Toolshack.com - "Where Webmasters Find Their Tools"
Web tools and webmaster resources, including: traffic statistics, site monitoring, banner exchange, search engine submission, a generous affiliate program, more...

EKONOMI

Utusan Malaysia 10 Mei 2001

Negara membangun tentukan globalisasi

KUALA LUMPUR 9 Mei - Malaysia merasakan negara-negara membangun perlu menentukan sendiri kadar kemajuan globalisasi terutama dalam suasana perkembangan semasa ketika ini, kata Menteri Kewangan Tun Daim Zainuddin.

Mereka perlu menitikberatkan kadar kemajuan yang seimbang dengan kecanggihan institusi dan kewangan ekonomi mereka dan sehubungan itu, mereka perlu mengguna pakai globalisasi hanya jika ia mempunyai kesinambungan yang baik, katanya dalam ucaptama mengenai "Globalisasi? Cabaran-Cabaran Pembangunan Sedang Muncul: "Isu-Isu Baru, Agenda Lama" di Persidangan Bank Pembangunan Asia di Honolulu. Teks ucapannya dikeluarkan di sini hari ini, juga boleh diperoleh daripada laman web Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN) -- neac.gov.my

Daim berkata globalisasi bukanlah satu perkara yang asing bagi Malaysia kerana negara adalah satu daripada ekonomi paling terbuka di dunia dengan eksport membentuk 120 peratus daripada KDNK 2000, manakala import menyumbang 94 peratus. Malaysia juga adalah negara dagangan ke 17 terbesar di dunia.

Beliau berkata, "komitmen kami kepada globalisasi adalah bukti kepada kepada pihak-pihak yang sentiasa memantau dengan rapat dasar-dasar kami. Kami telah menegaskan bahawa kami mahu menjadi sebuah ekonomi globalisasi bersepadu.

``Kami sedang berusaha mencari rakan strategik aktif untuk membantu mengendalikan operasi lapangan terbang, syarikat penerbangan dan industri telekomunikasi kita. Kami mengiktiraf peranan pengurus bertaraf antarabangsa tanpa mengambil kira dari mana ia datang.

``Kami sentiasa mengalu-alukan kedatangan pelabur-pelabur asing. Meskipun keterbukaan kami kepada perdagangan dan pelaburan, aliran dan perkembangan terkini dalam globalisasi terutama berkaitan dengan perdagangan dan pembiayaan telah memerlukan penilaian semula pendekatan Malaysia kepada globalisasi.''

Dalam usaha melangkah ke hadapan, Daim merasakan negara-negara maju harus menimbangkan dengan serius perkongsian yang lebih seimbang dan membenarkan negara-negara membangun bersuara dalam struktur dan proses globalisasi dan liberalisasi jika mereka mahu melihat perkembangan selanjutnya.

Globalisasi, katanya, harus berasaskan kepada formula "menang-menang" yang saling memberi faedah kepada semua.

``Apa yang penting, negara-negara tidak boleh dipaksa menyerahkan apa yang mereka ada, kedaulatan mereka, nilai, budaya dan cara hidup mereka di atas nama globalisasi.''

Daim juga percaya negara-negara membangun akan lebih terbuka kepada globalisasi kerana realisasi faedah akan diperoleh dalam banyak bahagian.

Bagaimanapun, beliau berkata negara-negara tersebut juga semakin menyedari akan bahaya terselindung akibat daripada globalisasi dan keperluan untuk membentuk strategi bagi menentukan kadar kemajuan globalisasi jika mereka berjaya menangani cabaran-cabaran yang mendatang.

Daim berkata selepas kegagalan mesyuarat Pertubuhan Perdagangan Dunia (WTO) di Seattle untuk memulakan pusingan baru rundingan, negara-negara membangun bimbang isu-isu yang sebelum ini ditolak akan diusulkan semula ke meja rundingan WTO.

Antara isu-isu baru yang dicadang untuk dibawa ke mesyuarat seterusnya WTO di Doha, Dubai, adalah langkah-langkah pelaburan berkaitan perdagangan (TRIM), dasar persaingan, kemudahan perdagangan, alam sekitar, piawaian buruh dan pemerolehan kerajaan. - Bernama

 

muka depan | agama | ekonomi | fatwa | jenayah & kemalangan | kolumnis | khas | pelancongan
pendidikan | pendatang asing | politik | rencana | sains dan teknologi | umum