Toolshack.com - "Where Webmasters Find Their Tools"
Web tools and webmaster resources, including: traffic statistics, site monitoring, banner exchange, search engine submission, a generous affiliate program, more...

EKONOMI

Utusan Malaysia 05 Mei 2001

Umur bersara 60 tahun -- PM: Kerajaan akan laksanakan secara beransur-ansur

KUALA LUMPUR 4 Mei - Kerajaan akan menaikkan had umur persaraan kakitangan awam secara beransur-ansur sehingga akhirnya mencecah 60 tahun, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Mahathir Mohamad.

Beliau memberitahu, peningkatan had umur persaraan itu akan diuruskan secepat mungkin tetapi tidak akan dibuat serta-merta kerana ia melibatkan implikasi kewangan yang besar.

``Kerajaan hendak menaikkan lagi umur persaraan ini kepada 58 dan akhirnya 60 tetapi mempunyai implikasi besar.

``Sebab itu kerajaan tidak akan buat serta-merta tetapi insya-Allah sedikit demi sedikit kita akan tingkatkan,'' katanya pada sesi dialog dengan kakitangan Tenaga Nasional Berhad (TNB) Bangsar sempena lawatan kerja di sini hari ini.

Perdana Menteri mengulas kemusykilan mengenai keputusan kerajaan menaikkan had umur bersara wajib bagi kakitangan awam daripada 55 tahun sekarang kepada 56 tahun, pada 14 Februari lalu.

Perdana Menteri menjelaskan, asas persetujuan kerajaan melanjutkan umur persaraan wajib kepada 56 tahun kerana syarat-syarat berkanun di bawah Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) sebenarnya hanya menghendaki mereka berkhidmat sehingga usia genap 54 tahun dan bukannya 55 tahun.

``Mulanya saya ingat dia (kakitangan awam) bersara apabila mencapai hujung umur 55. Saya terkejut apabila pihak JPA beritahu bahawa bersara umur 55 ialah apabila seseorang itu menempuh 55, 54 + satu hari, boleh bersara dah,'' katanya.

Justeru Dr. Mahathir berpendapat syarat had umur persaraan wajib itu perlu diberi tafsiran genap umur 55 dan bukan meningkat umur 55.

Perdana Menteri berkata, memandangkan jangka hayat rakyat Malaysia kini lebih tinggi iaitu 70 tahun bagi lelaki dan 72 tahun pula bagi wanita, jangka hayat aktif mereka tidak terhad kepada 55 tahun sebaliknya mungkin meningkat hingga 60 tahun.

``Ada satu orang yang saya tahu dia berusia 76 tahun, masih bekerja lagi,'' katanya berseloroh yang mungkin merujuk kepada dirinya sendiri.

Menurut Dr. Mahathir, kerajaan berpendapat menjadi satu kerugian kalau ada orang yang berkebolehan tiba-tiba terpaksa bersara kerana syarat yang ditentukan.

Menjawab soalan mengenai saranan kerajaan menggalakkan rakyat berbelanja, Perdana Menteri berkata, ia bertujuan memulihkan perniagaan runcit di negara ini yang mengalami kemuraman kesan kelembapan ekonomi Amerika Syarikat.

Menurutnya, langkah itu adalah penyelesaian jangka pendek.

``Kita perlu memikir cara-cara melawan kesan kemuraman ekonomi AS, termasuk perbelanjaan bertambah RM3 bilion dan banyak lagi seperti menambah perbelanjaan runcit oleh rakyat bergaji.

``Dengan itu kita kurangkan sumbangan kepada KWSP sebanyak dua peratus oleh pekerja sahaja, majikan masih sumbang seperti biasa,'' katanya.

Beliau sedar ada pihak yang merasa rugi kerana caruman KWSP mereka berkurangan sedangkan pengeluaran untuk pembelian komputer dan rumah juga akan mengurangkan simpanan mereka.

Disebabkan itu katanya, kerajaan memberi pilihan kepada pencarum yang ingin terus menyumbang seperti biasa.

``Langkah ini diambil kerajaan untuk memulih ekonomi dan bukannya menganiaya pekerja,'' katanya.

Mengenai saranan waktu kerja lima hari seminggu, Perdana Menteri berkata, Malaysia belum bersedia melaksanakannya.

``Kerajaan berpendapat belum sampai tahap kemajuan yang rakyat boleh berehat selalu sangat.

``Kita hendak berehat, sebab itu kerajaan tentukan cuti pada dua Sabtu dalam satu bulan. Ini telah banyak menyumbang kepada sektor pelancongan negara,'' katanya.

Dr. Mahathir bagaimanapun tidak menolak kemungkinan saranan lima hari bekerja akan dilaksanakan pada masa depan.

``Dulu tak ada langsung lima hari bekerja, selepas itu laksana satu hari cuti Sabtu dalam sebulan dan kini dua Sabtu,'' katanya.

Mengenai bebanan mendapatkan pengasuh untuk anak bagi pasangan suami isteri yang bekerja, beliau menyifatkan kemampuan menggaji pengasuh membuktikan taraf hidup rakyat Malaysia semakin meningkat.

Perdana Menteri berkata, kerajaan sedang berusaha memastikan matlamat melihat setiap isi rumah di negara ini mempunyai pendapatan sekurang-kurangnya RM1,200 sebulan terlaksana.

Oleh: MARHAINI KAMARUDDIN

 

muka depan | agama | ekonomi | fatwa | jenayah & kemalangan | kolumnis | khas | pelancongan
pendidikan | pendatang asing | politik | rencana | sains dan teknologi | umum