Toolshack.com - "Where Webmasters Find Their Tools"
Web tools and webmaster resources, including: traffic statistics, site monitoring, banner exchange, search engine submission, a generous affiliate program, more...

EKONOMI

Utusan Malaysia 05 Mei 2001

TNB tidak diswastakan sepenuhnya

KUALA LUMPUR 4 Mei - Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Mahathir Mohamad hari ini memberi jaminan bahawa kerajaan tidak akan menswastakan sepenuhnya industri bekalan tenaga elektrik negara.

Ini kerana, kata beliau, kerajaan yakin Tenaga Nasional Berhad (TNB) berkeupayaan menggunakan pengalamannya yang luas untuk mengurus dan menyediakan bekalan elektrik yang mencukupi kepada rakyat dan negara.

Walaupun pihak swasta juga memainkan peranan yang penting dalam industri itu, menurut Dr. Mahathir, ia tidak sebesar peranan TNB.

Bagi Perdana Menteri, pihak swasta mungkin akan hanya mementingkan keuntungan sedangkan TNB selaku agensi di bawah kerajaan yang dipilih rakyat akan turut memberi keutamaan kepada keselesaan mereka.

``Oleh itu, janganlah khuatir kerajaan akan mengikut negara-negara maju yang ghairah menswastakan semua bekalan tenaga elektrik mereka sehingga akhirnya mendapati ia tidak mencukupi.

``Di Malaysia, kita akan mengimbangi penjanaan dan pengagihan tenaga elektrik oleh swasta dan awam untuk menjamin bekalan ke seluruh negara,'' katanya ketika berucap semasa mengadakan lawatan kerja ke Ibu Pejabat TNB di Bangsar, di sini.

Hadir sama Pengerusi TNB, Datuk Dr. Jamaludin Jarjis.

Di majlis itu, Perdana Menteri turut melancarkan secara telepersidangan Unit No.5 Stesen Janaelektrik Sultan Salahuddin Abdul Aziz (SJSSAA), Kapar, Skim Taman Perumahan TNB di Pasir Gudang, Johor, Kampus Universiti Tenaga Nasional (Uniten) di Bandar Muadzam Shah, Pahang dan Kedai Tenaga PROSPER di Taman Tun Dr Ismail di sini.

Dr. Mahathir berkata, ada antara negara maju kini sedar bahawa penswastaan sepenuhnya industri bekalan elektrik mungkin membawa kepada masalah terputus bekalan seperti yang berlaku di California.

Beliau menarik perhatian kepada masalah gangguan bekalan yang masih dihadapi oleh negeri di Amerika Syarikat itu sampai ke hari ini, sehingga ada syarikat difahamkan menutup operasi dan mula meninjau lokasi lebih terjamin termasuk di Malaysia yang bakal mempunyai Empangan Hidroelektrik Bakun.

Perdana Menteri mengakui Malaysia bukan begitu sempurna malah pernah menghadapi insiden terputus bekalan elektrik di seluruh negara tetapi ia berjaya diatasi segera oleh tenaga kerja TNB yang cekap dan terlatih.

``Apabila satu hari kita mengalami terputus bekalan elektrik, seluruh Malaysia termasuk kerajaan dikecam tetapi hari ini orang yang mengecam kita menghadapi black out berlarutan.

``Mereka (California) masih tidak mengatasi masalah ini (bekalan elektrik) sampai sekarang,'' katanya.

Dr. Mahathir berkata, kejayaan TNB sebagai sebuah syarikat pembekal utama tenaga elektrik ke seluruh negara membuktikan langkah penswastaannya menjadikan ia lebih cekap berbanding sebagai satu jabatan yang diurus secara birokratik oleh kerajaan.

Menurutnya, kejayaan TNB mencatat keuntungan RM1.4 bilion bagi tempoh enam bulan pertama berakhir Februari lepas adalah satu prestasi yang membanggakan.

Beliau berharap TNB akan menjadi syarikat pertama di negara ini yang mencatat keuntungan RM3 bilion.

Melihat kepada kegigihan dan kejayaan TNB, Perdana Menteri yakin sasaran keuntungan itu akan dapat dicapai.

Menjawab satu soalan pada sesi dialog selepas itu, beliau menjelaskan cara kerajaan melaksanakan penswastaan berbeza daripada negara-negara lain.

``Di negara lain, mereka menswastakan institusi kerajaan untuk membayar balik hutang jadi mereka tidak menjual harta kerajaan kepada orang tempatan tetapi orang luar untuk mendapat tukaran asing.

``Di Malaysia, kita tidak jual kepada orang asing tetapi rakyat negara ini yang berkemampuan yang kita dapati sanggup bekerjasama kalau keadaan tidak begitu baik, agar dapat kita buat penyesuaian,'' katanya.

Beliau memberitahu, kerajaan juga tidak menjual kesemua aset kepada swasta sebaliknya mengekalkan sebahagian besar pegangan saham dalam agensi yang diswastakan itu.

``Saya percaya kerajaan tidak akan tergesa-gesa menswastakan semua stesen janakuasa kerajaan melainkan mendapat faedah dan tidak merugikan kakitangan,'' katanya menjawab kebimbangan pekerja jika semua pegangan aset TNB dilepaskan kepada swasta.

Perdana Menteri optimis kakitangan syarikat seperti TNB akan mendapat faedah termasuk ganjaran upah lebih baik di bawah terma-terma penswastaan berbanding skim saraan kerajaan.

 

muka depan | agama | ekonomi | fatwa | jenayah & kemalangan | kolumnis | khas | pelancongan
pendidikan | pendatang asing | politik | rencana | sains dan teknologi | umum