Toolshack.com - "Where Webmasters Find Their Tools"
Web tools and webmaster resources, including: traffic statistics, site monitoring, banner exchange, search engine submission, a generous affiliate program, more...

EKONOMI

Utusan Malaysia 21 April 2001

PM lancar Amanah Saham Didik

KOTA BHARU 20 April - Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Mahathir Mohamad hari ini melancarkan satu lagi saham amanah khusus untuk membantu kaum bumiputera dikenali sebagai Amanah Saham Didik (ASD).

ASD yang diterbitkan oleh Permodalan Nasional Bhd. (PNB) terbuka kepada bumiputera seawal usia enam bulan pada harga RM1 seunit dengan pelaburan permulaan sebanyak 100 unit dan maksimum 100,000 unit.

Dengan saiz dana berjumlah 300 juta unit, ASD merupakan skim amanah keenam PNB di samping Amanah Saham Bumiputera (ASB), Amanah Saham Nasional (ASN), Amanah Saham Nasional 2 (ASN2), Amanah Saham Malaysia (ASM) dan Amanah Saham Wawasan 2020 (ASW 2020).

Perdana Menteri dalam ucapannya berkata, langkah kerajaan mewujudkan ASD adalah untuk menggalakkan tabiat menyimpan terutamanya di kalangan ibu bapa bagi membiayai pendidikan anak-anak.

``Saya yakin Amanah Saham Didik ini akan mendapat sambutan yang baik dari rakyat kerana saham amanah bukan sahaja untuk menabung tetapi kita juga akan dapat keuntungan daripadanya,'' katanya pada majlis pelancaran ASD di sini hari ini.

Antara kelebihan ASD ialah ia mudah tunai dan boleh dijual balik pada bila-bila masa, kecuali semasa tempoh tawaran awal iaitu daripada 20 April hingga 19 Mei, 2001.

Selain itu, ASD yang diawasi oleh pemegang amanah bebas, Amanah Raya Bhd. merupakan pelaburan jangka panjang yang berpeluang menjana pulangan kompetitif di bawah pengurusan profesional dengan rekod prestasi yang baik.

Pelaburan dalam skim ASD boleh dibuat dalam bentuk tunai, cek, draf bank, potongan gaji, skim pelaburan KWSP dan arahan tetap.

Bagi bayi atau kanak-kanak seawal usia enam bulan hingga 17 tahun, ibu bapa atau penjaga boleh membuat pelaburan skim ASD dengan membuka Pelabur Akaun Bijak ASD dan Pelabur Berdaftar adalah bagi mereka yang berusia 18 tahun dan ke atas.

Apabila kanak-kanak itu mencapai umur 18 tahun, pelaburan di dalam Akaun Bijak akan dipindahkan ke dalam akaun di bawah nama kanak-kanak tersebut sebagai Pelabur Berdaftar.

Sementara itu, yuran perkhidmatan sebanyak 0.25 peratus ke atas nilai unit jualan balik yang melebihi 5,000 unit akan ditolak pada akhir tahun kewangan daripada hasil pengagihan pendapatan (jika ada).

Pengagihan pendapatan dikreditkan ke dalam buku pelaburan dan urus niaga ini boleh dibuat di Ibu Pejabat Amanah Saham Nasional Berhad (ASNB) atau ejen-ejen ASNB seluruh negara.

Antara ejen-ejen syarikat kewangan dan perbankan yang berurus niaga dengan skim ASD ialah Pos Malaysia Berhad, Malayan Banking Berhad, Mayban Finance Berhad, Bumiputra-Commerce Bank Berhad dan RHB Bank Berhad.

Dalam ucapannya itu Perdana Menteri berkata, saham amanah tersebut membolehkan ibu bapa turut merancang pembiayaan untuk masa depan anak-anak mereka.

Katanya, walaupun ada pendapat mengatakan yuran pendidikan pelajar-pelajar bumiputera perlu ditanggung oleh kerajaan, mahu tidak mahu mereka masih memerlukan bantuan kewangan daripada ibu bapa masing-masing.

Perdana Menteri juga berbangga dengan PNB, badan yang dipertanggungjawabkan mengurus saham-saham amanah bagi golongan bumiputera yang berjaya mengumpul sebanyak RM37 bilion hasil pelaburan bumiputera dan menguruskannya dengan baik.

PNB juga berjaya mengeluarkan dividen kira-kira RM31 bilion, katanya.

Pada sidang media kemudiannya, Dr. Mahathir melahirkan rasa terkilan dengan sikap segelintir golongan bumiputera yang hanya memikirkan keuntungan jangka pendek berbanding masa depan mereka.

``Apabila kita melabur, kita tidak dapat keuntungan melainkan setelah genap setahun barulah kita dapat keuntungan dan keuntungan pula tidak tentu. Kadang-kadang banyak dan kadang-kadang sikit.

``Jadi, dengan kerana itu dia tidak berminat. Kalau dia ada duit pun dia nak melabur atau berniaga dengan cara yang dia harap boleh dapat keuntungan cepat,'' katanya.

Majlis pelancaran itu turut disaksikan oleh Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat; Penasihat Kementerian Kewangan, Datuk Mustapa Mohamed; Pengerusi PNB, Tan Sri Ahmad Sarji, Ketua Eksekutif Kumpulan PNB, Datuk Hamad Kama Piah Che Othman.

Turut hadir, isteri Perdana Menteri, Datin Seri Dr. Siti Hasmah Mohd. Ali dan Presiden Persekutuan Pengurus-Pengurus Amanah Saham Malaysia (FMUTM), Datuk Abdul Azim Mohd. Zabidi.

Oleh: SAROJI MOKHTAR, MEOR HERMAN MEOR SHAKRI dan YULPISMAN ASLI

 

muka depan | agama | ekonomi | fatwa | jenayah & kemalangan | kolumnis | pelancongan
pendidikan | pendatang asing | politik | rencana | sains dan teknologi