EKONOMI

Berita Harian 27 mac 2001

AS usaha pulih segera kelembapan ekonomi

PRESIDEN Amerika Syarikat (AS), George W Bush, berkata ekonomi negara itu sedang mengalami kelembapan dan sesuatu perlu dilakukan segera bagi memulihkannya dan mengelaknya daripada bertambah parah.

Beliau berkata demikian ketika bersiap sedia untuk menyampaikan ucapannya mengenai rancangan pemulihan ekonomi AS yang meliputi pemotongan cukai serta beberapa usaha lain.

Jurucakap Rumah Putih, Ari Fleischer, memberitahu pemberita Bush percaya ekonomi AS kini berada dalam arah aliran menurun dan melahirkan kebimbangannya mengenai kadar pertumbuhan yang perlahan.

“Saya mengambil berat mengenai keadaan ekonomi,” kata Bush ketika memulakan rangka lawatan ke Missouri, Montana dan Michigan bagi ‘menjual’ cadangannya mengenai pelaksanaan pemotongan cukai bernilai AS$1.6 trilion.

“Saya percaya ekonomi (AS) sudah mengalami kelembapan dan kita perlu melakukan sesuatu mengenainya.

“Biarkan angka membuktikannya,” kata Bush kepada pemberita semasa berhenti di sebuah restoran di bandar raya Kansas.

“Bagaimanapun, saya yakin, jika kita melakukan apa yang betul, kita boleh menikmati pertumbuhan ekonomi sebagaimana yang dinikmati sebelum ini,” katanya.

Bush sudah mencadangkan rancangan untuk memotong cukai sebagai langkah untuk memulihkan pertumbuhan ekonomi AS yang merosot daripada 4.8 peratus dalam tempoh suku tahunan pertama 2000 kepada 1.1 peratus dalam tempoh suku tahunan keempat.

Intipati daripada rancangan Bush ialah pemotongan secara menyeluruh dalam cukai pendapatan yang mudah mendapat kelulusan Dewan Perwakilan tetapi mungkin mengalami masalah di Dewan Senat.

Beliau juga turut mencadangkan penghapusan cukai hartanah dan mengurangkan ‘penalti perkahwinan’ yang dibayar oleh pasangan suami yang kedua-duanya berpendapatan.

 

muka depan | agama | ekonomi | fatwa | jenayah & kemalangan | kolumnis | pelancongan
pendidikan | pendatang asing | politik | rencana | sains dan teknologi