Toolshack.com - "Where Webmasters Find Their Tools"
Web tools and webmaster resources, including: traffic statistics, site monitoring, banner exchange, search engine submission, a generous affiliate program, more...

EKONOMI

Utusan Malaysia 10 Mei 2001

Mata wang lemah hanya sementara

KUALA LUMPUR 9 Mei - Kelemahan mata wang serantau sekarang dijangka merupakan fenomena sementara, demikian menurut Rating Agency Malaysia Bhd (RAM).

Bagaimanapun, agensi penarafan itu menyatakan sekiranya penjajaran tidak tepat ringgit terhadap mata wang serantau berterusan, ia akan memberikan kesan buruk kepada akaun perdagangan dan daya saing jangka panjang Malaysia.

Dalam terbitan April laporan Economic Chartbook yang dikeluarkannya, RAM turut menyatakan walaupun terdapat tekanan spekulasi, tambatan RM3.80 bagi satu dolar Amerika akan kekal.

Kerajaan telah mengulangi pendiriannya untuk mengekalkan kadar tukaran yang teguh pada asasnya dan tidak memberi reaksi kepada penjajaran jangka pendek yang tidak tepat, katanya.

``Kadar tukaran efektif sebenar ringgit (berdasarkan kepada perkiraan kami) telah meningkat 3.8 peratus pada Februari tahun ini sejajar dengan kenaikan kecil dalam harga-harga bandingan IHP (Indeks Harga Pengguna)," katanya.

RAM telah meramalkan kadar inflasi IHP untuk meningkat 2.5 peratus tahun ini.

Agensi itu turut menyatakan walaupun negara-negara jiran telah merendahkan nilai mata wang mereka pada puratanya lebih 10 peratus, ini tidak dijangka akan menghakis daya saing Malaysia pada jangka pendek.

Ia merasakan pengukuhan nilai ringgit akan merangsang usaha untuk mengeluarkan lebih banyak produk nilai ditokok dan meningkatkan produktiviti.

Mengenai pengurangan dua peratus dalam caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) pekerja baru-baru ini, ia menyatakan ia tidak menjangka ini akan banyak mengubah corak perbelanjaan pengguna kerana para pengguna melihat faedah ini sebagai keuntungan sementara dan bukan kenaikan kekal dalam pendapatan tersedia untuk digunakan.

Oleh itu, para pengguna akan terus berhati-hati memandangkan keadaan tidak menentu kesan kelembapan ekonomi dunia ke atas ekonomi Malaysia.

Bagi sektor eksport, RAM menyatakan tinjauannya bagi tahun ini adalah kurang positif berikutan kelembapan ekonomi dunia dan kedudukan rendah kitaran separa konduktor.

``Eksport elektrikal dan elektronik, sementara masih menunjukkan pertumbuhan positif 8.2 peratus pada dua bulan pertama tahun ini, dijangka menjadi lebih perlahan.

``Bagaimanapun, penurunan dalam sektor kecil peralatan elektronik dan kelengkapan sebanyak 5.1 peratus diimbangi dengan segmen kecil lain dalam sektor elektrikal dan elektronik, contohnya kelengkapan telekomunikasi yang tumbuh 36.4 peratus, separa konduktor 20.8 peratus dan peralatan elektrik rumah 19.4 peratus pada dua bulan pertama tahun ini," katanya.

Sambil mengunjurkan pertumbuhan eksport akan menyederhana kepada 4.4 peratus pada 2001 daripada 20 peratus pada 2000, RAM menyatakan faktor-faktor utama yang mempengaruhi eksport barangan pembuatan adalah kadar tukaran, jualan separa konduktor, syarat-syarat perdagangan dan keluaran dalam negeri kasar Amerika Syarikat.- Bernama

 

muka depan | agama | ekonomi | fatwa | jenayah & kemalangan | kolumnis | khas | pelancongan
pendidikan | pendatang asing | politik | rencana | sains dan teknologi | umum