Toolshack.com - "Where Webmasters Find Their Tools"
Web tools and webmaster resources, including: traffic statistics, site monitoring, banner exchange, search engine submission, a generous affiliate program, more...

EKONOMI

Utusan Malaysia 06 Mei 2001

10 inovasi penyusunan semula FAMA

PASIR PUTEH 5 Mei - Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) akan disusun semula selaras dengan dasar Kementerian Pertanian menjadikan Malaysia sebagai pengeluar terbesar sayur-sayuran dan buah-buahan di dunia termasuk makanan halal.

Ketua Pengarah FAMA Datuk Wan Ibrahim Wan Daud berkata penyusunan semula itu membabitkan 10 inovasi termasuk pengurusan, penggredan dan pemasaran yang berasaskan penggunaan teknologi tinggi.

"Langkah itu akan dilaksanakan sebaik sahaja Jabatan Perkhidmatan Awam meluluskannya," katanya kepada pemberita selepas melawat ladang kelompok dan majlis dialog dengan petani, di Kampung Gong Kulim di sini, hari ini.

Wan Ibrahim berkata penyusunan semula itu juga bertujuan membolehkan buah-buahan yang dihasilkan di negara ini termasuk tembikai, belimbing dan mangga bersaing untuk menembusi pasaran domestik dan antarabangsa.

Dalam usaha itu, FAMA akan mengambil kira pelbagai aspek seperti harga berpatutan dan buah bermutu tinggi setanding dengan negara lain.

Beliau berkata melalui pemasaran sekarang, FAMA menghadapi pelbagai masalah seperti terpaksa menerima balik buah-buahan yang dieksport termasuk ke Singapura kerana penggunaan racun yang berlebihan.

Bagi memenuhi permintaan domestik di hotel-hotel, pasar raya dan pemborong, Wan Ibrahim berkata pihaknya mempunyai kawasan seluas 400 hektar ladang kontrak di seluruh negara yang membabitkan 400 petani.

Katanya jumlah itu tidak termasuk kawasan yang diusahakan oleh Lembaga Pertubuhan Peladang dan syarikat swasta secara komersial.

Terdahulu, dalam ucapannya, Wan Ibrahim berkata 210 Pasar Tani yang ada di seluruh negara akan dijadikan pasar tani alaf baru dengan memberi penekanan kepada perkhidmatan lebih baik, harga berpatutan, penjual berhemah dan barangan bermutu tinggi.

Beliau berkata mereka yang gagal memenuhi peraturan itu akan disingkir daripada menjadi peserta pasar tani.

Pasar tani kini disertai 100,000 orang dan mempunyai nilai jualan RM20 juta sebulan.

Selain itu, dalam usaha meluaskan pemasaran dalam Rancangan Malaysia Kelapan, Kementerian Pertanian memperuntukkan RM50 juta untuk mempromosikan hasil-hasil pertanian termasuk menyertai ekspo dan pameran di peringkat antarabangsa dengan penyertaan pihak swasta, katanya. - Bernama

 

muka depan | agama | ekonomi | fatwa | jenayah & kemalangan | kolumnis | khas | pelancongan
pendidikan | pendatang asing | politik | rencana | sains dan teknologi | umum