Toolshack.com - "Where Webmasters Find Their Tools"
Web tools and webmaster resources, including: traffic statistics, site monitoring, banner exchange, search engine submission, a generous affiliate program, more...

EKONOMI

Utusan Malaysia 04 Mei 2001

Syarat hartanah dilonggar -- Warga asing boleh beli bangunan lebih RM250,000 tanpa ekuiti tempatan

KUALA LUMPUR 3 Mei - Kerajaan hari ini mengumumkan kelonggaran garis panduan pelaburan asing untuk menggalakkan lebih banyak warga asing membeli hartanah di negara ini bagi menghadapi kemuraman ekonomi dunia yang turut menjejaskan Malaysia.

Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Mahathir Mohamad berkata, rakyat asing kini dibenarkan membeli semua jenis unit kediaman, rumah kedai, ruang pejabat dan ruang perniagaan yang terdiri daripada bangunan lama dan projek baru dilancar berharga lebih RM250,000 tanpa perlu menubuhkan sebuah syarikat dengan penyertaan ekuiti tempatan.

Beliau berkata, semua pembelian tersebut juga dibenarkan dibiayai daripada sumber kewangan dalam negara berbanding kelonggaran sebelum ini yang menetapkan pembiayaan hendaklah melalui sumber kewangan luar negara.

``Kerajaan menyedari bahawa ekonomi negara menghadapi persekitaran yang lebih mencabar (berpunca) daripada pertumbuhan ekonomi dunia yang perlahan dan peningkatan persaingan antara negara untuk (menarik) pelaburan langsung asing (FDI),'' kata Perdana Menteri dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Semalam, kerajaan mengumumkan penghapusan langkah kawalan modal terakhir dengan menarik balik cukai keluar (levi) 10 peratus yang dikenakan ke atas keuntungan yang dibawa keluar melalui pelaburan pembelian saham di Malaysia berkuat kuasa serta-merta.

Langkah tersebut juga antara lain bertujuan menggalakkan kemasukan pelaburan asing khususnya dalam pasaran modal tempatan.

Dr. Mahathir menambah, kerajaan terus komited untuk mengekalkan persekitaran ekonomi yang terbuka serta mesra perniagaan dan sejajar dengan itu penyeliaan dan peraturan yang mempengaruhi pelaburan swasta dilonggarkan untuk meningkatkan potensi sektor berkenaan.

Selaras dengan hasrat itu juga katanya, garis panduan pelaburan asing dilonggarkan untuk mempercepatkan proses pelaburan dan menggalakkan lebih banyak pelaburan asing dan tempatan berkuat kuasa 25 April lalu.

``Kelonggaran garis panduan Jawatankuasa Pelaburan Asing (FIC) ini adalah meliputi urus niaga pemilikan hartanah oleh rakyat tempatan dan asing termasuk pemilikan lot industri atau kilang,'' katanya.

Menurut Dr. Mahathir, pemerolehan hartanah di bawah RM10 juta oleh rakyat tempatan tidak perlu mendapatkan kelulusan FIC untuk memudah dan mempercepatkan transaksi-transaksi kecil diselesaikan di peringkat pihak berkuasa negeri.

Katanya, pihak asing yang menjalankan aktiviti pengilangan tetapi dikecualikan daripada mendapat lesen pengilang daripada Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) kini dibenarkan memperoleh lot industri atau kilang untuk tujuan pengilangan sahaja tetapi bukan untuk disewakan.

``Langkah ini bertujuan untuk memudahkan rakyat asing memperoleh hartanah industri untuk tujuan aktiviti pengilangan mereka,'' kata Dr. Mahathir.

Menurut beliau, bagi menggalakkan syarikat-syarikat asing ditubuhkan di negara ini untuk beroperasi sebagai ibu pejabat atau pejabat serantaunya pula, mereka dibenarkan memiliki pejabat atau ruang pejabat bernilai lebih RM250,000 seunit tanpa syarat ekuiti atau dihadkan bilangan unit yang boleh dimiliki.

Katanya, syarikat-syarikat asing yang ditubuhkan di negara ASEAN yang ingin menubuhkan syarikat usaha sama atau menjalankan aktiviti perdagangan dan perniagaan di negara ini adalah dibenarkan memiliki pejabat atau ruang pejabat tanpa syarat ekuiti.

Bagi pemerolehan unit kediaman di bawah Silver-Haired Programme kata Perdana Menteri, rakyat asing dibenar memperoleh unit kediaman bernilai RM150,000 ke atas, tertakluk kepada syarat unit berkenaan adalah di kawasan yang dikhaskan untuk program berkenaan.

Menurut beliau, bagi urus niaga hartanah bernilai di bawah RM20 juta yang membabitkan penjualan antara bumiputera kepada bumiputera; bukan bumiputera kepada bumiputera; bukan bumiputera kepada bukan bumiputera dan kepentingan asing kepada rakyat Malaysia, semua syarikat atau individu hanya perlu melaporkan cadangan urus niaga yang dimeterai kepada Urus Setia FIC untuk tujuan rekod FIC sahaja.

``Dengan demikian pihak berkuasa negeri tidak perlu menunggu kelulusan FIC dalam menguruskan kes-kes tersebut,'' kata Dr. Mahathir.

Di samping itu Perdana Menteri turut mengumumkan pelantikan anggota baru FIC iaitu Ketua Setiausaha Kementerian Tanah dan Pembangunan Koperasi, Datuk Dr. Nik Mohd. Zain Mohd. Yusof.

FIC ditubuhkan bertujuan untuk menggubal dasar pelaburan asing dalam semua sektor ekonomi dan mengawasi perkembangan bagi membantu menyelesaikan masalah-masalah mengenai pelaburan asing di samping menasihati kementerian dan agensi kerajaan yang berkenaan mengenai semua perkara berkaitan pelaburan asing.

Dr. Mahathir juga berkata, Rancangan Malaysia Kelapan dan Rangka Rancangan Jangka Panjang menyedari perlunya ditingkatkan daya saing dan daya tahan ekonomi negara untuk memastikan pertumbuhan yang mampan.

Antara lain kata beliau, langkah yang telah dikenal pasti termasuk menggalakkan pelaburan swasta dan mewujudkan persekitaran pelaburan yang menyokong untuk meningkatkan kejayaan perniagaan.

Oleh: ABU HAKIM TANZIMUDDIN

 

muka depan | agama | ekonomi | fatwa | jenayah & kemalangan | kolumnis | khas | pelancongan
pendidikan | pendatang asing | politik | rencana | sains dan teknologi | umum