Toolshack.com - "Where Webmasters Find Their Tools"
Web tools and webmaster resources, including: traffic statistics, site monitoring, banner exchange, search engine submission, a generous affiliate program, more...

EKONOMI

Utusan Malaysia 21 April 2001

Caj pendaratan, tempat simpan pesawat di KLIA dimansuh

KUALA LUMPUR 20 April - Kementerian Pengangkutan membuat keputusan menghapuskan semua caj pendaratan dan menyimpan pesawat di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Sepang, mulai 1 Mei ini.

Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Dr. Ling Liong Sik berkata, penghapusan caj-caj itu hanya untuk penerbangan penumpang dan sah bagi penerbangan yang mempunyai muatan minimum 25 peratus.

``Ini satu keputusan penting dan strategi pemasaran agresif bagi meningkatkan jumlah kemasukan pesawat asing di KLIA,'' katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat jawatankuasa Pusat Penerbangan KLIA, di kementeriannya di sini hari ini.

Dr. Ling berkata, keputusan berkenaan diambil untuk mempromosikan KLIA sebagai pusat penerbangan utama serta bertujuan menarik lebih banyak syarikat penerbangan asing menggunakan lapangan terbang serba moden itu.

``Ini adalah keputusan penting bagi menggalakkan lebih banyak syarikat penerbangan untuk datang ke sini dan membawa lebih banyak orang ke Malaysia. Muatan minimum 25 peratus itu adalah praktikal,'' katanya.

Pada 11 Mac lalu, Kementerian Pengangkutan telah menubuhkan satu jawatankuasa khas perancangan untuk menarik kemasukan pesawat asing membuat pendaratan pesawat di KLIA.

Jawatankuasa itu dipengerusikan oleh Ketua Setiausaha Kementerian berkenaan dan dianggotai oleh wakil-wakil Penerbangan Malaysia (MAS), Malaysia Airports Berhad (MAB) serta agensi-agensi lain yang berkaitan.

Sebelum ini, syarikat penerbangan nasional Jerman, Lufthansa dan syarikat penerbangan nasional Australia, Qantas mengumumkan penarikan balik perkhidmatan mereka ke Kuala Lumpur.

Selain itu, British Airways menghentikan perkhidmatannya antara London dan Kuala Lumpur sejak 1 April lalu.

Kesemua syarikat penerbangan terbabit memberikan alasan laluan yang tidak menguntungkan kerana faktor penumpang yang kurang.

Dr. Ling seterusnya berkata, langkah menghapuskan caj itu juga dijangka dapat menolong mengurangkan bebanan kos operasi bagi sesebuah syarikat penerbangan yang kecil.

``Syarikat kecil biasanya menghadapi kekurangan penumpang dan langkah mengelakkan caj ini dapat mengurangkan kos operasi mereka,'' katanya.

Pada masa ini kira-kira 41 syarikat penerbangan antarabangsa beroperasi di KLIA. KLIA mula beroperasi pada 29 Jun, 1998.

Persatuan Pengangkutan Udara Antarabangsa (IATA) memilih KLIA menduduki ranking keenam bagi perkhidmatannya tahun lepas berbanding kedudukan di tangga ke-14 pada 1999.

Dalam pada itu, ketika ditanya perkembangan krisis yang melanda MCA ketika ini, beliau enggan mengulas kerana menganggapnya sebagai isu dalaman.

Katanya, beliau kini lebih suka mengambil sikap berdiam diri dan menganggap agenda negara lebih penting daripada isu-isu seperti itu.

 

muka depan | agama | ekonomi | fatwa | jenayah & kemalangan | kolumnis | pelancongan
pendidikan | pendatang asing | politik | rencana | sains dan teknologi