Toolshack.com - "Where Webmasters Find Their Tools"
Web tools and webmaster resources, including: traffic statistics, site monitoring, banner exchange, search engine submission, a generous affiliate program, more...

EKONOMI

Utusan Malaysia 05 Mei 2001

Johor pastikan satu keluarga sebuah rumah

PASIR GUDANG 4 Mei - Kerajaan Johor yakin matlamat untuk memastikan setiap satu keluarga mempunyai sebuah rumah di negeri ini akan tercapai sekiranya pihak swasta turut memainkan peranan dalam menyediakan kemudahan asas itu kepada kakitangannya.

Menteri Besar, Datuk Abdul Ghani Othman berkata, pendekatan seumpama itu adalah yang terbaik sejajar dengan matlamat kerajaan negeri dalam memastikan pemilikan rumah sendiri untuk setiap rakyatnya.

``Sektor swasta bukan sahaja memainkan peranan dalam menjana ekonomi tetapi pada masa yang sama menyediakan kemudahan paling asas seperti rumah untuk memastikan kakitangannya dapat hidup dalam keadaan selesa sekali gus mempertingkatkan mutu kehidupan mereka,'' katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap di Majlis Pelancaran Skim Taman Perumahan Tenaga Nasional Berhad (TNB) bagi seluruh negeri, di Pasir Gudang, di sini.

Majlis pelancaran tersebut dilakukan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Mahathir Mohamad di Kuala Lumpur yang diadakan secara persidangan video.

Turut hadir dalam majlis tersebut ialah Timbalan Ketua Eksekutif (Pengurusan Bisnes) TNB, Jaafar Yusof, Ketua Pegawai Operasi Selatan, Ir. Abu Hassan Othman dan Exco-Exco kerajaan negeri.

Fasa pertama Skim Taman Perumahan TNB itu ialah di Pasir Gudang yang akan dilaksanakan oleh Indera-TNBP, sebuah syarikat usaha sama antara sebuah syarikat pemaju bumiputera, Indera Development & Construction dengan Tenaga Nasional Berhad Properties (TNBP), sebuah anak syarikat TNB.

Kata Abdul Ghani, langkah proaktif TNB yang membangunkan 115 unit rumah di atas tanah seluas 12 hektar milik syarikat itu sendiri boleh dijadikan contoh terbaik kepada syarikat- syarikat swasta lain untuk membantu kerajaan dalam menyediakan kemudahan rumah untuk rakyatnya.

``TNB sendiri telah meminta kepada kerajaan negeri untuk membangunkan banyak lagi rumah untuk kakitangannya di beberapa daerah lain,'' katanya.

Menteri Besar itu memberikan jaminan bahawa kerajaan negeri sedang mengenal pasti beberapa lokasi yang sesuai untuk tujuan tersebut.

Kata Abdul Ghani lagi, melalui kajian oleh TNB, daripada 2,000 kakitangannya di situ hanya 500 orang lagi yang masih tidak mempunyai rumah sendiri.

``Kita yakin 1,500 kakitangan TNB yang memiliki rumah di negeri ini adalah melalui Program Perumahan Rakyat di Johor,'' katanya.

Dalam majlis tersebut, TNB juga menyumbangkan masing-masing dua buah komputer kepada Sekolah Menengah Kebangsaan Perigi Acheh dan Sekolah Rendah Kebangsaan Tanjung Langsat, di sini.

 

muka depan | agama | ekonomi | fatwa | jenayah & kemalangan | kolumnis | khas | pelancongan
pendidikan | pendatang asing | politik | rencana | sains dan teknologi | umum