Toolshack.com - "Where Webmasters Find Their Tools"
Web tools and webmaster resources, including: traffic statistics, site monitoring, banner exchange, search engine submission, a generous affiliate program, more...

EKONOMI

Utusan Malaysia 15 Mei 2001

Import makanan dijangka menurun


UNIVERSITI Kebangsaan Malaysia (UKM) memperkenalkan produk terbaru hasil penyelidikan dan pembangunan (R&D) di bidang pertanian oleh Prof. Madya Dr. Ahmed Mahir Mokhtar dari Pusat Pengajian Biosains dan Bioteknologi, UKM. Nor Herdhawati Jailani, 24, melihat buah tomato berbentuk bulat seperti epal daripada jenis Ehsan 1 di Bangi semalam. - Gambar Bernama.

BANGI 14 Mei - Kadar nilai import makanan negara dijangka mengalami penurunan dengan banyak menjelang tahun 2010 berikutan pelbagai strategi pertanian yang sedang dilaksanakan sekarang.

Timbalan Menteri Pertanian, Datuk Seri Dr. Shariff Omar berkata, sasaran pengurangan itu boleh dicapai dengan pembukaan banyak kawasan pertanian oleh kerajaan negeri dan penggunaan teknologi tinggi dalam kegiatan tersebut.

Beliau berkata, kini negara sukar untuk mengurangkan import makanan kerana pengeluaran dalam negeri masih terbatas.

Malah katanya, nilai import makanan juga telah meningkat kepada RM11 bilion pada tahun lalu berbanding hanya RM7.7 bilion pada tahun 1995 ekoran pelbagai kelemahan yang terdapat dalam sektor pertanian tempatan.

``Sekarang kerajaan sedang memberi penekanan terhadap pengeluaran makanan dan kita menyasarkan pada tahun 2010 nanti, kita tidak perlu mengimport lagi makanan kecuali yang tidak boleh dihasilkan di negara ini,'' katanya.

Shariff menyatakan demikian kepada pemberita selepas perasmian majlis penghebahan varieti Tomato Ehsan-1 dan Ehsan-2 serta pelancaran varieti Cilibangi-5 dan Cilibangi-6 di sini, hari ini.

Katanya, antara makanan yang dijangka dapat dikurangkan pengimportannya dalam tempoh 10 tahun lagi ialah beras, buah-buahan, sayuran-sayuran dan benih tanaman.

Katanya, kerajaan juga akan memastikan menjelang tempoh berkenaan, bekalan stok makanan negara untuk waktu kecemasan adalah jauh mencukupi berbanding sekarang.

Terdahulu ketika berucap di majlis tersebut, Shariff menyeru para penyelidik tempatan agar meningkatkan pencapaian mereka terutama untuk menghasilkan varieti-varieti tanaman baru bagi mengurangkan import biji benih.

Ujar Shariff, kebergantungan kepada import biji benih itu membayangkan bahawa sektor pertanian tempatan masih lemah dan terdedah kepada bahaya memandangkan ia melibatkan banyak jenis tanaman komersial.

Dalam hubungan ini, beliau memuji kejayaan penyelidik Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) yang berjaya menghasilkan varieti Cilibangi dan Tomato Ehsan kerana ia memberi makna yang besar terhadap pertanian tempatan, khususnya berkaitan bidang pembiakan.

``Kejayaan ini menunjukkan pakar-pakar kita berupaya menghasilkan varieti tanaman baru yang bermutu serta boleh memberi pendapatan lumayan kepada petani,'' katanya.

Sementara itu, Shariff memberitahu, Kementerian Pertanian sedang menggubal Akta Perlindungan Varieti Tumbuhan bertujuan untuk menggalakkan aktiviti pembiakan, di samping memberi perlindungan kepada pembiak biji benih tempatan.

Katanya, akta itu dijangka dapat meningkatkan lagi penyelidikan dalam bidang pembiakan tanaman, selain membolehkan lebih banyak peruntukan disalurkan untuk aktiviti penyelidikan dan pembangunan (R&D) sains dan teknologi.

Beliau berkata, akta itu juga adalah selari dengan strategi kerajaan untuk memajukan R&D supaya teknologi tinggi dapat digunakan dengan lebih luas dalam sektor pertanian pada masa depan.

Oleh: AKMAR HISHAM MOKHLES

 

muka depan | agama | ekonomi | fatwa | jenayah & kemalangan | kolumnis | khas | pelancongan
pendidikan | pendatang asing | politik | rencana | sains dan teknologi | umum