Toolshack.com - "Where Webmasters Find Their Tools"
Web tools and webmaster resources, including: traffic statistics, site monitoring, banner exchange, search engine submission, a generous affiliate program, more...

EKONOMI

Utusan Malaysia 15 Mei 2001

50 peratus rakyat layak melabur beli saham PNB

KUALA TERENGGANU 14 Mei - Sebanyak 50 peratus daripada rakyat negara ini yang layak melabur telah membeli unit saham-saham amanah yang diuruskan oleh Permodalan Nasional Berhad (PNB).

Pengerusi PNB, Tan Sri Ahmad Sarji Abdul Hamid berkata, selain itu, pihaknya juga turut mencatatkan sebanyak tujuh juta pemegang unit atau 30 peratus rakyat negara ini melabur dalam saham amanah.

Katanya, angka-angka itu menunjukkan antara tanda kejayaan pencapaian PNB selain pemilikan ladang-ladang terbesar, bank terbesar dan perolehan kumpulan takaful yang besar.

``Dengan keyakinan yang ada sejumlah 36 bilion unit saham amanah yang diuruskan PNB telah pun dilanggan.

``Dana yang diperoleh melalui penjualan unit saham amanah ini membolehkan PNB melabur dalam syarikat yang menyumbang kepada arus perdana ekonomi negara seperti Golden Hope Plantation, Kumpulan Guthrie, Island & Peninsular dan Northport Corporation,'' katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis pelancaran Amanah Saham Didik (ASD) peringkat negeri Terengganu oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi di Hotel Primula Park Royal di sini petang ini.

ASD adalah amanah saham ketujuh PNB yang dilancarkan di peringkat nasional oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Mahathir Mohamad semasa Minggu Saham Amanah Malaysia 2001 di Kota Bharu pada 20 April lalu.

Hadir pada majlis itu ialah Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Usahawan, Peniaga Kecil dan Hal Ehwal Pengguna, Mohd. Abdul Wahid Endut yang mewakili Menteri Besar, Abdul Hadi Awang dan Ketua Eksekutif Kumpulan PNB, Datuk Hamad Kama Piah Che Othman.

Ahmad Sarji berkata, berikutan kejayaan yang dicapai oleh PNB, anak-anak syarikatnya kini mengumpulkan pemilikan harta dan meningkatkan nilai tambah syarikat, lesen menjalankan perniagaan ke peringkat antarabangsa, konsesi dan hartanah yang berpotensi dimajukan.

Beliau memberitahu, syarikat pelaburan PNB turut mengemaskini aktiviti perniagaan masing-masing selaras dengan keperluan dan peruntukan semakin meningkat untuk mendapatkan perkhidmatan berteraskan syariah.

``Maybank institusi kewangan terbesar negara yang juga anak syarikat PNB telah menubuhkan bahagian perbankan Islam melibatkan tiga cawangan khusus menjalankan aktiviti itu iaitu di Kuala Terengganu, Kuala Lumpur dan Kota Bharu.

``Jumlah aset yang diurus oleh bahagian perbankan Islam Maybank kini mencapai RM6.5 bilion,'' katanya.

Ahmad Sarji berkata, kejayaan PNB bergantung kepada keyakinan pemegang unitnya dan mereka ini sentiasa menilai setiap dasar dan prestasi PNB.

Sehubungan itu katanya, PNB sentiasa mengkaji dan menilai dengan teliti setiap keputusan pelaburannya dengan memberi pertimbangan utama kepada potensi dan pencapaian aset atau syarikat yang disasarkan.

Katanya lagi, dalam mengekalkan pegangan ekuiti bumiputera dalam syarikat PNB, kepercayaan bukan bumiputera kepada badan itu terus tinggi untuk menguruskan wang pelaburan mereka.

Jumlah penglibatan pelabur bukan bumiputera ialah sebanyak 495,242 orang dalam Amanah Saham Wawasan 2020 dan 242,156 orang dalam Amanah Saham Malaysia.

 

muka depan | agama | ekonomi | fatwa | jenayah & kemalangan | kolumnis | khas | pelancongan
pendidikan | pendatang asing | politik | rencana | sains dan teknologi | umum