Toolshack.com - "Where Webmasters Find Their Tools"
Web tools and webmaster resources, including: traffic statistics, site monitoring, banner exchange, search engine submission, a generous affiliate program, more...

EKONOMI

Utusan Malaysia 17 Mei 2001

Pengkorporatan MPSM berkuat kuasa hari ini

KUALA LUMPUR 16 Mei - Kementerian Sumber Manusia hari ini mengumumkan pengkorporatan Majlis Pembangunan Sumber Manusia (MPSM) berkuat kuasa hari ini yang dijangka dapat menarik lebih banyak majikan menyertainya.

Majlis tersebut kini dikenali sebagai Pembangunan Sumber Manusia Berhad (PSMB), lebih fleksibel dan berfungsi mengikut kehendak sektor swasta terutama dari segi latihan dan program yang dilaksanakan.

Menteri Sumber Manusia, Datuk Dr. Fong Chan Onn berkata, selaras dengan pengkorporatan itu, Akta Pembangunan Sumber Manusia 1992 akan dimansuhkan dan diganti dengan Akta Pembangunan Sumber Manusia Berhad 2001 (Akta 612).

``PSMB, sebuah syarikat terhad mengikut Akta Syarikat 1965 akan menjadi pemegang amanah kumpulan Wang Pembangunan Sumber Manusia dan mentadbir kumpulan wang tersebut,'' katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mesyuarat pasca kabinet di sini hari ini.

Katanya, tujuan MPSM dikorporatkan ialah supaya ia dapat memainkan peranan lebih proaktif dalam memastikan peningkatan latihan bagi menghadapi era globalisasi, k-ekonomi serta teknologi maklumat dan komunikasi di samping menyediakan perkhidmatan yang lebih baik kepada majikan.

``PSMB akan mempunyai lebih kuasa untuk menguatkuasakan undang-undang dan membuat siasatan seperti kes majikan yang tidak membayar levi,'' katanya.

Bagaimanapun kata Dr. Fong, kelulusan daripada menteri masih lagi diperlukan untuk badan itu membuat urusan atau siasatan untuk memasuki mana-mana premis tertentu.

Selain itu katanya, PSMB akan mengeratkan lagi kerjasama dengan persatuan majikan dan penyedia-penyedia latihan yang berdaftar dengannya supaya mempergiatkan aktiviti latihan dan peningkatan kemahiran pekerja mereka secara berterusan.

Katanya, PSMB mempunyai kuasa untuk memberi pertolongan dan peruntukan kepada majikan untuk mengendalikan kursus-kursus latihan melalui kesatuan kerja yang terbabit.

``Keutamaan akan diberi kepada majikan atau pengusaha-pengusaha kilang kecil yang mempunyai jumlah pekerja sedikit dan tidak mampu mengendalikan kursus dalaman bagi pekerja mereka.

``Cara ini bertujuan menggalakkan kilang kecil supaya menghantar pekerja mereka mengikuti latihan memandangkan jumlah levi yang dikenakan amat rendah iaitu RM200 setahun,'' katanya.

 

muka depan | agama | ekonomi | fatwa | jenayah & kemalangan | kolumnis | khas | pelancongan
pendidikan | pendatang asing | politik | rencana | sains dan teknologi | umum