Toolshack.com - "Where Webmasters Find Their Tools"
Web tools and webmaster resources, including: traffic statistics, site monitoring, banner exchange, search engine submission, a generous affiliate program, more...

EKONOMI

Utusan Malaysia 15 Mei 2001

Terengganu terkecil melabur dalam PNB

KUALA TERENGGANU 14 Mei - Terengganu adalah antara negeri yang paling sedikit jumlah rakyatnya melabur dalam saham amanah melalui Permodalan Nasional Berhad (PNB) dengan nilai pelaburan berjumlah RM1.3 bilion.

Pengerusi PNB, Tan Sri Ahmad Sarji Abdul Hamid berkata, pihaknya mengharapkan sokongan daripada kerajaan negeri Terengganu untuk memasarkan saham-saham amanah kepada rakyatnya.

Katanya, Terengganu berada di tempat kedua terkecil dengan jumlah 372,447 pemegang unit.

Daripada jumlah itu, menurut beliau, 289,020 rakyat negeri ini adalah pemegang unit dalam Amanah Saham Bumiputera (ASB) dengan jumlah pelaburan RM1.15 bilion, 59,600 dalam Amanah Saham Nasional (ASN) dengan pelaburan RM79 juta.

Sebanyak 7,554 lagi memiliki saham dalam Amanah Saham Malaysia (ASM) membabitkan pelaburan RM60.1 juta, 15,505 dalam Amanah Saham Wawasan 2020 (RM4.6 juta), 512 orang membuat pelaburan dalam Amanah Saham Nasional 2 (RM4.5 juta) dan Amanah Saham Didik sebanyak 256 orang dengan pelaburan RM223,000.

``Terengganu dibanding dengan negeri lain di peringkat kebangsaan berada di nombor 12 daripada 13 negeri.

``Sebab itu kita adakan kempen besar-besaran supaya penduduk di negeri ini melabur dan menambah pelaburan,'' katanya ketika berucap pada majlis pelancaran ASD yang disempurnakan oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi.

Hadir pada majlis itu adalah Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Usahawan, Peniaga Kecil dan Hal Ehwal Pengguna, Mohd. Abdul Wahid Endut yang mewakili Menteri Besar, Abdul Hadi Awang.

Ahmad Sarji berkata, pelaburan rakyat Terengganu dalam saham amanah itu membolehkan pihaknya mengagihkan sejumlah RM131.8 juta dividen pada tahun lalu.

Beliau turut meminta, rakyat Terengganu tidak melepaskan peluang dengan ASD yang dilancarkan di negeri ini iaitu yang kedua selepas pelancaran di Kelantan pada 20 April lalu.

``Saya juga berharap kerajaan negeri akan memberikan sokongan padu kepada PNB dalam memasarkan saham-saham amanah yang diuruskan PNB,'' katanya.

 

muka depan | agama | ekonomi | fatwa | jenayah & kemalangan | kolumnis | khas | pelancongan
pendidikan | pendatang asing | politik | rencana | sains dan teknologi | umum