Toolshack.com - "Where Webmasters Find Their Tools"
Web tools and webmaster resources, including: traffic statistics, site monitoring, banner exchange, search engine submission, a generous affiliate program, more...

EKONOMI

Utusan Malaysia 27 April 2001

40,000 hektar tanah untuk projek keluarkan makanan

ROMPIN 26 April - Kementerian Pertanian meletakkan sasaran untuk membuka 40,000 hektar tanah di bawah projek taman kekal pengeluaran makanan (TKPM) yang membabitkan 13,000 hingga 15,000 pengusaha dalam tempoh lima hingga 10 tahun ini.

Menteri Pertanian, Datuk Mohd. Effendi Norwawi berkata, projek berkenaan yang sudah dilaksanakan di beberapa kawasan di negara ini telah terbukti berjaya bukan sahaja dari segi pengeluaran bahan makanan tetapi juga meningkatkan pendapatan petani.

Katanya, buat permulaan kementerian membuka 3,000 hektar tanah TKPM pada tahun ini dan hadapan dengan melibatkan 1,000 peserta.

``Selain itu, pada masa ini seramai 300 pengusaha sudah menyertai program ini dan mampu memperoleh pendapatan antara RM3,000 hingga RM6,000 sebulan,'' katanya kepada pemberita ketika ditemui selepas merasmikan TKPM Janglau, di sini.

Pada majlis berkenaan, satu memorandum persefahaman antara Kementerian Pertanian dan kerajaan Pahang ditandatangani bagi menyediakan 3,000 hektar tanah untuk projek berkenaan.

Menurut Effendi, bagi mencapai sasaran 40,000 hektar tanah untuk projek TKPM, pihaknya memerlukan lebih ramai pengusaha yang berminat dalam bidang pertanian.

``Kejayaan untuk mencapai sasaran itu bergantung kepada sambutan untuk menyertai program ini kerana usaha membangunkan tanah pertanian tidaklah sukar,'' jelasnya.

Katanya, di bawah skim berkenaan, selain penyediaan kawasan seluas dua hektar untuk tanaman sayur dan lima hektar untuk buah-buahan, para peserta akan menerima pelbagai bentuk bantuan lain seperti pinjaman kewangan, khidmat nasihat serta pemasaran.

``Dengan adanya bantuan berkenaan potensi kejayaan adalah tinggi dengan syarat para peserta mengamalkan disiplin yang tinggi serta amalan pertanian yang ditetapkan dengan betul,'' ujarnya.

Beliau berkata, di bawah skim TKPM, kerajaan berusaha mengubah sektor pertanian daripada aktiviti bersifat tradisional kepada moden dengan pelbagai kaedah bermula dari penanam hingga ke pemasaran.

Kata beliau, melaluinya, satu pakej disediakan merangkumi perancangan pemasaran dan perniagaan yang secara langsung memastikan projek berkenaan dapat memberikan pulangan yang tinggi kepada peserta.

Jelasnya, di kawasan-kawasan yang telah dikenal pasti untuk dilaksanakan projek TKPM, kemudahan infrastruktur seperti jalan pertanian dan bekalan air turut disediakan.

``Pendeknya, melalui skim ini, segala-galanya disediakan, dari kawasan, kemudahan, bantuan, khidmat nasihat sehinggalah pemasaran,'' katanya.

Justeru, beliau meminta, sesiapa yang berminat terutama yang telah mempunyai kemahiran dalam bidang pertanian menyertai program berkenaan dengan menghubungi Jabatan Pertanian negeri masing-masing.

Katanya, program berkenaan terbuka kepada semua individu, termasuk wanita serta individu yang tiada kemahiran dalam bidang pertanian tetapi mesti berminat menceburi bidang berkenaan.

Oleh: YUSWANDI MAJID

 

muka depan | agama | ekonomi | fatwa | jenayah & kemalangan | kolumnis | pelancongan
pendidikan | pendatang asing | politik | rencana | sains dan teknologi