Toolshack.com - "Where Webmasters Find Their Tools"
Web tools and webmaster resources, including: traffic statistics, site monitoring, banner exchange, search engine submission, a generous affiliate program, more...

EKONOMI

Utusan Malaysia 14 Mei 2001

Mengenal pasti dasar indeks BSKL

PEMANSUHAN levi ke atas keuntungan yang dihantar pulang (exit levy) pada 2hb Mei telah mencetuskan aktiviti belian yang hangat, di mana Indeks Komposit telah menembusi tahap rintangan 600 mata buat pertama kalinya sejak 6 April 2001. Jumlah dagangan pada hari tersebut-iaitu 329.2 juta saham-melebihi tiga kali ganda purata dagangan pada bulan April. Namun begitu, kenaikan indeks ini tidak dapat bertahan, dan sejak itu, indeks komposit telah kembali ke tahap sebelumnya iaitu di antara 550 ke 580 mata.

Walaupun sokongan belian masih kurang memberangsangkan, kajian kami ke atas corak dan kitaran pasaran menunjukkan bahawa kejatuhan indeks adalah terhad.

Tahap terendah

Bagi mengenal pasti potensi tahap terendah indeks komposit, kami telah membuat kajian ke atas nisbah modal pasaran kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) nominal (MP/KDNK) dari tahun 1987-2000.

Carta 1 menunjukkan nisbah ini adalah di sekitar 0.9x ke 1.8x kecuali semasa pasaran bull atau menaik dari tahun 1993 ke 1996. Sejak krisis kewangan pada tahun 1997, nisbah ini pada umumnya berada pada tahap 1.3x kecuali pada tahun 1999. Jadual 1 pula menunjukkan tahap Indeks Komposit berdasarkan andaian pertumbuhan KDNK dan nisbah MP/KDNK yang berbeza.

Berdasarkan Jadual 1, tahap penurunan indeks adalah terhad iaitu kurang dari 20 peratus walaupun berdasarkan kepada anggapan yang drastik iaitu pertumbuhan KDNK yang negatif.

Berdasarkan kajian kami ke atas kitaran pasaran dan nisbah modal pasaran/KDNK, kami berkesimpulan bahawa tahap penurunan adalah terhad manakala pasaran berkemungkinan untuk pulih adalah lebih cerah dalam jangka masa 12 bulan yang akan datang. Oleh yang demikian, kejatuhan pasaran kini membuka peluang kepada pelabur-pelabur jangka sederhana dan panjang.

Walau bagaimanapun, disebabkan oleh ketidaktentuan arah tuju ekonomi dalam jangkamasa terdekat ini, para pelabur adalah dinasihatkan supaya memilih saham-saham yang menepati kriteria-kriteria yang diutarakan dalam artikel kami pada 2 April yang lalu, iaitu prospek perolehan, pengurusan/tadbir urus korporat dan kestabilan kedudukan kewangan syarikat.

 

muka depan | agama | ekonomi | fatwa | jenayah & kemalangan | kolumnis | khas | pelancongan
pendidikan | pendatang asing | politik | rencana | sains dan teknologi | umum