Toolshack.com - "Where Webmasters Find Their Tools"
Web tools and webmaster resources, including: traffic statistics, site monitoring, banner exchange, search engine submission, a generous affiliate program, more...

EKONOMI

Utusan Malaysia 11 Mei 2001

Aturan tukaran mata wang dipersetujui

KUALA LUMPUR 10 Mei - Kerajaan Jepun dan Malaysia mencapai persetujuan mengenai peraturan tukaran mata wang dua hala berjumlah AS$3.5 bilion (RM13.3 bilion), menurut kenyataan daripada Kementerian Kewangan hari ini.

Kenyataan itu berkata, kedua-dua negara telah bersetuju memperbaharui semula syarat-syarat peraturan tukaran dua hala di bawah Inisiatif Miyazawa yang sedia ada kepada yang lebih baik.

Bersama-sama AS$2.5 bilion (RM9.5 bilion) daripada Inisiatif Miyazawa yang diperuntukkan, jumlah dana keseluruhan untuk kemudahan tukaran bagi Malaysia berjumlah AS$3.5 bilion.

Jumlah tersebut merupakan sebahagian daripada AS$6 bilion yang diumumkan Jepun hari ini bagi perjanjian pertukarannya dengan tiga negara iaitu Malaysia, Korea Selatan (AS$2 bilion) dan Thailand (AS$3 bilion) sebagai sebahagian rancangan untuk mencegah krisis mata wang Asia daripada berulang.

Mengulas perjanjian itu Menteri Kewangan Malaysia, Tun Daim Zainuddin berkata. ``Kami tidak akan terperangkap dalam kejutan lagi kali ini. Kami bersedia menghadapi sebarang kemungkinan yang akan berlaku'.

Inisiatif Miyazawa ditubuhkan berikutan dengan krisis ekonomi Asia Tenggara pada tahun 1997.

``Kedua-dua negara juga turut bersetuju terhadap peraturan tukaran dua hala yang baru di bawah Inisiatif Chiang Mai yang berjumlah AS$1 bilion (RM3.8 bilion),'' kata kenyataan itu.

Sebanyak 10 peratus daripada jumlah tersebut boleh disalurkan tanpa sebarang campur tangan daripada Dana Kewangan Antarabangsa (IMF).

Kenyataan itu turut berkata, walaupun Malaysia masih perlu menggunakan kemudahan tukaran sedia ada, bantuan mereka (Jepun) akan mengatasi sebarang potensi krisis kewangan yang boleh berlaku pada masa depan.

Sementara itu, Reuters melaporkan Menteri Kewangan Malaysia Tun Daim Zainuddin dalam ulasan mengenainya sebagai berkata, ``Kami tidak akan terperangkap dalam kejutan lagi kali ini,

``Kami bersedia menghadapi sebarang kemungkinan yang akan berlaku.''

Laporan itu juga memetik Setiausaha Kewangan AS, Paul O'Neill sebagai berkata, AS tidak membantah jaringan keselamatan mata wang jika ia tidak menimbulkan masalah kewangan dunia.

Tetapi, beberapa penganalisis melihat Inisiatif Chiang Mai boleh ke arah pembentukan Dana Kewangan Asian - yang dibangkang keras oleh AS. Inisiatif Chiang Mai yang dilahirkan pada bulan Mei tahun lalu, bermatlamat untuk mengelakkan berulangnya krisis kewangan di masa depan dengan merangka jaringan tukaran mata wang di antara bank-bank pusat 10 anggota ASEAN bersama-sama Jepun, Korea Selatan dan China.

AS bimbang kewujudan berasingan kemudahan kewangan Asian akan `memperlekehkan' fungsi-fungsi IMF dan menggagalkan reformasi yang disarankan oleh tabung itu untuk rantau Asia Tenggara.

 

muka depan | agama | ekonomi | fatwa | jenayah & kemalangan | kolumnis | khas | pelancongan
pendidikan | pendatang asing | politik | rencana | sains dan teknologi | umum