EKONOMI

Berita Harian 27 mac 2001

PM jamin pelaburan KWSP dibuat secara berhemat

KUALA LUMPUR, Selasa – Datuk Seri Dr Mahathir Mohamad memberi jaminan, kerajaan akan mengambil langkah perlu untuk terus melindungi keselamatan caruman orang ramai dalam Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).

Perdana Menteri berkata, sebarang pelaburan yang dilakukan oleh tabung wang pencen terbesar itu, akan dibuat secara berhemat.

“Kita akan cari jalan dan kaedah pelaburan yang selamat untuk KWSP,” katanya dalam sidang akhbar mengumumkan beberapa tindakan untuk mengekang kesan kelembapan ekonomi Amerika Syarikat di pejabatnya, di Dewan Rakyat hari ini.

Antara langkah itu ialah mengurangkan caruman pekerja dalam KWSP sebanyak dua peratus kepada sembilan peratus untuk tempoh sekurang-kurangnya setahun, berkuat kuasa mulai 1 April ini bagi meningkatkan perbelanjaan ke arah merangsang ekonomi.

Dr Mahathir berkata, jika dilaburkan dalam deposit tetap perbankan, pelaburan KWSP agak banyak tetapi setakat ini kebanyakan pelaburan KWSP dibuat dalam bon kerajaan.

Ditanya kemungkinan langkah kerajaan mengurangkan dua peratus caruman pekerja dalam KWSP itu mendapat bantahan orang ramai, Dr Mahathir berkata pengurangan itu cuma bersifat sementara.

“Sudah tentu ada orang berasa tak senang hati kerana ini...tetapi ini minimum, pengurangan yang minumum. Lagipun, kutipan KWSP adalah antara terbesar di dunia.

“Setiap bulan kita kutip RM1.6 bilion. Jadi, pengurangan sikit macam itu (dua peratus) tak akan menjejas jumlah keseluruhan yang akan diuruskan KWSP. Malah, menjelang akhir tahun ini, jumlah dana KWSP akan melebihi RM200 bilion,” katanya.

Melalui langkah pengurangan itu, bermakna sumbangan pekerja kepada KWSP sebanyak sembilan peratus.

Bagaimanapun, sumbangan majikan bagi pihak pekerja kepada KWSP, dikekalkan 12 peratus.

Sementara itu, ketika ditanya kemungkinan institusi perbankan tempatan mengambil sikap lebih berhati-hati membuat pembiayaan berikutan kelembapan ekonomi Amerika, Dr Mahathir berharap pertumbuhan pinjaman bank lapan peratus dapat dicapai tahun ini.

“Kita sedar perkara ini. Ketika kegawatan, kita memujuk bank untuk memberi pinjaman. Saya rasa mereka akan lebih berhemat dan tidak mahu mengeluarkan pinjaman dengan mudah tetapi Bank Negara akan mengawasi prestasi mereka,” katanya.

 

muka depan | agama | ekonomi | fatwa | jenayah & kemalangan | kolumnis | pelancongan
pendidikan | pendatang asing | politik | rencana | sains dan teknologi