EKONOMI

Utusan Malaysia 19 mac 2001

Kemelut dan realiti usahawan Melayu

Oleh: AHMAD KAMIL MOHAMED
APABILA kita ingin mengkaji secara realistik tentang pembangunan usahawan Melayu yang berkecimpung dalam perniagaan, kita perlu melihat daripada mana datangnya peluang untuk mereka berniaga.

Peluang untuk berniaga adalah satu keperluan asas untuk menceburi bidang perniagaan. Untuk itu kita perlu mendalami maksud peluang tersebut.

Peluang adalah situasi di mana usahawan dapat menghimpunkan cukup modal dan ilmu serta kemahiran untuk menggabungkan teknologi dan kebolehan mengeluarkan produk atau menyediakan perkhidmatan dalam satu bidang industri, memasarkan produk atau perkhidmatan itu dan menguruskan transaksi bisnes tersebut sehingga ia dapat berkembang.

Perniagaan bukan satu situasi mudah iaitu peluang untuk buat duit tanpa memahami liku-liku bidang tersebut dan tanpa persiapan dan persediaan yang mantap dan menyeluruh.

Rata-rata usahawan Melayu menceburkan diri dalam bidang keusahawanan tanpa persediaan yang rapi dalam merealisasikan peluang yang ada. Ini bermakna mereka perlu melihat peluang sebagai satu proses memperkembangkan ekonomi diri secara berdikari dengan menubuhkan sebuah syarikat sendiri, menguruskan syarikat, menjalankan perniagaannya, memperkembangkan urus niaga dalam sektor industri yang diceburi secara profesional.

Penulis ingin menekankan pengurusan perniagaan melalui penubuhan syarikat sendiri kerana terdapat ramai orang Melayu yang menjadi broker ke hulu dan ke hilir membawa geran tanah dan sebagainya untuk diniagakan. Kegiatan ini tidak sesuai dikategorikan sebagai langkah keusahawanan yang sebenar dan profesional.

Ini merupakan cabaran utama kepada usahawan Melayu iaitu mengenal pasti peluang yang ada. Peluang mestilah selari dengan kemampuan diri. Iaitu kemampuan untuk mengendalikan perniagaan secara berterusan dan berkekalan dalam sektor yang diceburi.

Antara ciri-ciri yang menentukan kemampuan seseorang usahawan adalah keilmuan, kemahiran, minat, sumber kewangan, tenaga, teknologi dan peralatan.

Peluang tidak boleh disamakan dengan tabiat suka mengikut. Iaitu satu tabiat di mana seseorang itu berniaga sesuatu, contohnya restoran tomyam oleh kerana orang lain buat perniagaan tersebut tanpa menyelidiki ciri-ciri kemampuan diri.

Cabaran kedua yang dihadapi oleh usahawan Melayu selain mengenal pasti peluang secara realistik mengikut kemampuan diri adalah tiadanya faktor-faktor pendorong yang menjamin pembangunan produktiviti dalam sektor yang diceburi. Contohnya penulis memulakan perniagaan dalam sektor penerbitan majalah pada tahun 1992.

Keputusan ini dibuat setelah membuat kajian industri penerbitan di Amerika Syarikat semasa berlajar di sana. Pada tahun 1983, di negeri Iowa yang mempunyai penduduk seramai empat juta orang ketika itu mempunyai tiga judul majalah pertanian untuk negeri itu sahaja.

Jadi apabila penulis mendapati tidak ada majalah komersial pertanian di negara ini pada tahun 1992 di mana penduduk negara ini ketika itu sekitar 18 juta orang maka sudah tentulah projek bisnes penerbitan majalah pertanian dianggap berpotensi.

Menurut kajian penulis dengan hanya 10 iklan sahaja sudah cukup untuk menampung kos operasi dan menjadikan projek perniagaan itu berdaya maju. Itu tidak termasuk hasil pendapatan yang boleh diperoleh daripada jualan majalah kepada pembaca.

Malangnya apabila dilaksanakan agak sukar mendapatkan 10 syarikat untuk mengiklan dalam majalah tersebut sedangkan terdapat beratus syarikat yang terlibat dalam sektor pertanian.

Malah bilangan majalah yang dibeli di pasaran juga tidak mencecah 3,000 naskhah. Maka projek itu hanya dapat bertahan selama lima keluaran kerana kurangnya minat syarikat-syarikat besar untuk menjadi pendorong yang produktif.

Faktor-faktor pendorong bagi pembangunan sektor secara produktif yang dimaksudkan di sini adalah penglibatan semua pihak untuk menyokong secara langsung atau tidak langsung dalam perkembangan sesuatu sektor perniagaan.

Dalam kes majalah pertanian, ia adalah pemangkin pembangunan sektor pertanian itu sendiri kerana ia adalah satu-satunya bahan rujukan yang ada ketika itu. Jadi sepatutnya syarikat-syarikat gergasi pertanian yang selalunya untung tahunan melebihi berpuluh juta ringgit mampu mengiklan sepanjang tahun bagi memastikan pertumbuhan satu bahan yang boleh membantu memperkembangkan sektor tersebut dengan lebih maju.

Namun perkara itu tidak berlaku. Pemikiran pembuat keputusan masih cetek dan tidak berpandangan jauh. Mereka tidak memahami bagaimana usaha kecil sedemikian boleh membantu kepada pembangunan satu sektor yang besar.

Semakin ramai meminati pertanian maka semakin banyak permintaan barangan, perkhidmatan dan pinjaman kewangan berkaitan pertanian yang boleh berlaku. Seterusnya ia membantu peningkatan urus niaga antara pelbagai bahagian (subsektor) dalam sektor industri tersebut.

Cabaran kurangnya faktor-faktor pendorong bagi pembangunan sektor secara produktif ini berlaku dalam semua sektor industri seperti pelancongan, penerbitan, pembuatan, percetakan, latihan dan pendidikan, pengiklanan, pengurusan acara, perundingan dan sebagainya.

Ia tidak hanya menjurus pada kurangnya peranan publisiti semata-mata tetapi melibatkan pelbagai kerenah dan sikap tidak mahu berbelanja oleh pembuat keputusan dalam syarikat gergasi ke arah pembangunan subsektor secara produktif.

Cabaran ketiga adalah kerenah birokrasi yang keterlaluan dan tidak konsisten. Faktor ini datangnya daripada jentera kerajaan yang merupakan sektor yang diharapkan untuk melaksanakan polisi yang menjamin pertumbuhan ekonomi negara.

Cabaran ini melibatkan kurangnya kelicinan jentera pentadbiran seperti proses membuat keputusan yang lembap dan tidak profesional, proses membuat pembayaran yang lembab dan sebagainya.

Tambah memburukkan keadaan adalah masalah rasuah dan hasad dengki pegawai-pegawai yang terlibat.

Cabaran lain yang dihadapi oleh usahawan Melayu adalah pasaran yang terhad kepada produk atau perkhidmatan syarikat mereka. Rata-rata syarikat Melayu bergantung kepada pasaran daripada sektor kerajaan semata-mata yang sudah pasti tidak konsisten dan tetap.

Walaupun kerajaan menggesa usahawan Melayu untuk mendapatkan pasaran luar dan bebas namun mereka tidak mampu bersaing oleh kerana kurangnya sokongan daripada pasaran sesama kaum sendiri dan tanggapan negatif terhadap usahawan Melayu daripada kaum lain dalam pasaran bebas.

Memandangkan cabaran-cabaran yang dihadapi oleh usahawan Melayu adalah besar dalam usia keusahawanan yang masih muda dan mentah, maka mahu tidak mahu pembangunan usahawan Melayu perlukan sistem anak angkat, payung, mentor, vendor, dan perlindungan yang adil.

Ia mesti dibuat atas dasar yang pragmatik dan pelaksanaan oleh semua pihak dengan menepati realiti dunia perniagaan di negara ini sendiri.

Maka pastinya syarikat-syarikat gergasi tempatan dan agensi-agensi kerajaan perlu lebih proaktif dalam usaha sebagai pendorong dan penggerak kepada pertumbuhan usahawan Melayu bukan pesaing dan pencabar tanpa disedari oleh semua pihak.

* AHMAD KAMIL MOHAMED ialah AJK Biro Latihan dan Pendidikan, Dewan Perniagaan dan Perindustrian Melayu Malaysia Selangor (DPMMS).

 

muka depan | agama | ekonomi | fatwa | jenayah & kemalangan | kolumnis | pelancongan
pendidikan | pendatang asing | politik | rencana | sains dan teknologi