Toolshack.com - "Where Webmasters Find Their Tools"
Web tools and webmaster resources, including: traffic statistics, site monitoring, banner exchange, search engine submission, a generous affiliate program, more...

EKONOMI

Utusan Malaysia 11 Mei 2001

Cadangan semak tambahan ringgit

KUALA LUMPUR 10 Mei - Cadangan-cadangan untuk menyemak semula tahap tambatan ringgit terhadap dolar Amerika untuk merangsang persaingan adalah berdasarkan kepada premis-premis jangka pendek dan tidak boleh dipakai, terutamanya dalam jangka sederhana dan panjang.

Public Bank menyatakan semakan semula nilai ringgit akan mengakibatkan ketidak-pastian baru yang boleh memberi kesan buruk kepada ekonomi sebenar negara.

Dalam satu rencana bertajuk Re-Peg The Ringgit? dalam terbitan dua kali sebulan Economic Review di sini hari ini, bank itu menyatakan tambatan ringgit boleh dikekalkan berdasarkan asas-asas ekonomi Malaysia dan tanggungan luarannya yang rendah.

``Keputusan untuk mengekalkan kadar tambatan antara ringgit dengan dolar Amerika menjamin ringgit terus berada pada nilai munasabah berdasarkan kepada asas-asas ekonomi Malaysia dan belum mengalami penjajaran tidak tepat berbanding mata wang serantau,'' katanya.

Ringgit ditambat pada 3.80 bagi satu dolar Amerika.

Public Bank menyatakan kos menyemak semula ringgit berdasarkan kepada alasan persaingan boleh mengatasi faedah-faedah yang didapati daripadanya.

Ia mengeluarkan kenyataan sebegini berikutan cadangan supaya kadar tambatan ringgit disemak semula bagi merangsang persaingan berikutan penyusutan nilai mata wang serantau berbanding dolar Amerika seperti yen Jepun, baht Thailand, won Korea dan rupiah Indonesia.

Bank itu menyatakan merendahkan nilai tukaran mata wang bagi merangsang persaingan mempunyai had-had yang ketara kerana ia boleh mencetuskan penyusutan lanjut mata wang lain.

Lagipun, untuk tempoh jangka panjang dan sederhana, persaingan antarabangsa lebih baik ditingkatkan menerusi faktor-faktor yang selain dari penyusutan mata wang, tambahnya.

Faktor-faktor ini termasuk prasarana berkualiti tinggi, pembangunan teknologi dan aktiviti-aktiviti penyelidikan dan pembangunan.

Faktor-faktor persaingan lain termasuk kualiti pengurusan, kualiti tenaga buruh, kecekapan dan kestabilan sistem kewangan, kestabilan politik dan sosial, pembukaan pelaburan langsung asing dan prinsip-prinsip ekonomi makro. - Bernama

 

muka depan | agama | ekonomi | fatwa | jenayah & kemalangan | kolumnis | khas | pelancongan
pendidikan | pendatang asing | politik | rencana | sains dan teknologi | umum