Toolshack.com - "Where Webmasters Find Their Tools"
Web tools and webmaster resources, including: traffic statistics, site monitoring, banner exchange, search engine submission, a generous affiliate program, more...

EKONOMI

Utusan Malaysia 12 Mei 2001

Strategi tangani kesan ekonomi AS dirangka


FONG Chan Onn (kanan) bersalam dengan delegasi Jepun yang menyertai Mesyuarat ASEAN + 3 sempena Mesyuarat Menteri-Menteri Buruh ASEAN Ke-15 di Kuala Lumpur semalam.

KUALA LUMPUR 11 Mei - Jepun, China dan Korea Selatan sedang merangka strategi dan projek usaha sama dengan ASEAN dalam usaha menangani kesan kelembapan ekonomi Amerika Syarikat (AS) yang melanda rantau ini.

Antara projek tersebut termasuk mengadakan latihan teknikal kepada para pekerja yang diberhentikan akibat daripada kelembapan ekonomi itu.

Menteri Sumber Manusia, Datuk Dr. Fong Chan Onn berkata, Jepun, khususnya akan memainkan peranan penting untuk mengadakan latihan teknikal kepada negara anggota ASEAN yang menghadapi masalah pemberhentian pekerja.

``Jepun, China dan Korea Selatan perlu bekerjasama dengan ASEAN dalam menangani kelembapan ekonomi AS kerana kedua-dua pihak saling memerlukan dalam bidang ekonomi,'' katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mempengerusikan Mesyuarat Menteri-Menteri Buruh ASEAN (ALMM) Ke-15 di sini hari ini.

Mesyuarat dua hari yang berakhir hari ini, dihadiri oleh 10 negara anggota ASEAN dan tiga negara bukan anggota iaitu Jepun, China dan Korea Selatan (ASEAN + 3) sebagai rakan dialog.

Pada Mesyuarat ASEAN + 3, Jepun diwakili oleh Naib Menteri Kanan Kesihatan, Buruh dan Kebajikan, Chieko Nohno dan China oleh Naib Menteri Buruh dan Keselamatan Sosial, Wang Dongjin.

Korea Selatan pula diwakili oleh Menteri dan Timbalan Ketua Misi Kedutaan Korea di Malaysia, Chun He Jing.

Fong selanjutnya berkata, kesediaan Jepun untuk membantu menangani masalah kesan kelembapan ekonomi AS di rantau Asia Tenggara merupakan satu tindakan yang amat dinantikan oleh negara rantau ini.

Dengan kepakaran yang ada pada Jepun, kata beliau, masalah tersebut akan dapat ditangani dengan lebih berkesan, sekali gus merangsangkan semula ekonomi negara-negara anggota.

Sementara itu, katanya, China bersedia membuka lebih banyak peluang pasaran kepada barangan negara anggota ASEAN untuk dipasarkan di negara tersebut.

``Sebagai sebuah negara yang besar dari segi saiz dan penduduk, China dilihat sebagai pasaran utama kepada barangan negara-negara ASEAN,'' jelasnya.

Langkah yang diambil oleh China itu, tambahnya, akan memberi peluang kepada syarikat-syarikat tempatan memasarkan barangan mereka yang terjejas akibat kelembapan ekonomi AS.

Selain usaha menangani isu kesan kelembapan ekonomi AS, menurutnya, ketiga-tiga negara tersebut berharap jalinan kerjasama dengan ASEAN dalam pembangunan sumber manusia akan dapat dipertingkatkan.

``Jepun, China dan Korea Selatan mengemukakan pelbagai pandangan terhadap projek usaha sama sepanjang mesyuarat kali ini,'' katanya.

Katanya, menerusi kenyataan bersama yang dikeluarkan daripada ALMM Ke-15, ketiga-tiga negara tersebut mahu mempertingkatkan lagi penglibatan mereka dalam projek-projek yang dijalankan di rantau ini.

 

muka depan | agama | ekonomi | fatwa | jenayah & kemalangan | kolumnis | khas | pelancongan
pendidikan | pendatang asing | politik | rencana | sains dan teknologi | umum