Toolshack.com - "Where Webmasters Find Their Tools"
Web tools and webmaster resources, including: traffic statistics, site monitoring, banner exchange, search engine submission, a generous affiliate program, more...

EKONOMI

Utusan Malaysia 15 Mei 2001

Malaysia perlu miliki kekuatan maritim - Najib

KUALA LUMPUR 14 Mei - Malaysia perlu meneruskan usaha menjadi sebuah negara yang mempunyai kekuatan maritim bagi memelihara kestabilan dan kemajuan ekonomi yang dinikmati selama ini, kata Menteri Pertahanan Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini.

Beliau berkata sejarah menunjukkan ketiadaan kuasa maritim efektif boleh mengakibatkan kekayaan dan kemewahan yang dikecapi musnah dalam sekelip mata seperti apa yang berlaku kepada Melaka yang diserang armada Portugis suatu masa dahulu.

"Walaupun kemungkinan berlakunya keadaan sedemikian amat tipis, aliran semasa sistem perhubungan antarabangsa yang sukar diramal tidak membenarkan kita menolak sama sekali kemungkinan tersebut," katanya.

Beliau berkata semasa berucap melancarkan buku Doktrin Pertahanan Malaysia (DPM) yang dikeluarkan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) di Kementerian Pertahanan di sini.

Najib berkata Malaysia perlu mempunyai kekuatan maritim memandangkan ia mempunyai perairan yang kaya dengan sumber asli termasuk di Zon Ekonomi Eksklusif seluas 500,000 kilometer persegi, persisiran pantai sepanjang 4,500 km dan perkongsian sempadan maritim dengan banyak negara.

Bercakap kepada pemberita kemudian, Najib berkata kawasan perairan selamat termasuk di pulau pelancongan turut membantu perkembangan industri pelancongan negara.

Selain itu, ia boleh membawa kepada penambahan penggunaan laluan perairan dan pelabuhan oleh kapal-kapal dagang yang sekaligus dapat meningkatkan prestasi ekonomi Malaysia, katanya.

Ditanya mengenai pembelian kapal selam, Najib berkata hasrat TLDM membeli kapal selam merupakan antara langkah pencegahan yang diambil Malaysia untuk mengelak perairannya daripada pencerobohan pihak asing.

Mengenai laporan akhbar berhubung tawaran sebuah syarikat Korea menjual tiga kapal selam yang dikatakan dapat menjimatkan negara RM20 juta, beliau berkata sesiapa saja boleh berbuat tawaran.

"Siapa nak buat tawaran, boleh buat tawaran. Saya tak akan komen atas apa-apa tawaran. Saya cuma akan komen apabila kerajaan membuat keputusan nanti," katanya.

Beliau juga memberitahu "laluan selamat" bagi kapal dan bot yang keluar masuk di perairan Sabah termasuk di sekitar pelabuhan Sandakan, Semporna dan Tawau dijangka dikuatkuasakan bulan depan.

Katanya ia bertujuan memudahkan pemantauan lalu lintas di perairan berkenaan bagi mengatasi masalah pencerobohan lanun dan sesiapa sahaja yang berniat jahat. - Bernama

 

muka depan | agama | ekonomi | fatwa | jenayah & kemalangan | kolumnis | khas | pelancongan
pendidikan | pendatang asing | politik | rencana | sains dan teknologi | umum