Toolshack.com - "Where Webmasters Find Their Tools"
Web tools and webmaster resources, including: traffic statistics, site monitoring, banner exchange, search engine submission, a generous affiliate program, more...

EKONOMI

Utusan Malaysia 04 Mei 2001

REHDA alu-alukan garis panduan baru FIC

KUALA LUMPUR 3 Mei - Persatuan Pemaju Hartanah dan Perumahan Malaysia (REHDA) menyokong kelonggaran garis panduan Jawatankuasa Pelaburan Asing (FIC) untuk menggalakkan lebih banyak pelaburan asing dan tempatan seperti yang diumumkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Mahathir Mohamad, hari ini.

``Garis panduan baru ini yang membenarkan rakyat asing memiliki semua jenis hartanah kediaman dan komersial berharga lebih RM250,000 seunit tanpa perlu menubuhkan sebuah syarikat dengan ekuiti tempatan, merupakan satu hala tuju yang betul,'' kata Presiden REHDA, Datuk Eddy Chen.

``Untuk menggalakkan pelaburan asing ke Malaysia, kita perlu menjadikan proses berkaitan semudah dan semesra yang mungkin tanpa banyak kerenah,'' katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

``Menarik dan mengekalkan pelaburan asing dan tempatan di dalam negara perlu mendapat keutamaan dalam agenda ekonomi negara kita ketika kita berusaha membawa keluar negara dari kemelut ekonomi sekarang,'' katanya.

REHDA katanya, percaya bahawa dengan menjadikan pemilikan asing ke atas hartanah bebas daripada pelbagai kerenah di samping insentif tambahan membenarkan pembiayaan daripada sumber tempatan, akan muncul tarikan baru kepada pasaran tempatan.

Sementara itu, Ketua Bahagian Penyelidikan, OCBC Securities (Melaka) Sdn. Bhd., Franklin Tan berkata, pelonggaran peraturan FIC itu akan membawa kesan baik dalam jangka panjang tetapi tidak akan banyak membantu dalam jangka pendek dan sederhana.

``Ini kerana ketika ini tidak banyak rakyat asing yang datang ke Malaysia disebabkan faktor seperti kos buruh yang lebih tinggi,'' katanya.

Pada ketika yang sama kata Tan, mereka juga gusar dengan perubahan berterusan dalam peraturan yang berkaitan dan kemungkinan mengambil sikap tunggu dan lihat ketika ini.

``Bagaimanapun, adalah lebih baik mempunyai kelonggaran garis panduan berkenaan berbanding tidak mempunyainya langsung,'' katanya.

Chen pula berkata, REHDA mempunyai kepercayaan penuh bahawa dengan minat baru warga asing ke atas pasaran hartanah tempatan, terdapat kesan sampingan yang baik ke atas ekonomi negara.

``Pelabur asing yang membeli hartanah di Malaysia bukan sahaja akan melabur dalam hartanah tersebut malahan akan juga membawa kuasa beli kepada perkhidmatan dana barangan lain,'' katanya.

 

muka depan | agama | ekonomi | fatwa | jenayah & kemalangan | kolumnis | khas | pelancongan
pendidikan | pendatang asing | politik | rencana | sains dan teknologi | umum