Toolshack.com - "Where Webmasters Find Their Tools"
Web tools and webmaster resources, including: traffic statistics, site monitoring, banner exchange, search engine submission, a generous affiliate program, more...

EKONOMI

Utusan Malaysia 08 Mei 2001

Individu juga perlukan perhubungan awam

Oleh:RAZAK ABU BAKAR
RAMAI yang tidak tahu bahawa perhubungan awam bukanlah hanya untuk syarikat, pertubuhan ataupun kerajaan sahaja.

Perhubungan awam juga boleh digunakan oleh individu seperti anda dan saya. Tetapi, mengapa pula seseorang individu itu perlukan perhubungan awam?

Antara sebab-sebabnya ialah : mereka sedang mencari kerja ataupun mencari peluang untuk naik pangkat. Cuba untuk memperjuangkan sesuatu isu atau menegakkan kebenaran.

Mungkin hendakkan publisiti. Mahukan pendengar menghargai (kalaupun tidak menerima) pandangan mereka. Apa pun sebabnya, mereka mahu suara mereka didengari.

Sekumpulan individu yang memang perlukan perhubungan awam ialah mereka yang bergantung kepada personaliti dan imej yang bersih untuk berjaya dalam kerjaya seperti ahli politik, penghibur dan sejak kebelakangan ini CEO syarikat-syarikat besar.

CEO telah menjadi sama penting dengan jenama korporat mereka dan kerana itu, perlulah menonjolkan imej positif yang sama kepada orang ramai.

Imej CEO yang baik akan dapat meningkatkan imej syarikat mereka. CEO yang menonjolkan imej negatif pula boleh menyebabkan harga saham jatuh.

Dalam kebanyakan situasi, individu tidak boleh menggunakan pengiklanan dalam iklan, anda bercerita tentang diri anda. Dengan perhubungan awam, pihak media akan bercerita tentang anda dan ini mempunyai lebih kredibiliti.

Ramai yang merasakan mereka bagus dalam melaksanakan perhubungan awam. Tetapi, sejumlah kecil sahaja yang sebenarnya mampu melakukannya.

Bila mereka sedar akan hal ini, mereka akan mendapatkan khidmat profesional untuk menonjolkan ataupun memperbetulkan imej mereka.

Pada pendapat saya, perhubungan awam untuk syarikat adalah lebih mudah untuk dilaksanakan daripada untuk individu terutama sekali untuk mereka yang kurang memahami peranan perhubungan awam.

Memang terdapat masalah apabila berurusan dengan pelanggan individu. Antaranya ialah:

Mengubah Arah dan Objektif Perhubungan Awam Secara Tiba-Tiba

Sudah banyak kali berlaku situasi di mana individu mengambil keputusan untuk mengubah objektif perhubungan awam mereka di tengah perjalanan kempen.

Ini tidak ubah seperti cuba membuat pusingan U secara tiba-tiba semasa kapal sedang belayar dengan lancar. Individu sepatutnya mempunyai satu objektif yang muktamad semasa membuat keputusan dalam memilih arah perjalanan dan sasaran yang ingin dicapai.

Kekurangan Peruntukan

Perundingan perhubungan awam adalah seperti perniagaan-perniagaan lain yang memberikan perkhidmatan. Program perhubungan awam tidak boleh dilaksanakan atas dasar kepercayaan, dan janji manis sahaja.

Memang benar jika dikatakan kebanyakan pelanggan individu terpaksa membayar sendiri program perhubungan awam mereka, tidak seperti artis yang mana semua ini diuruskan oleh syarikat rakaman.

Tetapi, tanpa merancang perbelanjaan yang secukupnya, kempen perhubungan awam akan menjadi goyah.

Meminta Pendapat Pasangan

Sama ada mereka memang setia kepada pasangan ataupun semata-mata kurang arif, individu tidak sepatutnya meminta pendapat daripada pasangan mereka. Keluarga selalunya memberi pendapat mereka sendiri bukannya pendapat profesional.

Seperti kata pepatah _ bila membeli kereta, jangan bawa isteri bersama nanti anda akan memandu pulang kereta yang lain.

Tidak Boleh Menonjolkan Perwatakan Yang Sepatutnya

Ertinya malu dan kaku setiap masa. Penyanyi perlu sedar bahawa mereka perlukan lebih daripada bakat untuk menjadi terkenal. Mohammad Ali tidak mungkin menjadi yang terbaik hanya dengan memenangi perlawanan. Dia telah memainkan peranannya sebagai seorang individu, ahli sukan dan pejuang isu peri kemanusiaan.

Individu perlu memainkan peranan secara aktif, bila dan di mana mereka perlu. Dalam perhubungan awam, kami melatih pelanggan untuk bersedia berhadapan dengan cabaran di dunia.

Pelanggan Selalunya Betul

Dalam situasi begini, kenyataan ini tidak benar. Individu mewakili diri sendiri dan bukan syarikat mereka. Mereka mesti mempunyai fokus, tidak terlampau sensitif dan sanggup menerima idea dan cadangan.

Saya tidak berniat untuk menghampakan orang ramai, tetapi dalam situasi ini, pelanggan adalah tidak betul yang betul ialah persepsi!

Bagaimanapun, jika anda orang yang bertanyakan kumpulan individu mana yang saya lebih berminat untuk memberikan perkhidmatan perhubungan awam, saya akan memilih CEO daripada penghibur.

CEO sebenarnya mewakili syarikat mereka yang mempunyai beribu-ribu pekerja.

Tambahan pula, mereka mempunyai kelengkapan yang telah sedia ada untuk membantu dalam mencapai objektif mereka dan selalunya juga adalah objektif syarikat.

Sebab itulah kadangkala kami menyatukan rancangan perhubungan awam untuk individu dan syarikat mereka bagi mencapai hasil yang terbaik.

Lagi pun, legenda dicipta, bukannya lahir sebegitu.

* RAZAK Abu Bakar ialah seorang perunding kanan bersama Alpha Platform PR. Jika ada soalan ataupun pandangan, sila hubungi beliau di razakba@pd.jaring.my ataupun 03-42562617.

 

muka depan | agama | ekonomi | fatwa | jenayah & kemalangan | kolumnis | khas | pelancongan
pendidikan | pendatang asing | politik | rencana | sains dan teknologi | umum