EKONOMI

Berita Harian 27 mac 2001

Pelbagai pihak sokong tubuh dana bantu IKS

PELBAGAI pihak menyambut baik penubuhan dana RM500 juta oleh kerajaan bagi menyokong perkembangan industri kecil dan sederhana sebagai sebahagian langkah awal mengekang kesan kelembapan ekonomi.

Presiden Dewan Perniagaan Melayu Malaysia Kuala Lumpur (DPMM-KL), Datuk Syed Amin Al Jeffri berkata, ia melambangkan pengiktirafan kerajaan kepada fungsi IKS sebagai sektor penting untuk menjana ekonomi negara.

“Kami bersetuju dan mengucapkan terima kasih kepada kerajaan kerana menerima hakikat bahawa ekonomi negara turut dijana oleh sektor yang strategik membabitkan usahawan IKS,” katanya.

Menurut Syed Amin, peruntukan berkenaan penting untuk pertumbuhan IKS sedia ada, juga yang akan muncul dan harapannya supaya bantuan akan memberi lebih banyak peluang kepada peserta industri.

“Dengan peruntukan ini, kami harap mereka yang sepatutnya mendapat bantuan akan dibantu dengan sewajarnya,” katanya ketika diminta mengulas cadangan penubuhan tabung berkenaan di Kuala Lumpur, semalam.

Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Mahathir Mohamad semalam mengumumkan kerajaan akan menubuhkan dana khas bernilai RM500 juta untuk membantu memperkukuh dan memantapkan pembiayaan kepada IKS bagi menangani kelembapan ekonomi AS.

Sementara itu, usaha kerajaan meningkatkan jumlah pemberian pinjaman oleh institusi kewangan untuk pembelian saham dan saham amanah pula disambut baik oleh kalangan pengurus dana.

Ketua Eksekutif Pacific Mutual Fund Bhd (Pacific Mutual), Judy Yap Soh Li, berkata, langkah kerajaan itu secara tidak langsung akan memberi rangsangan kepada industri saham amanah di negara ini.

Sehubungan itu katanya, masyarakat pelabur perlu merebut peluang itu untuk mendapatkan potensi besar daripada pengumuman terbaru berkenaan.

Bagaimanapun beliau berkata, pemberian pinjaman itu perlu diberi secara berhemah dengan had pemberian ditetapkan mengikut berkemampuan.

Perkara itu menurut bertujuan mengelakkan panggilan margin jika pelabur menggunakan saham sebagai sandaran pinjaman seperti yang berlaku ketika krisis kewangan dulu.

Sementara itu seorang penganalisis di KAF Research, berkata langkah kerajaan itu berpotensi menggerakkan semula pasaran tetapi ia mungkin tidak memberikan kesan serta-merta.

Beliau berkata, perkara itu ialah kerana pergerakan pasaran banyak bergantung kepada faktor lain dan antara yang utama ialah keperluan membawa masuk dana asing ke pasaran tempatan.

 

muka depan | agama | ekonomi | fatwa | jenayah & kemalangan | kolumnis | pelancongan
pendidikan | pendatang asing | politik | rencana | sains dan teknologi