Toolshack.com - "Where Webmasters Find Their Tools"
Web tools and webmaster resources, including: traffic statistics, site monitoring, banner exchange, search engine submission, a generous affiliate program, more...

EKONOMI

Utusan Malaysia 15 Mei 2001

Dakwaan set nasi lemak MAS RM100 didapati tidak benar

KUALA LUMPUR 14 Mei - Dakwaan bahawa syarikat pembekal mengenakan harga antara RM100 sehingga RM180 untuk setiap set nasi lemak kepada Penerbangan Malaysia (MAS) adalah tidak benar sama sekali.

Setiausaha Parlimen Kementerian Pengangkutan, Donald Lim berkata, berdasarkan laporan MAS kepadanya hari ini, harga yang dikenakan oleh pembekal makanan itu adalah lebih rendah daripada kadar yang ditimbulkan di Dewan Negara minggu lalu.

Misalnya, kata beliau, untuk kelas pertama, harga setiap set nasi lemak adalah RM9.45 dan sebanyak RM7.37 untuk set di kelas perniagaan.

Untuk kelas ekonomi pula, harga yang dikenakan ialah RM4.26 bagi setiap set nasi lemak.

``Berdasarkan laporan itu, terbukti bahawa harga yang dikenakan adalah amat munasabah dan ia bukanlah punca harga tiket mahal,'' katanya kepada Utusan di sini, hari ini.

Khamis lalu, Senator Datuk Karim Ghani meminta MAS membuat penjelasan berhubung harga sebenar satu set nasi lemak yang dibekalkan kepada syarikat itu setelah mendapat maklumat ia mungkin menjadi punca harga tiket penerbangan domestik mahal.

Katanya, ada dakwaan yang mengatakan syarikat pembekal tersebut mengenakan harga yang terlalu mahal iaitu antara RM100 hingga RM180 sehingga memberi kesan terhadap harga tiket.

Ekoran itu, Donald telah meminta MAS menyediakan laporan berhubung perkara itu untuk mengetahui sama ada dakwaan tersebut benar.

Pada masa ini, anak syarikat MAS iaitu MAS Catering Sdn. Bhd. bertanggungjawab membekalkan pelbagai jenis makanan untuk semua pesawat syarikat penerbangan tersebut.

Utusan difahamkan, syarikat itu tidak mengenakan sebarang harga khusus untuk setiap set makanan yang disediakan untuk MAS, sebaliknya makanan itu dianggap sebahagian daripada kos operasi syarikat penerbangan berkenaan.

Mengulas lanjut, Donald berkata, pihaknya berpuas hati dengan penjelasan MAS itu yang berterus terang menyatakan kos sebenar yang terlibat.

Ujarnya, penjelasan itu juga sekali gus berjaya menamatkan kekeliruan yang timbul.

Tambah Donald, kementerian juga kini menganggap isu itu selesai sepenuhnya dan berharap ia tidak diungkitkan lagi oleh mana-mana pihak.

Bagaimanapun, kata beliau, pihaknya sedia menjalankan siasatan lain jika Karim dapat mengemukakan bukti baru yang menunjukkan bahawa harga sebenar yang dikenakan itu sama seperti yang didakwanya sebelum ini.

Dalam pada itu, sumber MAS berkata, kos harga makanan yang dibekalkan oleh MAS Catering Sdn. Bhd. kepada MAS sebenarnya adalah jauh lebih rendah berbanding harga yang dikenakan kepada syarikat penerbangan asing.

 

muka depan | agama | ekonomi | fatwa | jenayah & kemalangan | kolumnis | khas | pelancongan
pendidikan | pendatang asing | politik | rencana | sains dan teknologi | umum