Toolshack.com - "Where Webmasters Find Their Tools"
Web tools and webmaster resources, including: traffic statistics, site monitoring, banner exchange, search engine submission, a generous affiliate program, more...

EKONOMI

Utusan Malaysia 25 April 2001

Negara maju diseru bertindak kekang kemerosotan ekonomi

Oleh:ABU HAKIM TANZIMUDDIN
KUALA LUMPUR 24 April - Persidangan Perdagangan dan Pembangunan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNCTAD) menggesa negara-negara maju bertindak segera mengekang ekonomi dunia menjadi bertambah buruk dan mendekati jurang berbahaya.

Menurut Laporan Perdagangan dan Pembangunan (TDR) 2001 UNCTAD, dasar-dasar yang jelas dan kerjasama di kalangan semua negara ekonomi utama dunia amat diperlukan untuk menghentikan situasi ekonomi global dari kemerosotan selanjutnya.

``Dengan negara-negara membangun masih terdedah kepada kejutan ekonomi, risiko kemuraman ekonomi dunia terus memuncak,'' kata badan Persidangan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) itu dalam laporan tersebut yang diumumkan serentak di sini dan di beberapa ibu kota dunia lain hari ini.

Laporan berkenaan telah dibentangkan oleh Perwakilan Residen Program Pembangunan Bangsa-bangsa Bersatu (UNDP) di sini, Philips Young dan ekonomis tempatan yang juga Pengarah Third World Network, Martin Khor.

UNCTAD menambah, harapan untuk melihat pertumbuhan pesat kembali seperti pada tahun 2000 kini mulai pudar dan persoalannya sekarang ialah sejauh mana kelembapan ekonomi akan melanda dan setakat mana langkah drastik Rezab Persekutuan Amerika Syarikat (AS) berkesan membawa pemulihan.

Sama ada masa depan terdekat bergantung kepada AS, prospek jangka panjang ekonomi global tidak boleh menurut laporan itu, bergantung kepada dasar dan fenomena di sebuah negara semata-mata.

``Harapan kini ialah bahawa Eropah, di mana buat pertama kalinya dalam lebih sedekad ia memecah rintangan pertumbuhan tiga peratus pada tahun 2000, akan merampas `baton' dari AS,'' katanya.

Walaupun begitu menurut UNCTAD, hubungan perdagangan yang terhad antara Eropah dan AS tidak bermakna benua itu kebal dari kesan kelembapan seberang laut kerana sebahagian negara Eropah bergantung kepada eksport untuk menjana pertumbuhan ekonominya.

Kata UNCTAD, tanpa perubahan yang jelas dalam dasar-dasar ekonomi, Kesatuan Eropah kemungkinan tidak mampu mecatat pertumbuhan tiga peratus atau lebih kecil lagi.

Mengenai satu lagi ekonomi utama dunia iaitu Jepun UNCTAD berkata, pertumbuhan bagi tahun 2000 di negara berkenaan dijangkakan pada tahap 1.3 peratus tidak akan melebihi purata pertumbuhan sedekad lalu dan dengan harga terus jatuh, tanda-tanda pada awal 2001 terus mengecewakan.

``Yen yang lemah boleh menyediakan sedikit dorongan tetapi dengan pertumbuhan yang lebih perlahan di AS, eksport tidak akan memuncak tahun ini,'' katanya.

Pertumbuhan yang dijana oleh sumber dalaman menurut laporan itu, diperlukan jika ekonomi Jepun mahu kembali ke landasan dan dengan sikap berbelanja berhati-hati oleh isi rumah dan firma, rangsangan menggalakkan perbelanjaan memerlukan tindakan kerajaan.

Mengenai negara membangun pula laporan itu menyebut, kesemua rantau membangun menunjukkan prestasi yang meningkat pada 2000 dengan mencatat pertumbuhan purata 5.5 peratus kecuali Afrika.

``Di kalangan ekonomi yang mencatat pertumbuhan paling pesat seperti Korea Selatan, Malaysia dan Brazil ialah mereka yang telah dilanda krisis kewangan sebelum ini,'' katanya.

Menurutnya, banyak ekonomi Asia terdedah kepada kelembapan di AS kerana pemulihan mereka banyak bergantung kepada eksport ke AS yang berjumlah tujuh peratus (Korea Selatan) dari Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) hingga 20 peratus (Malaysia).

Sehubungan itu UNCTAD berkata, untuk memastikan dunia kembali ke momentumnya tahun ini, ekonomi-ekonomi besar perlu menggerakkan segala usaha secara serentak.

Sehingga kini katanya, para penggubal dasar di AS telah menunjukkan keinginan mereka untuk bertindak balas terhadap tanda-tanda yang membimbangkan tetapi Eropah kekal keberatan untuk ikut.

``Merangsang pertumbuhan perlu menjadi mesej dasar yang tidak boleh dikompromi di mana sahaja termasuk di negara membangun,'' katanya.

Laporan UNCTAD itu juga berpendapat, ekonomi-ekonomi utama dunia perlu mempunyai dasar koordinasi yang lebih baik dengan memberi tumpuan kepada kesan ke atas ekonomi-ekonomi yang lebih lemah jika mahu melihat mereka merasai nikmat yang dijanjikan oleh globalisasi.

 

muka depan | agama | ekonomi | fatwa | jenayah & kemalangan | kolumnis | pelancongan
pendidikan | pendatang asing | politik | rencana | sains dan teknologi