Toolshack.com - "Where Webmasters Find Their Tools"
Web tools and webmaster resources, including: traffic statistics, site monitoring, banner exchange, search engine submission, a generous affiliate program, more...

EKONOMI

Utusan Malaysia 14 Mei 2001

Pentingnya tabarrua't dalam takaful

Oleh:SITI NORSHAFINAZ SHEIKH MAZNAN
KUALA LUMPUR 13 Mei - Konsep `tabarrua't' atau derma ikhlas oleh semua peserta takaful (insurans Islam) merupakan asas penting dalam urus niaga insurans berlandaskan syariah yang tidak diberikan penekanan sewajarnya.

Menurut Pengurus Besar Takaful Nasional Sdn. Bhd., Datuk Dr. Kamaruddin Sharif, pada masa ini, konsep tabarrua't kurang diberikan perhatian kerana konsep mudharabah atau perkongsian lebihan telah `dijual' atau dipromosikan secara berleluasa.

Bagaimanapun, konsep tabarrua't dilihat lebih mampu menyuburkan rasa ikhlas dalam membantu saudara lain yang berada di dalam kesusahan, selain membolehkan pahala dinikmati kerana ia adalah satu amal jariah.

Ini adalah asas kontrak yang perlu difahami oleh para peserta insurans kerana konsep insurans Islam adalah membantu peserta lain yang ditimpa kemalangan.

Konsep tabarrua't juga memandu para peserta yang mempunyai kesedaran tentang soal halal dan haram supaya tidak menyeleweng apabila membuat tuntutan.

Begitu juga di pihak syarikat yang mengendalikannya, akan memastikan wang tabungan orang ramai dijaga dengan sebaiknya.

Keadaan ini berbeza dengan konsep mudharabah yang boleh menjadikan para peserta tidak ikhlas apabila menyertai takaful.

Para peserta contohnya, kecewa jika kadar keuntungan yang diberikan adalah rendah berbanding di institusi insurans konvensional.

Konsep mudharabah yang digunakan dalam operasi takaful hanyalah elemen sampingan dan faktor ini tidak semestinya menjadikan sesuatu insurans itu halal, sebagaimana yang dibawa oleh konsep tabarrua't.

Menerusi konsep tabarrua't dan mudharabah ini, dua pihak akan terlibat iaitu pengusaha yang memiliki kepakaran tetapi tidak mempunyai modal dan pemodal yang memiliki modal tetapi tidak berkepakaran.

Kedua-dua pihak akan membuat perjanjian di atas perniagaan yang dibuat dan bersetuju untuk berkongsi keuntungan yang diperoleh.

Ini bermakna sekiranya tiada tuntutan atau jumlahnya kecil, maka lebihan pelaburan akan dikongsi antara syarikat dan peserta.

Faedah lain takaful adalah, wang para peserta yang menamatkan sijil takaful juga akan dikembalikan tanpa terikat dengan tempoh tertentu.

Konsep ini sekali gus menterjemahkan erti takaful itu sendiri yang bermaksud saling jamin menjamin dengan semua peserta saling bantu membantu melalui dana yang disumbangkan.

Takaful adalah terhindar dari unsur-unsur yang bertentangan dengan syarak seperti `gharar' (ketidakpastian), `maisir' (judi) dan `riba' (faedah) dan pelaburan dikawal oleh Majlis Pengawasan Syariah.

Takaful juga tidak berlawanan dengan konsep tawakal atau berserah kepada kepada Allah kerana umat Islam sendiri perlu berusaha atau memastikan segala persiapan dibuat sebelum seseorang itu bertawakal.

Takaful di Malaysia bermula dengan penubuhan Badan Petugas Penubuhan Syarikat Insurans Secara Islam di Malaysia pada tahun 1982.

Badan ini terdiri dari tiga anggota utama iaitu Allahyarham Datuk Prof. Ahmad Mohamed Ibrahim, Dr. Abdul Halim Ismail dan Datuk Shaharuddin Haron.

Setelah kajian dibuat oleh badan berkenaan di beberapa negara di Timur Tengah, satu Akta Takaful telah digubal pada tahun 1984 dan penubuhan Syarikat Takaful Malaysia diluluskan oleh Bank Negara pada tahun 1984.

Penubuhan itu diikuti pula oleh MNI Takaful sembilan tahun kemudian yang telah ditukar namanya kepada Takaful Nasional pada tahun 1998.

Penubuhan Kumpulan Takaful ASEAN (ATG), yang berfungsi membendung risiko yang tidak mampu ditanggung oleh pengendali takaful di rantau ini, juga dilaksanakan tidak lama selepas itu.

Takaful dijangka akan terus mendapat perhatian masyarakat berdasarkan kesedaran dan kecenderungan orang ramai masa kini berlindung di bawah sistem ekonomi Islam yang lebih telus.

Takaful juga dapat diterima oleh bukan Islam kerana sifatnya yang tidak rigid kepada satu agama malah menerima semua kaum untuk menyertainya.

Bank Negara Malaysia (BNM) dalam Laporan Tahunan Insurans 2000 dan Laporan Tahunan 2000 menyatakan, pertumbuhan industri takaful tahun lalu melonjak dengan penanda perniagaan utama mencatatkan kadar kenaikan dua angka yang tinggi.

Jumlah aset bagi dana takaful meningkat sebanyak 40.1 peratus (1999:50.4 peratus) untuk mencapai RM1,168.2 juta.

Bagi memastikan kesinambungannya, strategi khusus yang digariskan di bawah Pelan Induk Sektor Kewangan untuk terus membangunkan perniagaan takaful perlu dilaksanakan secara bersungguh-sungguh dan bukan hanya mainan kata.

Selain kajian perlu dibuat oleh pengendali takaful untuk menambah elemen baru untuk menjadikannya menarik, penggunaan teknologi maklumat boleh menggiatkan penyebaran dan promosinya kepada masyarakat.

 

muka depan | agama | ekonomi | fatwa | jenayah & kemalangan | kolumnis | khas | pelancongan
pendidikan | pendatang asing | politik | rencana | sains dan teknologi | umum