Toolshack.com - "Where Webmasters Find Their Tools"
Web tools and webmaster resources, including: traffic statistics, site monitoring, banner exchange, search engine submission, a generous affiliate program, more...

EKONOMI

Utusan Malaysia 04 Mei 2001

Pengiklanan mampu mantapkan ekonomi

Oleh: SITI NORSHAFINAZ SH MAZNAN
PETALING JAYA 3 Mei - Pengiklanan mampu mengekalkan kemantapan pertumbuhan ekonomi dan bukan sebagaimana yang disalah anggap oleh orang ramai selama ini.

Presiden Persatuan Agensi Pengiklan Bertauliah Malaysia (4As), Khoo Boo Boon berkata, pengiklanan juga memberikan nilai serta lebih peluang kepada para pengguna untuk membuat pilihan.

``Ia juga mewujud serta menggalakkan persaingan yang sihat serta inovasi produk dan melalui peranannya ia menanggung kos utama dalam penerbitan surat khabar, majalah dan program televisyen,'' katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar mengumumkan kempen pengiklanan untuk meningkatkan kesedaran di kalangan para pengiklan dan orang ramai mengenai kepentingannya di sini, hari ini.

Kempen dianjurkan bersama antara 4As dengan Persatuan Pengiklan Malaysia (MAA) dan Persatuan Pengiklanan Antarabangsa-Bab Malaysia yang merupakan satu usaha sama pertama seumpamanya bagi tujuan itu.

Hadir sama pada majlis tersebut adalah Presiden MAA, Zainuddin Noh, Naib Presiden MAA, Shahar Noor dan Naib Presiden 4As, John Burbridge.

Menurut Khoo, pengiklanan telah memberi subsidi kepada sebahagian besar daripada perniagaan hiburan dan terutamanya sukan di samping memainkan peranan penting memberikan peluang pekerjaan melalui proses menjana permintaan secara besar-besaran.

Satu contoh yang harus dipertimbangkan katanya: ``Tanpa pengiklanan, senaskhah surat khabar secara purata mungkin akan berharga RM5.''

Beliau berkata, pihaknya menyedari tentang salah tanggapan para pengguna mengenai pengiklanan.

``Mereka menganggap pengiklanan sebagai penceroboh, mengganggu tumpuan dan bercorak ulangan.

``Mereka juga menganggap bahawa pengiklanan merupakan satu tanggungan perbelanjaan yang sebenarnya meningkatkan lagi kos barangan dan perkhidmatan,'' katanya.

Orang ramai juga, katanya, menganggap bahawa individu yang terbabit di dalam industri itu sebagai pemanipulasian profesional yang kurang memikirkan tentang kepentingan ramai.

Pengiklanan sering menjadi bahan kritikan kerana ia merupakan aktiviti perniagaan yang paling berdaya maju, katanya.

Khoo berkata, kuasa pengiklanan turut menjayakan banyak usaha yang dimulakan oleh Malaysia termasuk acara-acara yang menjadi tumpuan antarabangsa seperti penganjuran Sukan Komanwel, Formula 1 dan Sukan SEA.

``Pengiklanan bukan sahaja membantu menjadikan wawasan satu realiti, malah ia turut membantu menyediakan pekerjaan, menjana hasil pendapatan dan keuntungan kepada perniagaan,'' katanya.

Kempen tersebut diadakan dalam bentuk satu siri enam iklan cetak yang akan disiarkan dalam semua surat khabar di seluruh negara mulai sekarang.

 

muka depan | agama | ekonomi | fatwa | jenayah & kemalangan | kolumnis | khas | pelancongan
pendidikan | pendatang asing | politik | rencana | sains dan teknologi | umum