EKONOMI

Utusan Malaysia 19 mac 2001

Kesan kejatuhan rupiah ke atas ekonomi Malaysia

MULAI minggu ini, kami memulakan ruangan baru dikenali sebagai `Bersama ASM Asset.' Ruangan ini akan membicarakan tentang isu semasa ekonomi dan disiarkan pada hari Isnin setiap dua minggu sekali. -Pengarang.

NILAI mata wang rupiah baru-baru ini menembusi tahap psikologi 10,000 setiap dolar Amerika disebabkan oleh pergolakan politik, sosial dan ekonomi. Ini termasuklah pertelagahan kaum di Sampit, Kalimantan Tengah dan gesaan supaya Presiden Abdurrahman Wahid meletakkan jawatan. Rupiah mengalami kemerosotan dan menjunam melewati paras 11,000. Ini merupakan tahap yang terendah sejak September 1998. Keadaan sosial dan politik dijangka akan terus menjejaskan kestabilan rupiah.

Oleh kerana Indonesia merupakan ekonomi terbesar di ASEAN dan rakan dagangan Malaysia, kemerosotan rupiah dijangka akan mendatangkan beberapa kesan langsung ke atas ekonomi kita. Paling ketara sekali adalah kesan ke atas dagangan luar Malaysia. Kelembapan mata wang Indonesia akan melemahkan kuasa pembelian (purchasing power) rakyat Indonesia, yang seterusnya mungkin menjejaskan eksport Malaysia ke Indonesia. Walau bagaimanapun, kesannya dijangka tidak begitu besar sebab eksport ke Indonesia cuma mewakili 1.7 peratus dari jumlah eksport Malaysia. Kejatuhan rupiah mungkin akan menggalakkan pengimportan barangan Indonesia yang kini kelihatan lebih murah.

Kesan yang lebih serius adalah dari segi daya saingan. Seperti Malaysia, Indonesia juga merupakan pengeluar utama minyak kelapa sawit dan hasil pembalakan. Berikutan kemerosotan rupiah, harga eksport minyak kelapa sawit dan hasil pembalakan akan bertambah murah dalam dolar Amerika berbanding dengan hasil keluaran yang serupa dari Malaysia. Kedua-dua kategori tersebut mewakili 4.2 peratus dari jumlah eksport Malaysia, dan menjana perolehan eksport sebanyak RM15.5 bilion pada tahun 2000 (sumber: Bank Negara).

Oleh kerana eksport bersih menyumbang hampir 12 peratus dari Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia, sebarang kelembapan eksport boleh mendatangkan kesan yang agak ketara ke atas pertumbuhan ekonomi kita. Di samping itu, kelemahan eksport juga boleh menjejaskan imbangan dagangan luar, terutamanya jika pengimportan barangan dari Indonesia terus meningkat. Ini akan mendatangkan kesan negatif ke atas rizab luaran dan, sekiranya berterusan, ke atas kadar faedah tempatan.

Di samping itu, Indonesia juga merupakan destinasi pelaburan Malaysia yang kedua besar di ASEAN selepas Singapura. Kemerosotan rupiah juga boleh mempengaruhi keuntungan syarikat-syarikat Malaysia yang melabur di Indonesia. Ini disebabkan kekecohan sosial dan politik bukan sahaja boleh menjejaskan aktiviti perniagaan malahan juga aliran keluar keuntungan (repatriation of profits) ke Malaysia. Pada tahun 2000, pelaburan Malaysia di Indonesia berjumlah sebanyak RM526 juta, atau hampir 4 peratus daripada jumlah pelaburan Malaysia di rantau asing.

Akhir sekali, Indonesia boleh mempengaruhi ekonomi Malaysia melalui peranannya sebagai pengeluar utama petroleum dan gas asli cecair (LNG), iaitu bahan api penting dalam kebanyakan ekonomi. Ketidakstabilan politik dan sosial di situ juga boleh menyekat aktiviti petroleum dan gas. Pengurangan yang mendadak dalam eksport petroleum dan gas dari Indonesia boleh mencetuskan kenaikan harga di negara-negara pengguna seperti Jepun yang seterusnya boleh mengancam pertumbuhan ekonomi global. Misalnya, Exxonmobil Corporation mengumumkan hujung minggu lalu bahawa ia akan memberhentikan operasi LNG di Acheh buat sementara waktu ekoran berlakunya pergaduhan. Menurut akhbar Jakarta Post, penutupan tersebut telah menyebabkan pengurangan sekitar 30 peratus dalam pengeluaran gas di Acheh.

*ASM Asset merupakan anak syarikat milik penuh Amanah Saham Mara Berhad. ASM Asset juga adalah pengurus pelaburan bagi beberapa dana korporat serta dana-dana saham amanah.

 

muka depan | agama | ekonomi | fatwa | jenayah & kemalangan | kolumnis | pelancongan
pendidikan | pendatang asing | politik | rencana | sains dan teknologi