Toolshack.com - "Where Webmasters Find Their Tools"
Web tools and webmaster resources, including: traffic statistics, site monitoring, banner exchange, search engine submission, a generous affiliate program, more...

EKONOMI

Utusan Malaysia 27 April 2001

Rakyat digalak berbelanja bantu pertumbuhan ekonomi

SUNGAI PETANI 26 April - Kerajaan menggalakkan rakyat berbelanja dan membeli-belah meskipun ekonomi negara berada dalam keadaan lembap ekoran kesan krisis ekonomi Amerika Syarikat, kata Menteri Kewangan, Tun Daim Zainuddin.

Beliau memberitahu, perbelanjaan di kalangan rakyat yang digalakkan tanpa pembaziran sebenarnya akan membantu kerajaan meningkatkan pertumbuhan ekonomi negara.

Jelas beliau, perbelanjaan itu juga akan meningkatkan lagi pengeluaran terutama di sektor industri dan pembuatan.

Dengan peningkatan pengeluaran, menurut beliau, sekali gus para pekerja akan terus bekerja dalam sesebuah industri atau pembuatan, malah seterusnya dapat menikmati pelbagai kemudahan.

``Apabila industri terus berkembang maju, maka kerajaan akan memperoleh cukai dan hasil daripada cukai itu kerajaan akan dapat pula melaksanakan lebih banyak projek pembangunan untuk rakyat,'' katanya.

Tambah beliau, hasil daripada kutipan cukai itu, kerajaan akan dapat terus membantu golongan kurang bernasib baik, berpendapatan rendah dan penduduk miskin di luar bandar.

Daim menyatakan demikian ketika berucap merasmikan Kiln Dried Plant bagi kilang perabot Tong Take Wood Products Sdn. Bhd. di Sungai Lembu di sini, hari ini.

Beliau menjelaskan, majikan dan pekerja perlu memahami antara satu sama lain dan masing-masing perlu mematuhi disiplin demi kepentingan bersama, sekali gus pengeluarannya akan dapat ditingkatkan.

Para pekerja juga perlu bekerja dengan lebih kuat dan taat setia kepada majikan kerana ia merupakan satu asas penting dalam mencapai kemajuan pada sesebuah industri termasuk industri pembuatan, ujarnya.

Daim juga menyarankan industri tempatan supaya mencari pasaran baru di luar negara kerana ia boleh meningkatkan lagi pengeluaran yang sedia ada.

Secara tidak langsung, menurut beliau, peluang-peluang pekerjaan terutama di kalangan penduduk tempatan tentunya akan terbuka luas.

Sebelum itu, Daim menyampaikan bantuan kepada 16 mangsa ribut yang melanda Kampung Pinang Dalam, Kampung Pinang Luar dan sekitarnya dalam kawasan Sungai Lalang di sini baru-baru ini.

 

muka depan | agama | ekonomi | fatwa | jenayah & kemalangan | kolumnis | pelancongan
pendidikan | pendatang asing | politik | rencana | sains dan teknologi