Toolshack.com - "Where Webmasters Find Their Tools"
Web tools and webmaster resources, including: traffic statistics, site monitoring, banner exchange, search engine submission, a generous affiliate program, more...

EKONOMI

Utusan Malaysia 04 Mei 2001

Dana RM350j tanam semula kelapa sawit

MENTAKAB 3 Mei - Kerajaan memperuntukkan dana RM350 juta sebagai pinjaman dengan kadar faedah rendah kepada pekebun kecil menanam semula kelapa sawit.

Langkah berkenaan merupakan satu lagi usaha kerajaan untuk meringankan beban yang ditanggung oleh pekebun-pekebun akibat kejatuhan harga komoditi itu di pasaran dunia.

Menteri Perusahaan Utama, Datuk Seri Dr. Lim Keng Yaik berkata, dana itu terbuka kepada pekebun-pekebun kecil sawit yang mempunyai kebun melebihi 4 hektar dan tidak pernah menerima pinjaman daripada mana-mana agensi.

``Ini merupakan satu pinjaman mudah kepada pekebun-pekebun kecil untuk program tanaman semula, bagi menggantikan pokok kelapa sawit yang telah berusia lebih 25 tahun di samping insentif RM1,000 sehektar yang telah diumumkan oleh kerajaan baru-baru ini,'' katanya kepada pemberita selepas mengadakan lawatan kerja ke Felda Jenderak Utara di sini, hari ini.

Dr. Lim berkata, kemudahan pinjaman itu akan disalurkan melalui Bank Pertanian Malaysia (BPM) dan akan dimulakan dalam masa terdekat ini sebaik sahaja peruntukan dan mekanismenya diluluskan.

Beliau berkata, melalui dana itu, pemohon boleh meminjam sebanyak RM6,000 untuk satu hektar bagi tanaman semula sawit dengan kadar faedah empat peratus bagi tempoh pinjaman selama 10 tahun.

Katanya, bagi tempoh empat tahun pertama, pemohon tidak perlu lagi membayar balik pinjaman sebaliknya akan mula membayarnya dalam tempoh enam tahun berikutnya apabila pokok mengeluarkan hasil.

Menurut Dr. Lim, pinjaman itu juga boleh dipohon oleh mereka yang telah `keluar' daripada tanah-tanah rancangan kerajaan seperti Felda dan Felcra setelah selesai membayar balik hutang dan mendapat hak milik tanah.

Katanya, golongan terbabit juga perlu diberi peluang untuk menikmati kemudahan itu memandangkan mereka juga menghadapi tekanan akibat kejatuhan harga kelapa sawit dan tidak mempunyai modal untuk menanam semula.

Dalam perkembangan berkaitan, Dr. Lim memberitahu, kerajaan telah meluluskan dana berjumlah RM1 bilion untuk tanam semula getah yang akan melibatkan 1.2 juta hektar ladang getah di seluruh negara.

Katanya, jawatankuasa khas telah ditubuhkan untuk merangka mekanisme bagi menguruskan dana tersebut yang bakal dinikmati oleh lebih 350,000 pekebun kecil getah.

Oleh: MOHD. ROMZI SAMSUDIN

 

muka depan | agama | ekonomi | fatwa | jenayah & kemalangan | kolumnis | khas | pelancongan
pendidikan | pendatang asing | politik | rencana | sains dan teknologi | umum