Toolshack.com - "Where Webmasters Find Their Tools"
Web tools and webmaster resources, including: traffic statistics, site monitoring, banner exchange, search engine submission, a generous affiliate program, more...

EKONOMI

Utusan Malaysia 21 April 2001

Klinik: Amaran kepada kontraktor

JASIN 20 April - Jabatan Kerja Raya (JKR) diminta menyenaraihitamkan kontraktor yang melengah-lengahkan projek pembinaan klinik kesihatan sehingga menyebabkan ia gagal disiapkan mengikut jadual.

Menteri Kesihatan, Datuk Chua Jui Meng berkata, tindakan tegas itu perlu kerana kelewatan pembinaan klinik kesihatan akan menyebabkan rakyat kecewa dengan perkhidmatan yang disediakan oleh kerajaan.

``Jika projek seumpama ini dilengah-lengahkan, rakyat akan hampa dengan perkhidmatan yang disediakan oleh kerajaan,'' katanya kepada pemberita selepas melawat Klinik Kesihatan Selandar dekat sini hari ini.

Menurutnya, kelewatan itu berpunca daripada pengurusan syarikat yang tidak cekap dan kontraktor tidak membayar kepada subkontraktor setelah menerima wang daripada kerajaan, sebaliknya wang tersebut disalurkan ke projek lain.

``JKR perlu menyenaraihitamkan kontraktor begini tetapi jika kelewatan itu di luar kawalan pihak kontraktor, ia boleh dibincangkan untuk mengelak tindakan diambil,'' katanya.

Menurutnya, walaupun pelaksanaan projek di bawah kementeriannya di seluruh negara adalah memuaskan iaitu mencecah 98.4 peratus, masih ada projek yang lewat disiapkan mengikut jadual.

``Ini termasuk pembinaan Klinik Kesihatan Selandar bernilai RM11.5 juta yang dijangka siap pada hujung tahun ini, lewat hampir 26 peratus daripada jadual asal,'' katanya.

Menurut Chua, Klinik Umbai bernilai RM12 juta juga lewat sebanyak 13 peratus daripada jadual asal manakala Klinik Kesihatan Ayer Keroh yang menelan belanja RM15 juta lewat lapan peratus.

Sehubungan itu, beliau menggesa pegawai Jabatan Kesihatan Negeri bekerjasama dengan JKR untuk turun ke padang bagi meninjau projek pembinaan itu dengan lebih rapi supaya ia siap dibina mengikut jadual.

Kerajaan kata Chua, menyediakan peruntukan sebanyak RM95.8 juta untuk sektor kesihatan dan perubatan di negeri ini di bawah Rancangan Malaysia Ketujuh (RMK-7) dan peruntukan tambahan RM24 juta semasa negara dilanda kegawatan ekonomi.

``Walaupun begitu, saya berpuas hati kerana sepanjang tempoh RMK-7 ini, Jabatan Kesihatan Negeri telah membelanjakan sebanyak RM143 juta iaitu 120 peratus daripada jumlah peruntukan yang disediakan,'' katanya.

Dalam pada itu, katanya, kerajaan memperuntukkan sebanyak RM7 juta bagi menyediakan rawatan Cyclosporin secara percuma kepada pesakit-pesakit yang menjalani pemindahan buah pinggang di luar negara.

Menteri Kesihatan, Datuk Chua Jui Ming berkata, peruntukan itu untuk membantu pesakit terlibat yang terpaksa menanggung kos sebanyak RM1,000 sebulan bagi mendapatkan ubat Cyclosporin.

Bagaimanapun, katanya, pesakit yang ingin mendapatkan rawatan percuma itu perlu menerima rawatan lanjut selama setahun di hospital-hospital kerajaan.

Oleh: AMIRUDDIN HARUN

 

muka depan | agama | ekonomi | fatwa | jenayah & kemalangan | kolumnis | pelancongan
pendidikan | pendatang asing | politik | rencana | sains dan teknologi