Make your own free website on Tripod.com
Toolshack.com - "Where Webmasters Find Their Tools"
Web tools and webmaster resources, including: traffic statistics, site monitoring, banner exchange, search engine submission, a generous affiliate program, more...

EKONOMI

Utusan Malaysia 17 Mei 2001

Inflasi Januari-April naik 1.6 peratus

KUALA LUMPUR 16 Mei - Indeks Harga Pengguna (IHP) bagi Januari hingga April tahun ini naik 1.6 peratus kepada 101.3 berbanding dengan 99.7 bagi tempoh yang sama tahun lepas.

IHP juga meningkat sebanyak 1.6 peratus bagi perbandingan tahun-atas-tahun dan naik sebanyak 0.1 peratus bagi bulan-atas-bulan, kata Jabatan Perangkaan hari ini.

Kenaikan sebanyak 1.6 peratus dalam IHP disebabkan oleh kenaikan indeks bagi semua kumpulan utama kecuali indeks pakaian dan kasut yang menurun sebanyak 2.5 peratus dan indeks bagi perabot, hiasan dalaman dan peralatan serta pengendalian rumah yang kekal tidak berubah pada 100.1.

Kenaikan ketara di antara kumpulan utama yang mengalami kenaikan ialah minuman dan tembakau (+4.8 peratus), serta pengangkutan dan perhubungan (+4.0 peratus).

Kenaikan lain ialah perbelanjaan rawatan perubatan dan kesihatan (+2.6 peratus), sewa kasar, bahan api dan kuasa (+1.6 peratus), makanan (+0.7 peratus), pelbagai barang dan perkhidmatan (+0.4 peratus) dan rekreasi, hiburan, pelajaran dan kebudayaan (+0.4 peratus).

Tiga kumpulan utama iaitu makanan, pengangkutan, perhubungan dan sewa kasar, bahan api dan kuasa menyumbang 89.9 peratus kepada kenaikan keseluruhannya yang dicatatkan pada tempoh semasa.

Kenaikan indeks makanan sebanyak 0.7 peratus adalah akibat kenaikan 1.6 peratus bagi makanan di luar rumah bersama dengan kenaikan 0.4 peratus bagi makanan di rumah.

IHP bagi April 2001 naik sebanyak 0.1 peratus daripada 101.2 kepada 101.3. - Bernama

 

muka depan | agama | ekonomi | fatwa | jenayah & kemalangan | kolumnis | khas | pelancongan
pendidikan | pendatang asing | politik | rencana | sains dan teknologi | umum