Make your own free website on Tripod.com
Toolshack.com - "Where Webmasters Find Their Tools"
Web tools and webmaster resources, including: traffic statistics, site monitoring, banner exchange, search engine submission, a generous affiliate program, more...

EKONOMI

Utusan Malaysia 08 Mei 2001

Peluang luas untuk melabur di Myanmar

Oleh:NOOR AZAM SHAIRI (Yang melawat Myanmar,baru-baru ini)
KUALA LUMPUR 7 Mei - Kalau ada satu saja sebab kenapa para usahawan tempatan perlu melihat kemungkinan untuk melabur di Myanmar, jawapannya ialah negara itu sedang dalam proses membuka pasaran ekonominya.

``Inilah masanya untuk datang melabur Myanmar. Kalau kita mula hendak datang apabila ekonominya sudah buka sepenuhnya, ketika itu mungkin sudah terlambat,'' kata Duta Malaysia ke negara itu, Datuk Mohammad Noh.

Sejak mengambil alih pemerintahan pada tahun 1988 ekoran kekacauan politik yang meletakkan Myanmar di ambang kehancuran dan perpecahan, kerajaan tentera telah berazam mengubah dasar ekonomi negara itu.

Daripada sistem pemusatan sosialis, kerajaan yang hari ini dikenali dengan nama Majlis Keamanan dan Pembangunan Negara (SPDC) perlahan-lahan memimpin Myanmar masuk ke dalam arus ekonomi pasaran.

Tetapi ada beberapa sebab lain faktor-faktor yang cukup menarik sebenarnya yang boleh ditimbangkan oleh para usahawan tempatan untuk melabur di Myanmar. Myanmar, sesuai dengan nama julukannya suvannabhumi atau bumi emas itu adalah sebuah negara yang dianugerahi sumber alam yang kaya.

``Oleh itu, kami sangat mengalu-alukan pelaburan asing yang berasaskan sumber,'' kata Pengarah Suruhanjaya Pelaburan Myanmar (MIC), Si Si Win.

Kata beliau, pihaknya mengalu-alukan pelaburan dalam bentuk usaha sama atau ditubuhkan sebagai syarikat milik asing sepenuhnya. Tetapi bukan sumber alamnya saja yang sedia dikongsi bersama pelabur asing demi kemakmuran ekonomi negara itu. Selebihnya dan ini tidak kurang penting Myanmar memiliki tenaga kerja yang secara relatifnya cukup murah.

Menurut Naib Pengerusi Dewan Perniagaan dan Industri Mandalay (MDDCI), Aung Win Khaing, pekerja mahir di Myanmar menerima purata gaji AS$70 (RM266) sebulan.

Beliau berkata, pekerja bukan mahir pula menerima tidak kurang daripada AS$10 (RM38) sebulan, dan mereka ini adalah kumpulan tenaga kerja terbesar di Myanmar. Negara itu mempunyai kira-kira 19 juta tenaga kerja yang aktif daripada 52 juta penduduknya.

``Inilah faktor yang perlu ditimbangkan oleh pelabur yang hendak datang ke sini,'' katanya ketika membawa kami meninjau zon perindustrian di Mandalay.

Si Win menyangkal keras semua tuduhan bahawa melabur di negara itu hanya akan membantu kerajaan tenteranya terus berkuasa.

``Ekonomi dan politik mungkin ada hubung kait tetapi setakat ini, para pelabur tidak keberatan datang ke sini kerana biar siapa juga yang menjadi kerajaan, polisinya tetap sama,'' tegas beliau.

Katanya, iklim pelaburan di Myanmar selamat kerana ia melaksanakan undang-undang pelaburan yang diperkenalkan sejak 1988 secara konsisten sehingga hari ini.

Antara insentif yang diberikan kepada pelabur asing ialah pengecualian cukai selama tiga tahun berturut-turut selepas memulakan operasi selain pengecualian cukai atas import bahan mentah dan jentera. Pada masa yang sama, syarikat berkenaan juga layak menikmati kadar cukai pendapatan pekerja asing yang setara dengan pekerja tempatan.

Kata Si Win, segala permohonan melabur di Myanmar akan diproses oleh MIC dalam masa enam minggu.

Pada masa ini, 50 peratus daripada pelaburan asing di Myanmar datangnya dari negara-negara anggota ASEAN, dan selebihnya dari Amerika Syarikat, United Kingdom dan negara-negara Asia lain termasuk Jepun, Hong Kong dan Korea.

Ditanya sama ada itu menunjukkan bahawa sekatan ekonomi yang dikenakan ke atas negara itu tidak meninggalkan bekas, Si Win berkata: ``Itulah keadaannya. Saudara-saudara boleh lihat sendiri.''

Tetapi Win Khaing mempunyai pandangan yang agak menarik tentang sekatan ekonomi itu. Beliau menceritakan perbualannya dengan tiga orang senator AS tahun lalu yang bertanya kepadanya kesan sekatan ekonomi itu ke atas Myanmar.

``Saya kata kepada mereka, saya tidak tahu sekatan apa yang dimaksudkan. Saya tidak merasai kesan itu kerana kami memasarkan barangan ke negara ketiga, dan yang rugi sebenarnya ialah mereka kerana tidak berpeluang berurusan dengan kami,'' katanya.

Dan rugi itu memanglah besar, kalau kita melihat kepada usaha pembangunan yang sedang berlaku di Myanmar. Bagi merancakkan pertumbuhan ekonomi seperti yang diidam-idamkannya, ia giat membangunkan infrastruktur termasuk jalan raya, jambatan (kerana bumi Myanmar terpisah-pisah oleh sungai) dan empangan tenaga elektrik. Sebuah pelabuhan laut dalam juga sedang dalam peringkat perancangan untuk dibina bagi melengkapi sistem pengangkutannya.

``Industri yang akan berkembang dalam masa terdekat ini ialah simen,'' kata Win Khaing, yang juga pengerusi sebuah syarikat simen di Mandalay.

Dari segi jangka masa panjangnya pula, beliau menyifatkan sektor industri kecil dan sederhana (SMI) sebagai bidang pelaburan yang mempunyai masa depan begitu cerah.

Menurut Ketua Pengarah Jabatan Perdagangannya, Nyunt Aye, pihaknya sedang berkerja keras `menjual Myanmar' sebagai tapak pelaburan yang mempunyai potensi besar untuk berkembang.

``Ini bersesuaian dengan usaha kami menggalakkan penglibatan sektor swasta dalam pembangunan ekonomi negara sejak 1988,'' katanya.

Menurut laporan, syarikat Malaysia sekarang ini terlibat dalam 12 projek di Myanmar dengan pelaburan berjumlah RM1.248 bilion, merangkumi bidang pembuatan di samping hartanah, pelancongan dan perhotelan.

Maka dalam iklim hubungan antara dua negara yang begitu intim sekarang, ada baiknya kalau dewan-dewan perniagaan tempatan menjenguk-jenguk ke Myanmar dan melihat sendiri keadaan di negara itu. Banyak peluang yang ada di bumi emas itu, asal saja kita menunjukkan minat dan menemui orang yang betul.

Untuk maklumat lanjut tentang pelaburan di Myanmar sila layari laman web www.myanmar.com/commerce

 

muka depan | agama | ekonomi | fatwa | jenayah & kemalangan | kolumnis | khas | pelancongan
pendidikan | pendatang asing | politik | rencana | sains dan teknologi | umum