Toolshack.com - "Where Webmasters Find Their Tools"
Web tools and webmaster resources, including: traffic statistics, site monitoring, banner exchange, search engine submission, a generous affiliate program, more...

EKONOMI

Utusan Malaysia 21 April 2001

DEB manfaatkan lebih tujuh juta bumiputera


DR. Mahathir Mohamad ditemani Nik Abd. Aziz Nik Mat bersama kanak-kanak selepas melancarkan Minggu Saham Amanah Malaysia di Dewan MPKB, Kota Bharu, semalam. - Gambar ROSNI MASRI

KOTA BHARU 20 April - Datuk Seri Dr. Mahathir Mohamad hari ini menegaskan Dasar Ekonomi Baru (DEB) telah memberi manfaat kepada lebih tujuh juta rakyat bumiputera negara ini dalam bentuk pemilikan saham-saham amanah serta ekuiti syarikat gergasi.

Sehubungan itu, kata Perdana Menteri, dasar itu bukanlah untuk memberi kekayaan kepada kroni-kroni kerajaan seperti didakwa sesetengah pihak.

Kata beliau, ia sebenarnya memberi peluang kepada individu-individu bumiputera yang berkemampuan untuk memiliki saham dengan harapan mereka akan berjaya dalam perniagaan dan menguasai sesebuah syarikat.

Beliau berkata, pengagihan kekayaan itu dapat dilakukan melalui penubuhan Permodalan Nasional Bhd. (PNB) yang menguruskan skim-skim saham amanah khas untuk bumiputera.

``Baki kaum bumiputera yang tidak melabur adalah terdiri daripada golongan kanak-kanak dan orang tua yang tidak berminat melabur,'' katanya berucap melancarkan Minggu Saham Amanah Malaysia (MSAM) 2001 di sini hari ini.

Majlis yang diadakan di Dewan Majlis Perbandaran Kota Bharu (MPKB) tersebut turut dihadiri oleh isteri Perdana Menteri, Datin Seri Dr. Siti Hasmah Mohd. Ali, Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, Pengerusi PNB Tan Sri Ahmad Sarji Abdul Hamid, Ketua Eksekutif PNB, Datuk Hamad Kama Piah Che Othman.

Pada majlis itu Perdana Menteri turut melancarkan satu lagi saham amanah baru khusus untuk bumiputera dikenali sebagai `Amanah Saham Didik' (ASD) dengan saiz dana 300 juta unit.

Menurut Dr. Mahathir lagi, pengagihan saham-saham amanah dan ekuiti tersebut membolehkan kaum bumiputera berada dalam kelompok-kelompok pengurusan ahli lembaga pengarah syarikat-syarikat gergasi tersebut dalam tempoh yang lebih singkat.

Jelas beliau lagi, dasar kerajaan itu juga berjaya menambah bilangan bumiputera yang terlibat dalam perniagaan di peringkat tertinggi sekali gus mengimbangi kaum-kaum lain.

``Jika tidak, bumiputera hanya terlibat dalam perniagaan kecil-kecilan dan tidak terlibat dalam pengurusan, jadi mereka tidak tahu cara pengurusan syarikat gergasi,'' ujarnya.

Perdana Menteri berkata, kerajaan memberi peluang kepada bumiputera tertentu untuk memiliki saham-saham bertujuan agar mereka dapat terlibat secara langsung dengan perniagaan.

Katanya, jumlah saham yang diberikan kepada mereka sedikit sahaja berbanding dengan jumlah pelaburan sebanyak RM36 bilion dalam saham-saham amanah yang diuruskan oleh PNB.

``Sebab itulah kerajaan memberi peluang kepada bumiputera tertentu (yang berjaya dan berkemampuan) sahaja untuk memiliki saham-saham dalam syarikat-syarikat gergasi itu.

``Dalam hubungan ini, kerajaan tidak ada niat untuk pilih kasih atau jamin orang itu atau orang ini. Orang asing (negara lain) tidak senang dengan dasar DEB dan pemilikan saham amanah yang diuruskan oleh PNB,'' tegasnya.

Jelasnya lagi, orang asing ini berpendapat apabila kerajaan menswastakan sesuatu (syarikat), syarikat itu perlu dimiliki dan memberi keuntungan kepada mereka (orang asing).

``Di Malaysia, bila kerajaan swastakan aset kerajaan, kita tidak perlu menjualnya kepada orang asing kerana kita tidak ada hutang, kita guna penswastaan untuk capai DEB dengan menjual kepada individu berkebolehan agar mereka memiliki syarikat gergasi tanpa perlu menunggu lama,'' ujarnya.

Bagaimanapun Dr. Mahathir menjelaskan, kegawatan ekonomi negara baru-baru ini menyebabkan ramai di kalangan individu berkenaan menghadapi masalah sehingga memaksa kerajaan mengambilalih semula syarikat-syarikat tersebut.

Ditanya sama ada beliau berpuas hati dengan keadaan itu, Dr. Mahathir berkata: ``Setakat ini ada yang saya berpuas hati dan ada yang tidak sebab ada juga mereka yang gagal, mereka agak rapuh lagi. Bila berdepan dengan kegawatan ekonomi mereka mudah menghadapi masalah, tak dapat bayar hutang.''

Beliau berkata, langkah kerajaan membeli semula syarikat-syarikat yang tenat itu bukan untuk menolong individu berkenaan tetapi untuk mengelakkan para pekerja hilang pekerjaan manakala pemegang-pemegang saham kerugian.

Ditanya apakah faktor kredibiliti yang menyebabkan mereka dianggap rapuh, menurut Perdana Menteri, dalam mana-mana perniagaan tidak ada ahlinya yang 100 peratus akan berjaya.

Sebaliknya beliau menjelaskan, dalam 100 buah syarikat mungkin sebanyak 30 hingga 40 peratus akan mengalami kegagalan dan hakikat itu perlu diterima oleh semua pihak.

 

muka depan | agama | ekonomi | fatwa | jenayah & kemalangan | kolumnis | pelancongan
pendidikan | pendatang asing | politik | rencana | sains dan teknologi