Toolshack.com - "Where Webmasters Find Their Tools"
Web tools and webmaster resources, including: traffic statistics, site monitoring, banner exchange, search engine submission, a generous affiliate program, more...

EKONOMI

Utusan Malaysia 18 Mei 2001

Kawalan harga dimansuh bila Akta Harga dikuat kuasa

BANGI 17 Mei - Kawalan harga yang sekarang ini dikenakan oleh kerajaan terhadap barangan keperluan tertentu mungkin dimansuhkan apabila Akta Harga yang sedang digubal sekarang dikuatkuasakan.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata langkah itu adalah selaras dengan pemansuhan Akta Kawalan Harga 1946 yang akan diganti dengan akta baru tersebut.

Bagaimanapun katanya, kerajaan akan campur tangan dalam penetapan harga barangan tertentu.

"Pelaksanaan akta baru ini tidak bererti kerajaan nak campur tangan dalam pasaran, sebaliknya ia akan jadi lebih liberal," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Seminar kebangsaan Penggunaan Lestari: Cabaran Globalisasi, di sini hari ini.

Muhyiddin berkata, berikutan itu juga sebuah suruhanjaya bebas akan ditubuhkan di bawah akta baru tersebut yang akan berperanan memantau peniaga bagi memastikan tidak berlaku kenaikan harga melampau.

"Akta Harga ini akan cadangkan satu panel suruhanjaya bebas untuk membolehkan pihak yang mengenakan harga yang tinggi disiasat," katanya.

Ditanya mengenai status penggubalan akta baru tersebut, Muhyiddin berkata ia masih di peringkat awal.

"Tidak perlu tergopoh gapah kerana ia perlu diteliti daripada pelbagai sudut," katanya.

Beliau berkata pihaknya akan mendapatkan input daripada semua pihak termasuk sektor industri dan pengguna bagi memastikan akta tersebut lebih komprehensif.

"Kita akan masukkan sebahagian daripada peruntukan yang ada dalam Akta Kawalan Harga sekarang di samping memperuntukkan perkara-perkara baru," katanya.

Seminar dua hari yang berakhir esok bertujuan membincangkan isu dan cabaran yang berkaitan amalan penggunaan lestari di negara ini dan kesan daripada proses globalisasi.

Ia disertai oleh kira-kira 100 peserta daripada ahli akademik, pelajar institusi pengajian tinggi, agensi kerajaan dan juga swasta serta pertubuhan bukan kerajaan. - Bernama

 

muka depan | agama | ekonomi | fatwa | jenayah & kemalangan | kolumnis | khas | pelancongan
pendidikan | pendatang asing | politik | rencana | sains dan teknologi | umum