Toolshack.com - "Where Webmasters Find Their Tools"
Web tools and webmaster resources, including: traffic statistics, site monitoring, banner exchange, search engine submission, a generous affiliate program, more...

EKONOMI

Utusan Malaysia 04 Mei 2001

Umur persaraan 56 tahun boleh dilaksanakan

KUALA LUMPUR 4 Mei - Datuk Seri Dr Mahathir Mohamad hari ini berkata, kerajaan yakin akan dapat melanjutkan umur persaraan wajib kakitangan awam ke 56 tahun kerana implikasi kewangan berikutan langkah itu tidak begitu membebankan.

Perdana Menteri berkata, kerajaan akan menggunakan tafsiran yang sama dalam keperluan undang-undang bagi membolehkan umur persaraan wajib kakitangan awam dilanjutkan dari 55 tahun ke 56 tahun.

Beliau berkata, dengan tafsiran berkenaan seseorang itu akan bersara apabila mencapai umur 56 tahun.

"Waktu ini yang berumur 55 mungkin akan dapat satu tahun lagi. Inilah hasrat kita dan kita yakin kita boleh buat ini kerana implikasi kewangan tidak begitu berat.

"Kita (kerajaan) sedang uruskan perkara ini dan akan membuat keputusan (mengenainya) secepat mungkin," katanya semasa menjawab soalan tentang pendirian kerajaan berhubung umur persaraan kakitangan sektor awam pada satu majlis dialog dengan para pegawai dan kakitangan Tenaga Nasional Berhad di ibu pejabat Tenaga Nasional di sini.

Dr Mahathir yang melakukan lawatan ke Tenaga Nasional, turut melancarkan secara tele-persidangan Unit No.5 Stesen Jana Elektrik Sultan Salahuddun Abdul Aziz, Kapar, Skim Taman Perumahan Tenaga Nasional di Pasir Gudang, Johor, Kampus Universiti Tenaga Nasional (Uniten) di Bandar Muadzam Shah, Pahang dan Kedai Tenaga Prosper di Taman Tun Dr Ismail.

Perdana Menteri berkata, adalah satu kerugian bagi rakyat Malaysia yang kini menikmati jangka hayat yang panjang iaitu lelaki pada umur 70 tahun, manakala wanita pada 72 tahun untuk bersara awal pada 55 tahun.

"Kehidupan yang berguna tidak lagi terhad kepada 55 tahun, ia telah meningkat kepada 60 malah saya juga kenal seorang yang sudah berumur 76 tahun, tapi masih bekerja," katanya.

Oleh itu, katanya, adalah satu kerugian bagi seseorang yang masih boleh bekerja diberhentikan hanya kerana keperluan undang-undang.

Beliau menjelaskan bahawa mengikut keperluan undang-undang, seseorang itu akan bersara apabila dia menempuh umur 55 tahun.

"Itu tidak patutlah dan sekiranya kita ubah 56 tahun itu sampai genap 56 ia ada implikasi pula kepada orang yang bersara dahulu," katanya.

Oleh itu, Perdana Menteri berkata, sekiranya tafsiran umur 55 tahun itu diubah kepada bersara apabila genap umur 55 tahun dan bukan menempuh 55 tahun, orang yang bersara sebelum ini akan meminta tambahan gaji bagi 12 bulan terdahulu atas alasan ia dibersarakan lebih awal.

"Jadi memandangkan ini, kita berpendapat, kita akan guna tafsiran yang sama dan kita kata dia bersara umur 56, bermakna apabila dia menempuh umur 56 atau dia genap umur 55. Jadi ini tidak ada kena-mengena dengan orang yang bersara dulu," katanya.

Dr Mahathir berkata, kerajaan juga berhasrat untuk meningkatkan umur persaraan kepada 58 tahun dan 60 tahun, tetapi kerana ia mempunyai implikasi kewangan yang besar, ia tidak dapat dilaksanakan serta merta.

Sebaliknya, kerajaan akan meningkatkannya sedikit demi sedikit.

Dr Mahathir berkata, kerajaan juga perlu melakukan pengambilan baru bagi memastikan generasi muda dapat bekerja.

"Kalau kita tidak mengambil kakitangan baru bermakna ramai pula generasi muda ini tidak dapat kerja dan kita perlu terima orang ini serta bayar gaji dia dan bayar juga tambahan satu tahun bagi yang bersara 56 tahun," katanya. - Bernama

 

muka depan | agama | ekonomi | fatwa | jenayah & kemalangan | kolumnis | khas | pelancongan
pendidikan | pendatang asing | politik | rencana | sains dan teknologi | umum