Toolshack.com - "Where Webmasters Find Their Tools"
Web tools and webmaster resources, including: traffic statistics, site monitoring, banner exchange, search engine submission, a generous affiliate program, more...

EKONOMI

Utusan Malaysia 25 April 2001

Operasi PNB hingga matlamat tercapai

KOTA BHARU 24 April - Permodalan Nasional Bhd. (PNB) akan terus beroperasi kerana matlamat penubuhannya untuk meningkatkan penyertaan ekuiti di kalangan bumiputera dalam sektor swasta masih belum tercapai, kata Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi.

Sehubungan itu, kata beliau, PNB perlu mempelbagai dan memperbesarkan kegiatannya dalam meningkatkan pegangan ekuiti bumiputera dalam sektor ekonomi swasta bukan sahaja di segi bilangan pelabur tetapi juga nilai pelaburan mereka.

Katanya, kerajaan di bawah Rancangan Malaysia Kelapan (RMK-8) sebagaimana yang diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Dr. Mahathir Mohamad semalam, telah membuka lebih banyak peluang-peluang kepada kemunculan syarikat-syarikat besar di negara ini pada masa hadapan.

``Keadaan ini akan memberi kesempatan kepada PNB untuk mempelbagaikan pelaburannya untuk (kepentingan) rakyat, katanya kepada pemberita selepas menyempurnakan majlis penutup Minggu Saham Amanah Malaysia (MSAM) 2001 di Dewan Majlis Perbandaran Kota Bharu (MPKB) di sini, hari ini.

Hadir sama antaranya, Timbalan Menteri Besar Kelantan, Datuk Abdul Halim Abdul Rahman; Penasihat Kementerian Kewangan, Datuk Mustapa Mohamad; Pengerusi PNB, Tan Sri Ahmad Sarji; Ketua Eksekutif Kumpulan PNB, Datuk Hamad Kama Piah Che Othman dan Presiden Persekutuan Pengurus-Pengurus Amanah Saham Malaysia (FMUTM), Datuk Abdul Azim Mohd. Zabidi.

Terdahulu dalam ucapannya, Timbalan Perdana Menteri berkata, kesungguhan kerajaan yang dibantu oleh PNB telah berjaya mengubah tanggapan di kalangan bumiputera, termasuk masyarakat luar bandar tentang industri saham amanah.

Justeru, katanya, program seperti MSAM perlu diadakan secara berterusan untuk menyedarkan masyarakat tentang peranan dan kepentingan melabur dalam saham amanah kepada pembangunan ekonomi diri, keluarga, masyarakat dan negara.

Menurut Abdullah, industri saham amanah yang melibatkan lebih 30 syarikat, mengurus lebih daripada RM46 bilion dana dengan RM36 bilion daripadanya dikendali oleh PNB, yang digembleng daripada pelbagai lapisan masyarakat sekali gus membantu menjana pembangunan ekonomi negara.

Malah, katanya, kewujudan dan pertumbuhan positif industri saham amanah, membuktikan komitmen kerajaan untuk mewujudkan pembangunan menyeluruh supaya segenap lapisan masyarakat dapat menikmati kemakmuran negara.

Bagaimanapun, tegas beliau, masyarakat bumiputera tidak seharusnya leka dengan kejayaan yang dikecapi kini kerana arus pembangunan negara menuntut PNB untuk lebih peka akan kehendak dan matlamat pelaburan para pelabur yang berkehendakkan pulangan tinggi di segi dividen dan bonus.

``Ini adalah antara cabaran para pengurus PNB dan saya percaya dengan keupayaan dan kepakaran yang ada pada PNB, mereka boleh meningkatkan lagi prestasinya, katanya.

 

muka depan | agama | ekonomi | fatwa | jenayah & kemalangan | kolumnis | pelancongan
pendidikan | pendatang asing | politik | rencana | sains dan teknologi