Toolshack.com - "Where Webmasters Find Their Tools"
Web tools and webmaster resources, including: traffic statistics, site monitoring, banner exchange, search engine submission, a generous affiliate program, more...

EKONOMI

Utusan Malaysia 05 Mei 2001

Pengeluaran getah asli susut 16.5 peratus

KUALA LUMPUR 4 Mei - Pengeluaran getah asli Malaysia pada Mac 2001 berkurangan 16.5 peratus kepada 45,448 tan metrik daripada 54,423 tan metrik yang dicatat pada Februari, demikian menurut Jabatan Perangkaan hari ini.

Berbanding dengan Mac 2000, ia susut 1.4 peratus daripada 46,105 tan metrik, katanya dalam Ringkasan Perangkaan Getah Bulanan Malaysia bagi Mac 2001 yang dikeluarkan di sini.

Pengeluaran terkumpul dari Januari hingga Mac 2001 berkurangan 10.8 peratus kepada 145,086 tan metrik daripada 162,709 tan metrik yang dicatat pada tempoh yang sama tahun lepas.

Sementara itu, eksport getah asli pada Mac tahun ini meningkat 8.7 peratus kepada 77,852 tan metrik daripada 71,644 tan metrik yang dieksport pada bulan sebelumnya. Bagaimanapun, ia susut sembilan peratus berbanding eksport Mac 2000 di mana ia mencatatkan eksport sejumlah 85,537 tan metrik.

Eksport bagi tiga bulan pertama tahun ini susut 6.5 peratus kepada 222,825 tan metrik daripada 238,312 tan metrik pada tempoh yang sama 2000.

Antara bulan Januari dan Mac 2001, kebanyakan getah asli yang dieksport adalah ke Jerman dengan jumlah 32,570 tan metrik atau 14.6 peratus daripada jumlah eksport.

Ia diikuti oleh Amerika Syarikat (9.4 peratus), Korea Selatan (tujuh peratus), China (6.6 peratus), Belgium (6.5 peratus), Iran (5.6 peratus) dan Perancis (3.7 peratus).

Sebaliknya, getah asli yang diimport pada Mac 2001 jatuh 34.5 peratus kepada 47,499 tan metrik daripada 72,519 tan metrik pada bulan sebelumnya. Jumlah eksport itu juga merosot 21.3 peratus berbanding 60,390 tan metrik yang diimport pada Mac tahun lepas.

Import terkumpul bagi suku pertama tahun ini menguncup 11.3 peratus kepada 179,994 tan metrik daripada 202,934 tan metrik pada tempoh yang sama 2000.

Import getah asli pada Mac 2001 hampir semuanya atau 98.2 peratus daripadanya datang dari lima negara -- Thailand (82.4 peratus), Filipina (5.1 peratus), Myanmar (5.0 peratus), Vietnam (3.3 peratus) dan Kampuchea (2.4 peratus).

Sementara itu, penggunaan domestik getah asli meningkat 2.9 peratus pada Mac 2001 kepada 27,864 tan metrik daripada 27,080 tan metrik pada Februari 2001, tetapi bila dibandingkan dengan Mac 2000, ia merupakan penyusutan 6.3 peratus.

Penggunaan dari Januari hingga Mac 2001 susut 0.2 peratus kepada 82,610 tan metrik daripada 82,771 tan metrik yang diguna pada suku pertama tahun ini.

Pada tiga bulan pertama 2001, industri pengguna getah asli adalah sarung getah sebanyak 55.1 peratus, benang getah 19.6 peratus dan tayar & tiub 14.5 peratus.

Stok getah asli pada akhir Mac 2001 sebanyak 232,661 tan metrik, iaitu 4.1 peratus lebih rendah berbanding Februari 2001 dan 2.4 peratus lebih rendah daripada stok pada akhir Mac tahun lepas.

Seramai 23,950 orang bekerja di ladang-ladang getah pada Mac 2001, iaitu 1.8 peratus lebih rendah daripada perangkaan pada Februari 2001 dan 26.9 peratus lebih rendah berbanding bilangan orang yang bekerja di ladang-ladang getah pada Mac 2000. - Bernama

 

muka depan | agama | ekonomi | fatwa | jenayah & kemalangan | kolumnis | khas | pelancongan
pendidikan | pendatang asing | politik | rencana | sains dan teknologi | umum