Toolshack.com - "Where Webmasters Find Their Tools"
Web tools and webmaster resources, including: traffic statistics, site monitoring, banner exchange, search engine submission, a generous affiliate program, more...

EKONOMI

Utusan Malaysia 15 Mei 2001

Industri saham amanah perlu bersikap lebih proaktif

KUALA TERENGGANU 14 Mei - Industri saham amanah di Malaysia perlu bersikap lebih proaktif bagi meningkatkan sumbangannya di dalam pasaran permodalan negara kerana nilai pelaburan keseluruhannya masih ketinggalan berbanding sesetengah negara di Asia.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi berkata, peratusan jumlah unit saham amanah juga masih rendah iaitu kurang 10 peratus daripada pasaran modal di Bursa Saham Kuala Lumpur (BSKL).

``Melihat kepada jumlah unit saham amanah dalam edaran berjumlah 66 bilion, sudah jelas membayangkan bahawa industri itu semakin berkembang, namun dari segi peratusannya, ia masih rendah,'' katanya.

Beliau menarik perhatian, negara masih lagi jauh ketinggalan berbanding dengan pasaran di negara-negara maju seperti Eropah dan Amerika Syarikat yang mana saham amanah mewakili 40 peratus daripada permodalan pasaran saham mereka.

``Pencapaian ini juga lebih rendah berbanding dengan negara Thailand, Taiwan dan India di mana industri saham amanah merupakan 15 peratus daripada keseluruhan permodalan pasaran negara masing-masing,'' tambahnya.

Timbalan Perdana Menteri berkata demikian ketika berucap di majlis pelancaran Amanah Saham Didik (ASD) peringkat negeri Terengganu di Hotel Primula Park Royal di sini hari ini.

Bagi membantu pertumbuhan ekonomi negara, menurut Abdullah, peranan sumber manusia daripada pelbagai sektor ekonomi perlu diberikan penekanan dalam usaha memajukan industri saham amanah negara.

Beliau berkata, ini kerana golongan tersebut dapat memberikan pendanaan yang cukup besar dalam perkembangan industri berkenaan.

Katanya, perkara itu terbukti berdasarkan jumlah pelaburan RM1.52 bilion di dalam saham amanah bagi tahun 2000 menerusi caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).

``Saya yakin industri ini dapat dipertingkatkan di samping peranan utama oleh Permodalan Nasional Berhad (PNB) dalam menerajui usaha memperkembangkan industri ini bermula dengan Amanah Saham Nasional (ASN) dan kini ASD.

``Ini merupakan keprihatinan PNB terhadap para pelabur dan jika tahun lalu PNB melancarkan ASM untuk semua kaum, kini ASD dilancarkan khusus untuk bumiputera yang turut melibatkan bayi berusia 6 bulan,'' ujar beliau lagi.

Abdullah menambah, perkembangan itu menunjukkan usaha berterusan kerajaan untuk memberi peluang kepada masyarakat Malaysia terutama bumiputera memiliki kepentingan ekuiti dalam sektor korporat.

 

muka depan | agama | ekonomi | fatwa | jenayah & kemalangan | kolumnis | khas | pelancongan
pendidikan | pendatang asing | politik | rencana | sains dan teknologi | umum