Xybase Technologies, AsiaTravel mart.com, VMS Technology, JobStreet.com dan juga e-Business (e-BX).

Syarikat-syarikat itu sedikit sebanyak telah membuka pasaran beberapa negara luar termasuk di Timur Tengah, Asia Pasifik dan juga Eropah. Malahan ada yang mendapat kepercayaan menjalankan projek besar di Amerika Syarikat yang telah terkenal dalam bidang teknologi.

Sebenarnya pasaran ICT antarabangsa sememangnya sentiasa mencabar syarikat-syarikat tempatan yang rata-rata masih baru dalam bidang tersebut. Bagaimanapun, ia tidak seharusnya menjadi alasan untuk kita hanya menjadi `jaguh kampung.'

Jika tidak mampu untuk bersaing dengan syarikat multinasional dalam memasuki pasaran sesebuah negara kerana kedudukan kita yang masih baru, sudah tentu terdapat bahagian-bahagian yang tidak disertai oleh syarikat multinasional itu boleh diceburi oleh syarikat tempatan.

Produk atau perkhidmatan berasaskan teknologi untuk masyarakat Islam misalnya masih mempunyai ruang yang luas untuk direbut.

Bagaimanapun, mereka harus bijak menggunakan kelebihan syarikat dari negara ini dalam usaha merebut pasaran masyarakat Islam di seluruh dunia yang kini mencatatkan pertumbuhan terpantas.

Pasaran negara-negara Islam seperti di Timur Tengah dan negara-negara yang mempunyai penduduk Islam yang ramai seperti China, Afrika, Eropah dan juga Amerika Syarikat terbuka luas kerana tidak banyak syarikat multinasional menceburinya.

Penceramah Islam terkenal dari Amerika Syarikat, Dr. Khalid Abdullah Tariq Al-Mansour berkata, syarikat dari Malaysia dipandang tinggi oleh masyarakat Islam dunia ketika ini.

Beliau berkata, individu atau syarikat dari Malaysia tidak lagi perlu memperkenalkan negara ini kepada penduduk Islam dunia kerana Malaysia melalui Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Mahathir Mohamad sangat terkenal dan di hormati oleh mereka.

``Dr. Mahathir telah melakukan apa yang patut dalam memperkenalkan negara ini di seluruh dunia dan kini hanya bergantung kepada syarikat atau individu tempatan untuk mencuba pasaran luar negara,'' katanya.

Katanya, syarikat-syarikat Malaysia yang berupaya membuktikan kebolehan mereka untuk menjalankan perniagaan akan lebih mudah mendapat kepercayaan dari negara-negara Islam.

Beliau berkata, syarikat-syarikat itu perlu sedia mengukuhkan kedudukan mereka dalam rangkaian global Islam demi meneruskan kelangsungan perniagaan mereka dalam persekitaran perniagaan di masa akan datang.

Katanya, dalam abad ke-21 ini, adalah penting bagi syarikat-syarikat mengetahui bagaimana untuk membangunkan rangkaian pengedaran yang lebih luas dengan mengenal pasti pasaran yang berpotensi dengan cepat.

``Kita mesti tahu di mana wujudnya peluang untuk berkembang dan mesti juga tahu bagaimana mewujudkan peluang-peluang dalam beberapa situasi,'' katanya.

Beliau berkata, syarikat Malaysia juga sepatutnya memanfaatkan sepenuhnya hubungan dengan lain-lain negara Asia dengan menjadikan negara ini `gerbang' antarabangsa untuk penerokaan dan pengembangan perniagaan ICT.

Negara China dan Afrika Selatan misalnya merupakan negara yang berpotensi besar untuk Malaysia memainkan peranan itu dengan menjadi rakan kongsi kepada mereka untuk memasuki pasaran dunia.

``Syarikat ICT tempatan boleh memainkan peranannya dalam membantu China memasuki pasaran dunia Islam memandangkan Malaysia sememangnya mempunyai kelebihan tersebut,'' katanya.

Menurut beliau, pasaran penduduk Islam di negara China dan Afrika sendiri merupakan pasaran yang besar yang jika dilakukan secara betul mampu memberi manfaat kepada syarikat dari negara ini.

Malaysia telah berkembang dengan begitu ketara dalam perniagaan dan teknologi, sekali gus menjadikannya lebih kompetitif dalam persekitaran global.

Berdasarkan kepada inilah, Dr Khalid percaya yang syarikat-syarikat Malaysia boleh bersaing dengan baik di masa akan datang jika mereka mampu membuktikan kebolehan mereka.

Khalid juga menggesa warga Malaysia untuk mengambil manfaat ke atas usaha-usaha kerajaan memperkenalkan negara ke seberang laut seperti mendapatkan bantuan dari MDC.

Beliau juga berkata, syarikat-syarikat bukan Islam juga mempunyai potensi yang besar untuk memasuki pasaran rantau Timur Tengah jika mereka mampu membuktikan kebolehan dan kepakaran mereka.

Katanya, beberapa syarikat dari Korea Selatan misalnya telah berjaya mengukuhkan kedudukan perniagaan mereka di ratau Timur Tengah.

``Selain itu, anda perlu memastikan anda memilih agen atau rakan perkongsian yang dipercayai di negara-negara yang ingin anda masuk kerana kerajaan negara-negara itu bergantung kepada rakan anda dalam mempertimbangkan sebarang projek,'' katanya.

Tambahnya, selepas mendapat sesuatu projek, perkara paling penting untuk syarikat tempatan ialah memastikan yang ia dilaksanakan sebaik mungkin kerana ia akan memberi kesan kepada syarikat-syarikat lain dari negara ini yang hendak memasuki negara tersebut.

Beliau berkata syarikat Malaysia perlu membentuk `pengaruh atau tapak' dalam setiap negara bagi membolehkan syarikat-syarikat tempatan memasuki pasaran luar negara yang telah disasarkan.

Kesimpulannya, syarikat-syarikat tempatan yang merancang memperluaskan empayar ke luar negara seharusnya melakukannya dengan bijak dan terancang supaya ia mampu menaikkan imej negara di mata dunia dan sekali gus menyemarakkan lagi aspirasi dan asakan Malaysia menjadi pemain ICT bertaraf dunia yang berwibawa dan disegani.

 

muka depan | agama | ekonomi | fatwa | jenayah & kemalangan | kolumnis | khas | pelancongan
pendidikan | pendatang asing | politik | rencana | sains dan teknologi | umum