Toolshack.com - "Where Webmasters Find Their Tools"
Web tools and webmaster resources, including: traffic statistics, site monitoring, banner exchange, search engine submission, a generous affiliate program, more...

EKONOMI

Utusan Malaysia 24 April 2001

Rizab antarabangsa BNM susut AS$900 juta pada separuh pertama bulan April

KUALA LUMPUR 23 April - Rizab antarabangsa Bank Negara Malaysia (BNM) merosot sebanyak RM3.4 bilion atau AS$900 juta kepada RM99.885 bilion atau AS$26.3 bilion pada 14 April, 2001 dari RM103.3 bilion atau AS$27.2 bilion pada akhir bulan Mac 2001.

Mengumumkannya pada satu taklimat akhbar di sini hari ini, Gabenor Bank Negara Datuk Dr Zeti Akhtar Aziz berkata, jumlah rizab ini masih lagi mencukupi untuk membiayai kira-kira empat bulan import dan 5.7 kali hutang luaran jangka pendek.

Beliau berkata, separuh pertama bulan April merupakan tempoh ketidaktentuan memandangkan yen Jepun telah turun nilai dengan mendadak untuk mencapai tahap terendah sebanyak 126 yen berbanding dolar Amerika Syarikat pada penghujung bulan Mac, iaitu kadar yang terendah dalam tempoh dua setengah tahun.

Berikutan perkembangan ini, pasaran menjangkakan bahawa mata wang serantau akan terus menjadi lemah, dan jangkaan nilai kadar pertukaran ringgit akan diturunkan, kata Dr Zeti.

Dalam pada itu, perkembangan dalam pasaran ekuiti global juga adalah tidak memberangsangkan disebabkan oleh kebimbangan berterusan terhadap kelembapan ekonomi AS.

Hasil suku tahunan korporat AS yang mendukacitakan telah menyebabkan pengurangan sebanyak 6.5 peratus dalam indeks komposit Nasdaq dan 0.9 peratus dalam indeks purata industri Dow Jones pada minggu pertama bulan April, katanya.

Dalam suasana ini, pengumuman oleh Standard and Poor's pada 4 April, 2001 bahawa prospek terhadap Malaysia telah dinilai semula daripada positif kepada stabil telah menyumbang kepada ketidaktentuan yang berlebihan dalam pasaran kewangan dalam negeri, kata Dr Zeti.

Beliau juga menyesali Standard and Poor's kerana mengambil tindakan itu tanpa meminta pandangan dari Bank Negara Malaysia.

"Selalunya, mereka akan menghantar satu kumpulan untuk membuat penilaian dan hanya selepas itu, mereka akan membuat pengumuman. Mereka mendengar daripada seseorang dan terus membuat kesimpulan yang mana ini tidak adil."

"Semua perkembangan ini memberi kesan kepada pasaran dan ini menyebabkan reaksi yang keterlaluan oleh pasaran dan oleh demikian, ia menyebabkan peningkatan kepada aliran keluar kasar separuh pertama bulan April.

"Para pengimport mula meningkatkan pembelian hadapan untuk import barangan dan perkhidmatan serta pembayaran balik hutang sementara aliran keluar bersih dana portfolio berjumlah AS$176 juta dalam tempoh dua minggu pertama," kata Dr Zeti.

Mengenai perkembangan positif pula, gabenor itu berkata, perkembangan positif pada minggu ketiga bulan April telah menyebabkan pemulihan dalam aliran rizab antarabangsa.

"Kadar yen mengukuh, mata-mata wang serantau pulih dan AS pula memotong kadar faedah pada 18 April," jelas beliau.

Dr Zeti juga berkata, dengan pemotongan kadar faedah berkenaan, perbezaan kadar faedah telah berkurangan sebanyak 100 mata asas, sekali gus menjadikannya kurang menarik bagi pembeli menempatkan dana-dana mereka di seberang laut.

Sementara itu, para ahli ekonomi menjangkakan yang pemulihan paras rizab dalam tempoh minggu ketiga April akan berterusan sehingga minggu keempat berikutan pengurangan dalam perbezaan kadar faedah dan kestabilan mata-mata wang pasaran.

Terdahulu, ketika mengadakan pertemuan dengan para perwakilan dari sektor pengilangan, Dr Zeti berkata para perwakilan ini mahu tambatan ringgit iaitu pada 3.80 untuk satu dolar AS diteruskan. - Bernama

 

muka depan | agama | ekonomi | fatwa | jenayah & kemalangan | kolumnis | pelancongan
pendidikan | pendatang asing | politik | rencana | sains dan teknologi