Toolshack.com - "Where Webmasters Find Their Tools"
Web tools and webmaster resources, including: traffic statistics, site monitoring, banner exchange, search engine submission, a generous affiliate program, more...

EKONOMI

Utusan Malaysia 01 Mei 2001

KLIA laksana strategi tingkat penggunaan

Oleh:KHAIRUDDIN MOHD. AMIN
KUALA LUMPUR 30 April - Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) akan melaksanakan beberapa strategi jangka pendek dan jangka panjang dalam beberapa bulan lagi bagi meningkatkan penggunaan lapangan terbang itu.

Menurut kenyataan Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN), strategi itu berdasarkan kajian komprehensif yang dilakukan oleh sebuah syarikat perunding swasta dalam usaha menjadikan KLIA pusat penerbangan serantau.

``Inisiatif ini diperkenalkan walaupun KLIA dipilih sebagai lapangan terbang kedua terbaik dunia menerusi Kajian Lapangan Terbang Dunia 2001,'' kata kenyataan yang dikeluarkan di sini, hari ini.

Kajian itu memilih Lapangan Terbang Chek Lap Kok (Hong Kong) sebagai lapangan terbang terbaik dunia manakala Lapangan Terbang Changi (Singapura) menduduki tempat ketiga.

Sejak dibuka pada 1998, empat syarikat penerbangan telah memberhentikan perkhidmatan mereka ke lapangan terbang bernilai RM10 bilion itu.

All Nippon Air (ANA) merupakan syarikat penerbangan terbaru mengumumkan bahawa ia tidak akan meneruskan perkhidmatannya ke Kuala Lumpur bermula 24 Mac lalu.

Sebelum ini syarikat penerbangan Jerman, Lufthansa, Qantas Airways (Australia), dan British Airways (United Kingdom) turut mengumumkan pemberhentian perkhidmatan ke negara ini.

Bagi meningkatkan penggunaan KLIA, Malaysia Airports Sdn. Bhd. (Malaysia Airports) mengambil langkah mengecualikan caj pendaratan dan meletak pesawat selama setahun, berkuat kuasa 1 Mei ini.

Syarikat penerbangan asing baru yang mengendalikan penerbangan berjadual dan sewa khas layak untuk menerima insentif itu.

Kenyataan MTEN berkata, bagi meningkatkan kekerapan penerbangan di KLIA, kerajaan akan terus berusaha mendapatkan hak pendaratan tambahan menerusi perjanjian dua hala.

``Hubungan antara KLIA dan pintu masuk negara-negara di rantau ini juga akan diperkukuhkan,'' ujarnya.

Kata kenyataan itu, lapangan terbang itu juga akan memperkenalkan piawaian perkhidmatan baru dalam usaha meningkatkan kecekapannya.

Menurutnya, piawaian baru itu meliputi piawaian operasi yang diamalkan di peringkat antarabangsa, khususnya dalam pengendalian begasi dan perkhidmatan pengangkutan di lapangan terbang.

Pengendalian begasi akan dikurangkan daripada masa pengendalian minimum semasa iaitu 20 minit manakala langkah-langkah tertentu akan diambil bagi meningkatkan perkhidmatan teksi dan limosin.

 

muka depan | agama | ekonomi | fatwa | jenayah & kemalangan | kolumnis | khas | pelancongan
pendidikan | pendatang asing | politik | rencana | sains dan teknologi | umum