Make your own free website on Tripod.com
Toolshack.com - "Where Webmasters Find Their Tools"
Web tools and webmaster resources, including: traffic statistics, site monitoring, banner exchange, search engine submission, a generous affiliate program, more...

EKONOMI

Utusan Malaysia 30 April 2001

Kerajaan, pekerja perlu berganding bahu hadapi globalisasi

PERUTUSAN Perdana Menteri Datuk Seri Dr. Mahathir Mohamad sempena Hari Pekerja pada 1 Mei, 2001

WARGA pekerja di negara kita sungguh bertuah kerana sekali lagi dapat menyambut Hari Pekerja tahun ini dalam keadaan terselamat daripada ancaman pengangguran secara besar-besaran. Kerajaan pula terus menghargai dan mengiktiraf sumbangan dan jasa mereka kepada kemajuan negara.

2. Hari Pekerja diraikan kerana negara dan masyarakat menghargai sumbangan pekerja kepada pembangunan negara. Sementara kita tidak menafikan peranan majikan tetapi majikan dengan sendirinya tidak mungkin menjayakan apa-apa usaha. Tetapi pada masa yang sama kita juga perlu mengakui bahawa tanpa pelabur dan majikan, tidak akan ada peluang pekerjaan dan tidak akan ada pekerja.

3. Sebenarnya kita semua saling gantung-bergantungan kepada semua pihak. Seperti kata orang, kita tidak mungkin bertepuk dengan sebelah tangan.

4. Pada satu masa dahulu pemodal atau kapitalis telah menindas pekerja mereka secara tidak bertimbang rasa. Untuk mendapat keadilan, masyarakat pekerja telah menubuhkan kesatuan-kesatuan sekerja dan parti-parti buruh. Melalui tindakan perusahaan dan sokongan kepada parti-parti buruh, penindasan ke atas pekerja dapat dikurangkan. Malangnya kekuatan kesatuan dan parti buruh menyebabkan mereka membuat tuntutan-tuntutan yang keterlaluan. Kerajaan-Kerajaan yang didirikan oleh parti buruh atau sosialis telah memiliknegarakan semua perusahaan dengan kepercayaan bahawa segala keuntungan yang didapati akan dapat diagihkan kepada pekerja dengan lebih saksama.

5. Malangnya ini menyebabkan produktiviti menurun dan kos pengeluaran meningkat dengan tinggi. Hasil keluaran menjadi tidak berdaya saing dan keuntungan tidak diperolehi. Akhirnya ekonomi negara merosot dengan teruknya.

6. Kepercayaan kepada kerajaan sosialis atau buruh merosot kerana ini dan pekerja sendiri menolak parti mereka dan memilih parti yang lebih memihak kepada majikan dan Kapitalis.

7. Oleh kerana kerajaan-kerajaan kapitalis ini tidak lagi begitu menekan pekerja untuk mendapat sokongan, parti-parti buruh terpaksa menghargai peranan pelabur kapitalis. Dengan itu, kita lihat sekarang parti buruh tidak banyak berbeza daripada parti yang disokong oleh kapitalis. Mereka juga menerima penswastaan sebagai pendekatan yang baik untuk menjaga kepentingan pekerja. Demikian kita melihat perbezaan antara peranan pekerja dengan majikan tidak sebegitu ketara lagi. Masyarakat terpaksa mengakui akan peranan kedua-dua pihak, pelabur dan kapitalis di satu pihak dengan pekerja di pihak lain, adalah sama penting.

8. Tetapi proses menentukan peranan siapa yang lebih penting dan perlu dihargai belum tamat. Seperti mana kita semua tahu semasa Perang Dingin, persaingan ialah antara negara sosialis dan komunis yang kononnya memihak kepada pekerja atau buruh dengan puak pasaran bebas yang mengutamakan kepentingan pelabur atau kapitalis. Persaingan ini berakhir apabila blok sosialis ditewaskan oleh blok kapitalis pasaran bebas. Kekalahan blok sosialis adalah 'total' dan puak kapitalis tidak ada lagi sesiapa yang mencabarnya. Dengan itu mereka tidak lagi menerima keperluan mengawal nafsu tamak mereka.

9. Niat mereka yang lama untuk menguasai dan mengeksploitasi seluruh dunia sudah kembali. Mereka mencipta pelbagai pendekatan untuk menjayakan matlamat mereka. Antaranya ialah globalisasi atau dunia tanpa sempadan di mana wang yang bertimbun-timbun yang ada pada mereka boleh melintasi semua sempadan untuk menguasai segala-galanya.

10. Dalam perancangan mereka pekerja tidak ada peranan selain daripada menyumbang kepada keuntungan besar bagi mereka. Demikian jika upahan pekerja di satu negara tinggi sedikit, mereka akan mencabut perusahaan dan perniagaan mereka untuk pergi ke negara di mana upah adalah lebih murah. Penderitaan pekerja yang akan menganggur akibat tindakan mereka tidak sedikit pun akan mempengaruhi fikiran mereka. Bahawa sebelum ini mereka meraih keuntungan yang besar hasil sumbangan tenaga pekerja mereka tidak dihargai sama sekali. Tidak akan ada kesetiaan bagi yang setia kepada mereka?

11. Kesan daripada tindakan ini tidak terhad kepada pekerja mereka sahaja, tetapi juga kepada negara dan kepada masyarakat pekerja keseluruhannya. Akhirnya mereka yang sudah kaya, kapitalis jenis baru ini, akan lebih kaya dan yang miskin akan lebih miskin. Keadaannya tidaklah banyak berbeza daripada pengguguran pekerja tempatan kerana ingin mengganti dengan pekerja asing yang sanggup menerima upahan yang lebih rendah.

12. Kemungkinan-kemungkinan ini hendaklah diberi perhatian oleh masyarakat pekerja di zaman globalisasi ini. Jika kerajaan sekarang tidak begitu senang hati dengan globalisasi dan ingin mengadakan syarat-syarat tertentu, sebabnya ialah kerana kita tidak yakin dengan keikhlasan mereka yang mencipta globalisasi dan cuba memaksa penerimaannya secepat mungkin. Kita telah melihat bagaimana kebebasan yang diberi untuk menjual-beli mata wang telah menyebabkan jutaan pekerja kehilangan pekerjaan dan menjadi miskin semula. Perniagaan mata wang adalah sebahagian daripada proses globalisasi. Apakah tidak mungkin globalisasi seperti yang dilaksanakan sekarang tidak akan membawa kesan yang sama atau lebih buruk kepada negara dan kepada pekerja khususnya?

13. Semasa tuan-tuan dan puan-puan merayakan Hari Pekerja ada baiknya jika kita memperingati diri kita sendiri akan bahaya yang akan datang melalui globalisasi. Dalam menangkis bahaya ini kerajaan dan pekerja harus berganding bahu dan menyusun langkah bersama supaya pertahanan kita menjadi lebih berkesan.

14. Tema Hari Pekerja tahun ini ialah "K-Pekerja Pemangkin Kecemerlangan Negara". Tema ini dipilih kerana pekerja zaman ini memerlukan pengetahuan yang lebih untuk meningkatkan produktiviti mereka dan menjadikan hasil kerja mereka lebih kompetitif. Sudah tentu ini bermakna pekerja mestilah sanggup dilatih semula. Adalah diharap kecekapan yang baru ini akan menolong meningkatkan pendapatan pekerja. Tidak ada jaminan yang ini akan berlaku tetapi perkara yang tetap akan berlaku ialah kegagalan kita menguasai pengetahuan yang diperlukan akan membawa bencana kepada kita, termasuk pengangguran akibat pelaburan dibawa ke negara lain.

15. Dalam Rangka Rancangan Jangka Panjang Ketiga (RRJP3) kerajaan memberi fokus kepada usaha melatih dan mendidik tenaga kerja kita dengan pengetahuan, kemahiran dan kepakaran agar mereka dapat terus mendapat peluang bekerja dan menyumbang kepada pembangunan negara.

16. Kerajaan ingin menegaskan sekali lagi bahawa kemajuan yang dicapai oleh negara sejak merdeka adalah hasil daripada keamanan yang wujud selama ini, serta sokongan dan sumbangan semua pihak kepada usaha dan dasar kerajaan. Dengan ini kita bukan sahaja dapat membangunkan negara dan memulihkannya apabila berlaku kemerosotan, tetapi juga menyelamatkan kebebasan dan kemerdekaan kita.

17. Justeru itu, adalah wajar kita semua bersyukur dengan nikmat yang kita perolehi selama ini. Kita harus insaf bahawa hidup kita selama ini begitu selesa, bahagia, aman dan makmur. Dengan kesedaran ini diharap kita akan lebih berazam untuk memperbaiki lagi kehidupan kita di masa akan datang, masa yang lebih mencabar.

18. Kerajaan berjanji akan terus membela nasib kaum pekerja kerana mereka adalah nadi penting kepada pembangunan dan kemajuan rakyat serta negara. Tetapi kerajaan juga berharap para pekerja akan sentiasa bertindak dengan berhati-hati supaya kestabilan dan daya penarik negara sebagai lokasi pelaburan dari dalam dan luar akan berterusan.

19. Akhir sekali, bagi pihak diri saya dan kerajaan, saya sekali lagi mengucapkan terima kasih kepada semua warga pekerja yang telah tekun bekerja untuk membina negara kita ke arah kecemerlangan. Negara sangat menghargai sumbangan saudara-saudari semua. Selamat menyambut Hari Pekerja.

 

muka depan | agama | ekonomi | fatwa | jenayah & kemalangan | kolumnis | pelancongan
pendidikan | pendatang asing | politik | rencana | sains dan teknologi