Toolshack.com - "Where Webmasters Find Their Tools"
Web tools and webmaster resources, including: traffic statistics, site monitoring, banner exchange, search engine submission, a generous affiliate program, more...

EKONOMI

Utusan Malaysia 01 Mei 2001

Majikan diminta sediakan infrastruktur wujudkan K-pekerja

KUALA LUMPUR 30 April - Kerajaan meminta majikan menyediakan infrastruktur bagi mewujudkan lebih ramai pekerja yang berpengetahuan dan berkemahiran (K-pekerja) khususnya dalam bidang teknologi maklumat dan komunikasi (ICT).

Menteri Sumber Manusia, Datuk Dr. Fong Chan Onn berkata, ia penting kerana pekerja seperti itu akan menjadi teras kepada usaha menjadikan Malaysia sebuah negara maju menjelang tahun 2020.

Menurutnya, dalam era globalisasi dan K-ekonomi, K-pekerja menjadi penentu kepada kekuatan dan keupayaan negara untuk bersaing di pasaran dunia.

Katanya, pekerja yang berpengetahuan dan celik komputer juga akan menjadi daya penarik kepada syarikat multi nasional untuk melabur di negara ini.

``Peningkatan kemahiran melalui latihan sama ada di peringkat asas ataupun latihan semula secara berterusan adalah penting untuk mencapai matlamat yang diharapkan itu.

``Ia juga sejajar dengan Dasar Pembangunan Sumber Manusia Negara yang bertujuan meningkatkan daya saing negara di pasaran antarabangsa,'' katanya dalam perutusan sempena Hari Pekerja esok.

Fong berkata, pada masa yang sama, pekerja hendaklah terus melengkapkan diri dengan pengetahuan dan kemahiran supaya dapat menyesuaikan diri dalam persekitaran yang sentiasa berubah-ubah.

Katanya, dengan persaingan dalam pasaran pekerja yang semakin sengit, ketiadaan kemahiran yang pelbagai terutama dalam bidang ICT akan menyebabkan seseorang itu tidak mampu bersaing.

``Sebab itu kerajaan akan terus mempromosikan budaya pembelajaran seumur hidup kepada warga pekerja agar mereka mudah mendapat kerja,'' katanya.

Fong berkata, di pihak kerajaan, pelbagai usaha telah dilakukan ke arah mewujudkan lebih ramai pekerja yang celik komputer termasuk latihan komputer secara percuma di semua Institut Latihan Perindustrian (ILP) di seluruh negara.

Beliau juga menyeru kepada majikan yang mencarum kepada Kumpulan Wang Pembangunan Sumber Manusia supaya menggunakan kemudahan skim-skim latihan yang disediakan.

Selain itu, katanya, kerajaan menyediakan pinjaman kewangan di bawah tabung Pinjaman Pembangunan Kemahiran untuk pelajar mengikuti program latihan kemahiran vokasional dan teknikal.

Dari segi undang-undang perburuhan, beliau berkata, Akta Kerja 1955 yang digunakan di negara ini adalah antara yang terbaik di rantau ini dan sentiasa disemak supaya sejajar dengan kehendak semasa.

Katanya, bagi menjamin hak perlindungan dan kebajikan yang sama di seluruh negara, Ordinan Buruh Sabah dan Sarawak sedang diselaraskan dengan Akta Buruh 1955.

Katanya, kerajaan juga sentiasa memastikan akta itu dipatuhi oleh majikan supaya bukan sahaja hak pekerja dilindungi tetapi juga supaya tuntutan pekerja dapat diselesaikan dengan adil dan dalam suasana harmoni.

Bagi mengukuhkan infrastruktur maklumat pasaran pekerja, katanya, Kementerian Sumber Manusia akan mewujudkan Bursa Buruh Elektronik (ELX) yang dijangka mula beroperasi pada akhir tahun ini.

Menerusi ELX, semua maklumat buruh seperti pergerakan sumber manusia antara negara dan bidang pekerjaan serta tahap kemahiran akan dapat dipantau dengan berkesan.

``Rangkaian ini diharap dapat memberi maklumat pasaran buruh kepada majikan, sekali gus dapat mengurangkan masalah pengangguran dan tempoh menunggu antara pekerjaan,'' katanya.

Fong berkata, ELX juga dijangka dapat membantu golongan wanita dan kurang upaya memajukan diri mereka dalam pelbagai bidang terutama bidang ICT.

 

muka depan | agama | ekonomi | fatwa | jenayah & kemalangan | kolumnis | khas | pelancongan
pendidikan | pendatang asing | politik | rencana | sains dan teknologi | umum