Toolshack.com - "Where Webmasters Find Their Tools"
Web tools and webmaster resources, including: traffic statistics, site monitoring, banner exchange, search engine submission, a generous affiliate program, more...

EKONOMI

Utusan Malaysia 14 Mei 2001

Punca usahawan Melayu gagal bertahan

SHAH ALAM 13 Mei - Kegagalan usahawan Melayu bertahan kerana lebih tertumpu kepada perniagaan kecil seperti perniagaan pasar mini atau kedai runcit, kedai kain dan pakaian, kedai buku dan stesen minyak.

``Perniagaan ini telah tepu, mempunyai persaingan hebat dan margin keuntungan kesar adalah kecil,'' kata Yang Dipertua Dewan Perniagaan Melayu Malaysia Selangor, Datuk Raduan Md. Taib.

Raduan berkata, perniagaan pasar mini atau kedai runcit menghadapi persaingan daripada percambahan pesat pasar raya bersaiz besar serta kedai ubat Cina yang menawarkan barangan pada harga yang jauh lebih murah.

Beliau berkata demikian ketika membentangkan kertas kerjanya bertajuk Sektor Perkhidmatan dan Peruncitan pada Bengkel Ekonomi Konvensyen UMNO Selangor ke-10 di sini, Sabtu lalu.

Raduan berkata, usahawan Cina kini beralih kepada bidang peruncitan baru seperti kedai telekomunikasi, kedai jualan cakera padat, kedai elektrik, farmasi, bakeri dan jualan langsung.

``Mereka tidak lagi berminat dalam perniagaan stesen minyak dan kedai runcit memandangkan margin keuntungan yang kecil,'' katanya.

Raduan menambah, keadaan itu diburukkan lagi oleh masalah kewangan dan tambahan modal yang sukar diperoleh dari institusi kewangan dengan syarat yang ketat dan nilai pinjaman kecil.

Katanya, cabaran lain adalah ketiadaan jaringan yang kukuh pada beberapa peringkat rantaian industri dan kekurangan maklumat.

Beliau berkata, sebagai contohnya, pengeluar dari industri kampung tidak dapat memasarkan barangan lebih jauh kerana kekurangan maklumat mengenai prospek dan potensi pasaran begitu juga sebaliknya.

Raduan berkata, kekurangan pendedahan kepada generasi muda Melayu merupakan antara punca masyarakat Melayu begitu kurang menyertai bidang ini.

``Kebanyakan perniagaan runcit Cina adalah perniagaan keluarga dan ilmu perniagaan itu telah diperturunkan dari satu generasi ke satu generasi lain.

``Sebaliknya dalam masyarakat Melayu, perniagaan ini adalah satu bidang baru yang memerlukan berbagai pendekatan untuk menguasainya,'' katanya.

Tambahan pula, kebanyakan pengedar bukan Melayu enggan menghantar produk ke kedai-kedai milik Melayu dan jika adapun, mereka akan mengenakan syarat-syarat yang ketat.

 

muka depan | agama | ekonomi | fatwa | jenayah & kemalangan | kolumnis | khas | pelancongan
pendidikan | pendatang asing | politik | rencana | sains dan teknologi | umum