EKONOMI

Berita Harian 20 mac 2001

Skim cepat kaya berselindung disebalik 'suruhan agama'


SKIM cepat kaya menarik minat orang ramai menyertainya kerana dipercayai cara mudah untuk mendapat kekayaan. Pelabur dijanjikan pulangan lumayan.

Pelbagai nama skim cepat kaya menarik pelaburan tinggi dicipta untuk mereka yang ‘bodoh’ dan ‘tamak’. Cita-cita mendapat kekayaan tidak menjadi kenyataan, sebaliknya bala kemiskinan dan kesusahan terpaksa ditanggung.

Daripada laporan, ramai pelabur tertipu sehingga setiap seorang kerugian mencapai puluhan ribu ringgit. Ramai yang mencagarkan kereta, rumah dan mengeluarkan simpanan semata-mata ingin membuat pelaburan.

Kisah penipuan skim cepat kaya memang diketahui ramai. Malangnya ramai yang masih tidak mengambil iktibar. Mereka seperti ‘rela’ ditipu. Ini kerana cara skim cepat kaya sentiasa ‘disesuaikan’ dengan memasukkan elemen yang mudah dipercayai oleh orang ramai.

Ada skim cepat kaya dijalankan dengan menyalahgunakan lesen perniagaan jualan langsung. Barang yang disebut dalam perniagaan itu hanya untuk mengelirukan bakal pelanggan.

Keuntungan jualan yang diperolehi tidak masuk akal. Membeli barangan sekitar RM100 (harga barang sebenar sekitar RM10), tetapi akan mendapat keuntungan sehingga lebih RM1,000 jika berjaya mempengaruhi sejumlah pelanggan baru.

Jumlah keuntungan yang didakwa sebenarnya diambil daripada pelaburan peserta baru (harga barang yang dinaikkan berkali ganda) untuk diberikan kepada peserta di atas (penaja) yang disebut sistem priamid. Sebab itu peserta awal menyertainya akan mendapat keuntungan besar. Sebaliknya, padah terpaksa ditanggung oleh peserta kemudian.

Disebabkan ingin mendapat untung, ramai membeli barang itu biarpun tidak memerlukannya. Nilai barang dan kegunaan tidak lagi diambil kira. Apa menarik ialah pulangan bakal diperolehi.

Kebanyakan peserta memang sudah mengetahui keadaan itu. Sebab itu ramai berlumba-lumba menyertai setiap skim baru. Mereka mengharapkan ‘sokongan’ peserta baru untuk mendapat keuntungan. Nasib peserta baru itu sudah ‘ditakdirkan’ akan rugi. Itu dikira nasib.

Islam menghalalkan perniagaan. Bagaimanapun mana-mana perniagaan yang wujud unsur penipuan dan meragukan adalah diharamkan. Hasil keuntungan daripada perniagaan haram adalah haram.

Hukum itu jelas dalam sistem piramid. Sistem itu hanya menguntungkan pihak atas dan merugikan pihak bawah. Ia banyak membabitkan unsur penipuan dan helah. Jika ada barang diniagakan, itu hanya helah. Penindasan, mendedahkan kepada keadaan merugikan, penipuan dan helah semuanya diharamkan dalam Islam.

Berlainan dengan perniagaan, biarpun ada kemungkinan rugi, ia dijalankan secara dibenarkan. Untung ruginya berdasarkan kecekapan urus niaga dan faktor lain yang berkaitan. Sebaliknya, keuntungan skim cepat kaya berdasarkan tipu muslihat dan penindasan. Maka hasil skim cepat kaya ternyata haram.

Selain skim yang dijalankan pelaburan secara terus, ada juga yang disebut skim sumbangan dan sedekah. Skim ini banyak merebak secara surat. Ia kononnya diasaskan bertujuan tolong-menolong dan sedekah.

Jika difikirkan tujuannya, perkara itu memang baik. Sesiapa yang menyertainya dianggap saling menolong. Sebab itu, skim ini banyak berselindung di sebalik ‘suruhan agama’. Banyak skim didakwa demi kebaikan dan kejayaan umat Islam.

Maka, dalam mempengaruhi orang ramai menyertainya, kandungan surat itu disertakan potongan ayat al-Quran dan hadis yang menggalakkan amalan tolong menolong dan bekerjasama. Sesiapa menyertainya dianggap telah bersedekah, menolong atau memberi kebaikan kepada orang Islam.

Maka sesiapa menyertainya bukan saja bakal mendapat keuntungan dalam bentuk wang, malah balasan kebaikan daripada Allah. Sesiapa tidak mahu menyertai skim itu dianggap anti Islam dan tidak mahu berjihad ke jalan Allah. Mereka juga didakwa kedekut dan tidak bersyukur dengan rezeki yang dianugerahkan oleh Allah.

Dalam surat yang disertakan, kadang kala sehingga lima muka surat, turut disertakan kisah mereka yang menerima kebaikan daripada skim itu. Dinyatakan kesyukuran dan ucapan terima kasih daripada mereka yang telah memperolehi kebaikan daripada skim itu. Ibu tunggal, keluarga miskin, pelajar miskin dan sebagainya dikatakan telah banyak menerima faedahnya.

Benarkah berita baik itu? Jika benarnya, rasanya sudah ramai tampil secara terbuka. Apa yang dicatatkan hanya pengakuan dan tidak ada maklumat lain. Rumusannya, ia hanya direka-reka untuk mengelirukan orang ramai supaya turut mempercayai dan menyertainya.

Skim melalui surat ini ada dua pendekatan. Pertamanya, ada pihak yang menjadi penganjurnya. Setiap peserta perlu ‘mendaftar’ dengan penganjur. Kegiatannya dikawal oleh penganjur itu.

Penganjur ini ada yang berdaftar sebagai syarikat jualan langsung atau pendaftaran syarikat yang sah. Apa yang tidak sahnya cara operasi atau menyalahi undang-undang Akta Jualan Langsung 1993 atau Akta Bank Negara dan Institusi Kewangan 1989, yang mana berkenaan.

Cara kedua ialah tanpa wujud penganjur. Ia dicetuskan oleh seseorang sebagai surat berantai dan kemudian terus berkembang. Peserta memberi ‘sedekah’ atau sumbangan antara mereka.

Cara kedua sebenarnya lebih banyak. Ia berkembang dengan mudah kerana pelaburan yang diperlukan relatif rendah berbanding cara pertama. Pelaburan biasanya sekitar RM10 saja. Malah ada sumbangan diperlukan hanya RM1.

Cara memberi sumbangan biasanya dibuat melalui bank atau kiriman wang. Jika sumbangan melalui bank, peserta perlu menyertakan nombor akaun bank yang telah ditetapkan. Kaitan pihak bank (sebenarnya tidak mempunyai apa-apa hubungan) menyebabkan ramai yakin ia satu program diluluskan oleh kerajaan.

Mengapakah skim ini terus berleluasa. Benarkah ia sebagai tujuan bantu membantu? Cara ini dikenal pasti anjuran mereka yang sengaja melahirkan masyarakat yang malas, tetapi ingin cepat kaya.

Skim itu menyebabkan ada orang begitu yakin akan kaya melaluinya. Ada yang tamak bukan saja membuat 12 salinan, bahkan ada hingga beratus-ratus salinan. Agak banyak juga wang digunakan. Mereka yakin dengan membuat lebih banyak salinan, maka lebih kayalah.

Sebab itu ada yang sanggup berbelanja lebih mengiklankan skim itu dalam akhbar. Semuanya disebabkan sikap tamak. Selepas itu mereka memasang angan-angan kosong. Ada yang sudah awal-awal lagi membeli secara kredit atau sewa beli barangan yang akan dibayar menggunakan wang yang bakal diperolehi nanti.

Ada peserta yang begitu yakin sehingga sanggup berhenti kerja, walhal kalaupun menyertai skim itu tidak mendatangkan masalah kepada kerja yang dilakukan. Tetapi, disebabkan yakin dan hendak menunjukkan bahawa dia akan kaya dan senang-lenang bukan kerana hasil kerjanya sekarang.

Justeru, umat Islam tidak wajar menyertai apa pun bentuk skim yang dijanjikan pulangan lumayan dengan hanya sedikit usaha. Alasan demi kepentingan umat Islam seperti yang didakwa hanya perbohongan. Sebaliknya ia diada-adakan bagi melahirkan masyarakat yang berfikiran dan bersikap negatif.

 

muka depan | agama | ekonomi | fatwa | jenayah & kemalangan | kolumnis | pelancongan
pendidikan | pendatang asing | politik | rencana | sains dan teknologi